RSS

Kegagalan Syabas Sudah Di Jangka - Khalid Ibrahim



SHAH ALAM - Kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam pengurusan bekalan air Selangor sudah dijangka Kerajaan Negeri sejak dua tahun lalu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berikutan itu, beliau berkata, rancangan penstrukturan semula operasi air dikemukakan kepada Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah itu, namun skim berkenaan telah ditolak.

“Kalau buat (penyusunan semula air) dua tahun lepas, perkara ini (masalah pengurusan air) tidak akan timbul. Dalam rancangan itu, kita sudah beritahu bahawa Syabas, Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak Niaga) akan terkeluar.

“Bagaimanapun, semua syarikat itu akan dapat pampasan menguntungkan mereka. Ia adalah satu cara yang diterangkan dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 ( WSIA),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kerajaan Selangor anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LHPS), di sini, pagi tadi.

Dalam pada itu, Abdul Khalid kekal dengan pendiriannya untuk meneruskan rancangan mengambil alih pengurusan Syabas demi kepentingan rakyat.

“Kita hendak tunjukkan kepada rakyat kenapa kita lakukan perkara itu. Kita tahu beberapa kelemahan dan kesukaran Syabas seperti laporan (audit) yang dibuat Jabatan Audit Negara dan laporan lain yang kita peroleh,” katanya.

Sebelum itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri menolak penswastaan air kerana mendakwa ia tidak adil untuk rakyat memandangkan mereka tidak diberikan pilihan untuk membuat perbandingan harga.

“Dalam perjanjian itu, rakyat dijanjikan untuk dapat bekalan air pada harga munasabah, dengan cara perkhidmatan yang baik dan tidak membebankan mereka.


“Namun, perjanjian itu tidak beri peluang kepada rakyat untuk mengatakan harga air terlalu mahal, sedangkan rakyat sepatutnya mempunyai pilihan buat perbandingan. Apabila saya bandingkan penswastaan sekarang dengan hasrat Kerajaan Negeri (lakukan penyusunan semula operasi air), ia selaras undang-undang dan cara itu lebih baik,” katanya.

Sabtu lalu, Abdul Khalid menegaskan tindakan pengambilalihan pengurusan Syabas oleh Kerajaan Negeri adalah keputusan profesional demi kepentingan pengguna semata-mata dan bukannya bermotif politik.

Katanya, langkah itu dilakukan bagi memastikan kira-kira dua juta pengguna air di Selangor mendapat air terawat mencukupi pada harga munasabah, tanpa menyalahkan mana-mana pihak
.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors