Thursday, December 9, 2010

PIDATO DR. BURHANUDDIN (1)

Ini adalah kutipan pidato Yang Dipertua Agung PAS, Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang disampaikan dalam Persidangan Agung PAS di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada bulan Disember 1956. Walaupun pidato ini dibuat sesuku abad lebih dahulu, akan tetapi ia merupakan sebuah dokumen sejarah yang sangat penting yang perlu dipelajari oleh segenap patriot tanah air kita dalam mengharungi pergolakan politik dewasa ini. Antara lain ucapan ini membongkarkan sikap kompromi dan menyerah pucuk pimpinan UMNO terhadap penjajah British dalam soal kemerdekaan, membentangkan cara memecahkan masalah perjuangan bersenjata yang dipimpin Parti Komunis Malaya serta mengumumkan idea pembimbing yang bernilai tentang perlunya tenaga-tenaga patriorik tanah air kita khasnya tenaga-tenaga nasionalis, agama dan sosialis menggabungkan diri demi membela tanah air dan rakyat. Idea pembimbing ini bukannya terbentuk secara kebetulan, tapi telah dirumuskan oleh beliau berdasarkan pengalaman perjuangannya dalam sejarah khasnya ketika memimpin barisan bersatu PUTERA – AMCJA dahulu. Ucapan asalnya sangat panjang. Yang diterbitkan di sini merupakan ringkasan dan sedutan dari pidato tersebut yang telah disiarkan oleh akhbar Utusan Melayu pada 3 haribulan Januari 1957. Tajuk-tajuk kecilnya diberikan sendiri oleh penerbit.


1. Sikap Menyerah Pucuk Pimpinan UMNO Kepada Penjajah
Apa yang harus dibuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO itu ialah membetulkan diri sendiri, membetulkan cara-cara perjuangan mereka sendiri. Bukanlah dengan memfitnah orang lain, maka mereka akan dapat memuaskan hati pengikut-pengikut mereka sendiri. Dengan membetulkan diri sendiri, pemimpin-pemimpin itu akan memberikan sumbangan besar kepada perjuangan kemerdekaan tanah air, sebab dengan membetulkan dan memperbaiki diri sendiri, mereka akan dapat menemukan jalan-jalan yang benar dan sesuai untuk memperjuangkan kemerdekaan rakyat, dan ini akan menguntungkan perjuangan kemerdekaan rakyat seluruhnya.

Selalu saja terdengar dari mulut sesetengah golongan UMNO: “Tunggulah hingga tahun 1957. Kita akan bertindak mengadakan perubahan dalam pimpinan. Sabarlah sehingga 1957.” Mereka takut kalau mereka bertindak sekarang mengadakan langkah-langkah memperbetulkan pimpinan-pimpinan merka, maka Malaya tidak akan merdeka dalam tahun 1957.

Sikap ini samalah juga dengan sikap Tunku Abdul Rahman. “Kita harus bertindak sekarang secara yang boleh direstui oleh penjajah, secara yang tidak boleh dicurigai oleh penjajah. Kalau kita bertindak di luar dari garis itu, kalau kita menyakiti hati penjajah, maka penjajah tidak mahu memberikan kemerdekaan kepada kita nanti di tahun 1957”. Sikap inilah yang menyebabkan pengkhianatan moral terhadap perjuangan Mesir oleh pimpinan UMNO. Dengan lain perkataan, pimpinan-pimpinan UMNO mengakui bahawa taktik kompromis, taktik beralah dan menyerah dalam soal-soal yang pokok, mengenai kepentingan rakyat adalah jaminan kemerdekaan tanah air kita. Dengan lain perkataan pimpinan UMNO tidak percaya kepada kekuatan rakyat, tetapi kepada kebijaksanaan pimpinan itu, beralah dan menyerah kepada penjajah.

Dan kalangan-kalangan UMNO yang tidak puas hati kepada kebijaksanaan menyerah dan beralah kepada penjajah yang ada pada pihak pimpinan UMNO sekarang tetapi sebaliknya mau pula menunggu hingga tahun 1957 untuk mengadakan koreksi-koreksi, perbaikan-perbaikan dan perubahan-perubahan kepada pimpinan UMNO itu, adalah sebenarnya bersubahat dengan pimpinan itu dalam taktik menyerah dan beralah kepada penjajah, yang dilakukan oleh pimpinan mereka sendiri sekarang ini.
Rakyat yang jujur kepada perjuangan kemerdekaan bangsa dan tanah air, yang ingin mengabdikan diri kepda kepentingan rakyat seluruhnya, memikul tanggungjawab yang berat dalam parti masing-masing. Mereka hendaknya sentiasa waspada, sentiasa meneliti dan mengawasi perjuangan pemimpin-pemimpin mereka, hendaknya bertindak mengubah dan memperbaiki perjalanan pemimpin-pemimpin mereka bila kelihatan nyata perjalanan dan perjuangan pemimpin-pemimpin mereka tidak setia kepada cita-cita rakyat.

Inilah sikap kita terhadap UMNO. Kita tidak memusuhi UMNO, kerana UMNO adalah mewakili segolongan rakyat yang mahu merdeka. Kita tidak memusuhi UMNO sebagai satu lambang di mana segolongan rakyat kita sendiri berkumpul, bergerak dan berjuang untuk mencapai cita-cita tanah air.
Tetapi kita tidak dapat mendiamkan diri daripada mengkritik, daripada memberikan fikiran dan teguran kita, demi kepentingan rakyat, kerana tegur-menegur, nasihat-menasihati, adalah rukun hidup manusia yang sejati, kerana hanya dengan tegur -menegur, nasihat-menasihati, dapat kita sama-sama membetulkan dan memperbaiki diri kita, dapat kita didorong dengan kekuatan baru, tenaga-tenaga baru ke arah cita-cita bersama.

Rakyat yang berdiri di belakang PAS adalah mempunyai cita-cita yang sama dengan rakyat yang berdiri di belakang UMNO, bahawa tiap-tiap mereka, tiap-tiap rakyat yang berdiri di belakang PAS dan rakyat yang berdiri di belakang UMNO menghendaki satu negara yang bebas merdeka dan berdaulat.
Kalau kita melihat pemimpin-pemimpin UMNO tidak jujur, tidak betul, tidak tegas memimpin rakyatnya, maka adalah kewajipan kita sebagai nasionalis, sebagai patriot, sebagai kawan seperjuangan yang bergerak di bawah lambang perjuangan UMNO, untuk mengkritik, untuk menegur pimpinan UMNO itu.

Demikian juga sebaliknya. Kalau pimpinan kita tidak jujur, tidak ikhlas terhadap rakyat, adalah kewajipan rakyat yang berdiri di belakang UMNO, yang berkumpul di bawah lambang perjuangan UMNO untuk mengkritik kita, untuk menasihati kita.

Kerana banyaklah titik-titiik pertemuan di antara perjuangan kita dengan perjuangan rakyat yang berdiri di belakang UMNO. Dan titik-titik pertemuan itu boleh merupakan satu jaminan yang kukuh, satu pertalian persaudaraan yang kuat yang mengikat kita bersama sebagai satu rakyat tanah jajahan yang hauskan kemerdekaan dan kemuliaan bangsa dan tanah airnya, yang saling kuat-memperkuat, pupuk- memupuk dan dorong-mendorong perjuangan kita bersama.

No comments:

Post a Comment