RSS

Lagi Ditangguh Tarikh Pilihanraya, Lagi Senget UMNO/BN




Najib dijangka pulang dari luar negara dalam sehari dua ini. Dalam masa yang sama tarikh pilihanraya umum masih menjadi misteri. Semua orang berdebar-debar menunggu dan tidak sabar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Tidak seperti piliharaya sebelum ini, keghairahan kali ini dianggap luar biasa kerana lebih ramai pengundi mahu menterjemahkan sokongan dan pendirian mereka ke dalam kotak undi.

Dalam waktu yang terdekat ini, tarikh yang mungkin munasabah untuk Najib mengadakan pilihanraya ialah dalam bulan Julai iaitu sebelum umat Islam menyambut Ramadan pada 21 Julai ataupun selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu sekitar bulan September. Pilihanraya tidak mungkin diadakan antara Oktober dan Disember kerana ketika itu musim haji, cuti sekolah, adanya pembentangan Bajet 2013 dan mungkin musim banjir.


Jika Najib tidak mengadakan pilihanraya di kedua-dua tarikh itu, kemungkinan pilihanraya akan dianjak terus kepada tahun hadapan. Tempoh berakhirnya penggal Parlimen ialah April 2013.


Keputusan bila tarikh sebenar pilihanraya adalah ditangan Najib. Beliau mungkin sedang menimbang dan memikirkan suasana yang sesuai sekarang ini.


Sementara itu, lagi lama Najib menangguhkan tarikh pilihanraya, suasana politik negara ternyata menjadi semakin panas dan membara. Banyak isu dan keadaan yang berlaku akhir-akhir ini nampaknya tidak memihak kepada UMNO dan BN. Makin lama ditangguh, kerajaan dan parti yang sedang dipimpin oleh Najib nampaknya makin senget dari segi persepsi rakyat.


Pelbagai isu yang timbul ternyata tidak memihak kepada UMNO dan BN. Perhimpunan Bersih 3.0 jelas menunjukkan kebangkitan rakyat yang amat nyata, walaupun Rais Yatim cuba meyakinkan Najib bahawa beliau sudah membilang menggunakan jari tangan dan kakinya bahawa yang hadir di perhimpunan itu hanya tepat seramai 22,270 orang sahaja.


Belum pun reda suara kebangkitan itu diperkatakan dan dikaitkan dengan tindakan polis yang dianggap ganas dan tiada tolerasi terhadap rakyat, persepsi rakyat terhadap kerajaan diburukkan lagi dengan tindakan membawa Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Chegu Bard ke mahkamah atas dakwaan melanggar undang-undang ketika perhimpunan tersebut.


Bagi kebanyakan orang, amat jelas bahawa tindakan mahkamah itu bermotifkan politik kerana jika benar kerajaan mahu bertindak berlandaskan undang-undang, pihak yang sepatutnya di diseret ke mahkamah terlebih dahulu ialah Jawatankuasa Bersih 3.0 yang diketuai secara bersama oleh A Samad Said dan S Ambiga serta pemimpin 84 NGO yang bergabung menganjurkan perhimpunan itu.


Marina Mahathir sebagai salah seorang pendokong Perhimpunan Bersih 3.0 juga patut dibawa ke muka pengadilan, jika benar undang-undang dan keadilan mahu ditegakkan.


Namun, dengan tindakan hanya menyeret Anwar, Azmin dan Chegu Bard tetapi dalam masa yang sama membiarkan NGO-NGO "mati pucuk" melakukan tindakan biadap dan tidak matang di depan rumah Ambiga, membuktikan bahawa niat politik melebihi nawaitu lainnya. Anwar dan orang-orang kanannya sedang cuba disekat kemaraannya, dan mungkin cuba dinafikan untuk bertanding dalam pilihanraya melalui tindakan undang-undang tetapi penganjur sebenar Perhimpunan Bersih 3.0 pula cuba dimalukan semahu-mahunya.


Kalau pun bersungguh mahu mengambil tindakan terhadap orang politik, tindakan undang-undang tidak pula dikenakan terhadap pemimpin PAS dan DAP yag turut sama berhimpun bersama Anwar pada 28 April itu. Najib ternyata sangat fobia dengan nama Anwar dan seolah-olah cuba merantai kaki Ketua Pembangkang itu.


Tetapi dengan kesediaan bekas Peguamcara Negara, Datuk Yusof Zainal Abidin yang menjadi ketua pasukan pendakwa dalam kes liwat Anwar untuk menjadi peguambela Anwar pula dalam kes terbaru ini menjadikan persepsi rakyat terhadap kerajaan jatuh merudum jadinya. Kesediaan beliau untuk menjadi peguambela Anwar menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena di Jabatan Peguam Negara dan dalam kerajaan yang sedang dipimpin Najib sekarang.


Walaupun Datuk Yusof mengatakan beliau bertindak profesional tetapi rakyat lebih mudah memahami bahawa penyertaan beliau dalam pasukan peguambela Anwar menunjukkan kepincangan yang tidak dapat disembunyikan lagi dalam kerajaan sekarang, apatah lagi kes melanggar undang-undang dalam perhimpunan aman yang sedang dihadapi oleh Anwar, Azman dan Chegu Bard ini hanyalah kes kecil dan tidak mungkin melibatkan bayaran yang mahal.


Bolehkah kita membayangkan jika Datuk Yusof yang dulunya mengetuai pasukan pendakwa dalam kes liwat Anwar, turut juga menjadi peguambela bersama Karpal Singh dalam kes rayuan liwat nanti?


Selain itu, jika benar juga dakwaan yang timbul bahawa Datuk Yusof juga akan menyertai PAS pada 1hb Jun nanti, pastinya persepsi orangramai terhadap UMNO dan kerajaan menjadi bertamabh parah. Jika ini dikaitkan dengan penyertaan Datuk Fauzi Shaari, bekas Pengarah Siasatan Jenayah PDRM ke dalam PAS beberapa hari lalu dan Datuk Ramli Yusuf, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM yang turut dikaitkan dengan PAS dan dikatakan akan bertanding sebagai calon PAS dalam pilihanraya umum akan datang, bala yang lebih besar pastinya sedang menanti di hujung terowong UMNO dan BN.


Dalam masa yang sama, UMNO dan BN juga sudah terbeban dengan banyak isu sedia ada seperti lembu NFC, skandal Shafie Afdal, perbicaraan kes rasuah kapal selam Scorpene di Perancis, pelupusan hutang Tajuddin Ramli sebanyak RM589 juta, pebagai isu rasuah, penyelewengan serta pembaziran yang sebahagiannya melibatkan Najib, UMNO dan para pemimpinnya.


Dengan pelbagai isu yang muncul satu demi satu sekarang ini, hakikatnya lagi lama ditangguh tarikh pilihanraya, lagi banyak isu yang membebankan UMNO dan BN akan muncul. Dan tidak dapat dinafikan, dari segi isu dan persepsi rakyat, semuanya lebih memihak kepada Anwar dan Pakatan Rakyat.


Jika diambil kira debat antara Khairy dengan Rafizi yang berlangsung semalam yang dikonklusikan bukan sangat siapa menang antara kedua-dua pemimpin muda itu tetapi lebih kepada mahu melihat "kejantanan" Najib sebagai Perdana Menteri dengan majoritinya mahukan beliau sedia menyahut cabaran untuk berdebat dengan Anwar Ibrahim untuk episod debat seterusnya sebagaimana yang dicadangkan oleh moderator debat itu, kedudukan Najib sekali lagi diamcam oleh persepsi awam yang buruk.


Jika beliau terus berdiam diri dan kekal dengan pendirian enggan berdebat, persepsi rakyat yang sedia tidak memihak itu mungkin menjadikan kotak undi BN menjadi tambah berkurangan dalam pilihanraya nanti.



.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors