KUALA LUMPUR - Lagu 'Janji Ditepati' masih dalam peringkat pengolahan
dan belum dimuktamadkan untuk sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada 31
Ogos ini, kata penggubahnya Jasnie Mohd Yaakub.
Beliau berkata lagu itu merupakan karya asli beliau bersama dua
komposer lain iaitu Arman E Six dan Aye. Justeru, beliau menafikan
persamaan lagu itu dengan sebuah lagu kerohanian dari Indonesia.
"Lagu ini belum finalise lagi. Kami olah dari peringkat ke peringkat
sehingga ke tahap terakhir. Jika sudah diluluskan untuk ke peringkat
final, baru kami akan muktamadkan.
"Ilham lagu ini datang secara tiba-tiba, (kami) tak ikut mana-mana lagu
pun," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Arman dan Aye di
ibu pejabat Erama records di sini, hari ini.
Jasnie, yang juga penerbit dan pengarah muzik di Erama Records,
menjelaskan beliau hanya mengetahui kewujudan lagu yang didakwa
sesetengah pihak sebagai hampir sama dengan lagu 'Janji Ditepati'
semalam dan mendengar melodinya hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat sedikit persamaan kord dan rentak tetapi bukan dari sudut melodi lagu.
"Di mana-mana di seluruh dunia pun ada (lagu) guna rentak pop, rock,
doremi dan sebagainya. Mana-mana komposer cubalah nilai melodi lagu itu,
sama atau tidak dengan lagu Janji Ditepati. Memang tak sama,"
jelasnya.
Kontroversi persamaan lagu tema Hari Kemerdekaan dengan lagu negara
jiran itu dibangkitkan penulis blog beberapa hari lepas selain ia dimuat
naik dalam 'Youtube'.
Jasnie menegaskan bukan mereka yang memuat naik lagu 'Janji Ditepati'
di 'Youtube' kerana ia belum muktamad lagi. Mengenai proses awal
penggubahan lagu 'Janji Ditepati', beliau menjelaskan bahawa mereka
mengambil masa kira-kira dua hari untuk menghasilkan melodi berdasarkan
lirik yang diberi.
"Lagu itu pada mulanya digubah dalam bentuk 'hip hop'. Lagu ini kami
belum terbitkan lagi, cuma sudah diperdengarkan semasa pelancaran kempen
Kibar Jalur Gemilang baru-baru ini," katanya sambil menambah sehingga
hari ini, lagu 'Janji Ditepati' telah diubah sebanyak empat kali.
Ditanya sama ada isu ini menjejaskan proses penggubahan lagu yang masih
belum selesai dan kemungkinan menukar lagu sedia ada, Jasnie berkata:
"Tidak sama sekali."
"Takkan ubah. Saya tetap dengan pendirian saya. Kalau saya ubah nanti
orang kata 'betullah dia tiru, sekarang dia ubah'. Tapi terpulanglah
kalau ada permintaan mana-mana pihak," tegasnya.
Beliau berharap penjelasan itu dapat merungkaikan persoalan yang
berbangkit sambil meminta ia tidak lagi disamakan dengan lagu lain.
Jasnie merupakan seorang penggubah lagu profesional dan pernah terlibat
dalam pembikinan album beberapa artis termpatan termasuk Noraniza
Idris, Hazama serta Mila selain pernah memenangi beberapa anugerah
penciptaan lagu di peringkat kebangsaan. - Bernama
.