Ketua Cabang Parti Keadilan (PKR) Rembau, Badrul Shahrin Hisham
menyifatkan tindakan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) ingin mengadakan
pemilihan semula di 17 Cabang parti itu sebagai satu 'sandiwara'.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard mendakwa perkara hampir sama dilakukan JPP pada pemilihan 2010.
"Saya sendiri telah mengemukakan laporan penyelewengan yang berlaku
kepada Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman dan turut berjumpa
dengan Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk
membincangkan hal ini dan kami diberi jaminan tindakan akan diambil
tetepi malangnya tiada apa yang dibuat oleh JPP.
"Sebab itu saya berani kata apa yang diumumkan JPP untuk adakan pemilihan semula hanyalah satu sandiwara.
"Tindakan hanya dikenakan kepada pengawas yang menjaga pusat mengundi di Cabang tertentu, sedangkan Ahli Jawatankuasa (AJK) JPP yang menyeleweng untuk memenangkan calon Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali masih menjalankam tugas seperti biasa," katanya.
Justeru, beliau menyeru agar pucuk pimpinan parti memecat AJK JPP sedia ada.
Pengerusi JPP, Datuk Seri Johari Abdul pada Rabu berkata, pihaknya
memutuskan bahawa 17 cabang akan mengadakan pemilihan peringkat cabang
atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) atau kedua-dua pada Sabtu 17 Mei ini.
Daripada kesemua 17 cabang yang terlibat, hanya 13 daripadanya akan
diadakan pada 17 Mei ini iaitu empat di Terengganu (Setiu, Kuala Nerus,
Kemaman, Dungun) dan masing-masing dua di Pahang (Paya Besar, Jerantut);
Johor (Pengerang, Tenggara); Sarawak (Batang Sadong, Kapit) dan Sabah
iaitu Tenom serta Keningau.
Manakala empat lagi cabang iaitu Tawau dan Papar di Sabah, Bukit Katil
(Melaka) dan Sungai Petani (Kedah) akan mengadakan pemilihan semula pada
tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
.