Kerajaan Myanmar didakwa mengeluarkan ugutan bunuh terhadap etnik
Rohingya dan keluarga mereka sekiranya mereka memberi kenyataan kepada
media, lapor portal berita Burma Times.
Portal itu yang memetik kenyataan sumber yang enggan dikenali
melaporkan, etnik Rohingya juga berdepan ancaman bunuh jika mengaku
mereka adalah rakyat Myanmar.
Jumaat lalu, kerajaan Myanmar menyelamatkan sekumpulan pendatang etnik
itu dari sebuah bot dan memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) serta media antarabangsa bahawa semua 208 penumpang itu merupakan
rakyat Bangladesh.
Penduduk tempatan di Hasurata dan sumber portal itu mengesahkan bahawa kenyataan kerajaan Myanmar tidak benar.
Semua penumpang bot tersebut yang kebanyakannya etnik Rohingya,
cepat-cepat dibawa keluar oleh pihak berkuasa sebelum ketibaan media dan
pertubuhan antarabangsa ke tempat kejadian.
Tindakan itu menurut mereka bagi menyokong kenyataan pegawai kerajaan
bahawa pendatang yang diselamatkan itu adalah dari Bangladesh.
Kini pihak berkuasa memindahkan etnik Rohingya itu ke sebuah lokasi yang
tidak didedahkan dengan ada daripadanya dibebaskan selepas membayar
sejumlah wang.
Dalam kejadian berasingan, sebuah keluarga etnik Rohingya mendakwa anak
mereka menjadi mangsa pembunuhan doktor di Hospital Maungdaw meskipun
telah menjalani pemeriksaan selepas keadaannya dilapor sudah bertambah
baik.
Riaz, 12, dimasukkan ke hospital Rabu lalu dan keadaannya bertambah baik
dua hari selepas itu namun ketika keluarganya meminta kebenaran doktor
untuk membawanya keluar, doktor memberi alasan dia perlu dibedah kerana
menghidap batu karang sebelum dia meninggal dunia keesokan harinya.
Sementara itu, Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi
Pelarian (UNHCR), Pertubuhan Antarabangsa bagi Pendatang (IOM) dan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC)
bakal membincangkan secara bersama 10 pelan tindakan bagi menangani
krisis pendatang di Asia Tenggara semasa satu mesyuarat khas di Bangkok
esok.
“UNHCR berharap mesyuarat esok akan bersetuju tentang tindakan bersama
bagi menangani krisis kemanusiaan dan menangani punca kepada
penghijrahan itu,’’ kata pegawai perhubungan kanan serantau UNHCR,
Vivian Tan.
.