RSS

Dakwat Kekal: SPR cuba alih perhatian



KOTA BHARU – Penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) seperti yang dinyatakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof belum ada hitam putih.
 
Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Wan Nik Wan Yusof berkata, walaupun SPR menyatakan persetujuan untuk menggunakan kaedah tersebut, ia belum ada kata putus daripada pihak kerajaan.
 
Menurutnya, pengumuman itu mungkin hanya untuk mengalih perhatian orang ramai kepada isu lain yang lebih serius seperti pertindihan daftar pemilih yang masih belum diselesaikan sepenuhnya.
 
“Setakat ini, kita lihat SPR akan bersandarkan kepada kabinet, menteri atau Parlimen, kita hanya boleh mempercayainya selepas ia diumumkan secara rasmi oleh kerajaan. Mungkin juga ia hanya untuk memberitahu kepada rakyat bahawa SPR melakukan sesuatu untuk menjadikan pilihan raya lebih adil,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Aziz yang bersetuju memenuhi salah satu tuntutan Bersih 2.0 itu semalam.
 
Contoh dakwat kekal yang akan digunakan sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan kandungan sebelum dikemukakan kepada kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan untuk tindakan susulan.
 
Dakwat kekal ‘silver nitrate’ yang akan digunakan digunakan di beberapa negara bagi memastikan pilihan raya berjalan secara adil dan ianya berbeza dengan dakwat kekal yang disyorkan pada PRU 12.
 
Sementara itu, Timbalan Exco Negeri Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, rakyat mahukan PRU 13 berjalan adil dan bebas daripada sebarang bentuk keraguan.
 
“Buatlah apa saja asalkan rakyat berpuas hati dan penggunaan dakwat kekal hanya salah satu daripadanya sedangkan SPR sewajarnya terlebih dahulu menyelesaikan isu lain yang lebih besar,” katanya.
 
Katanya, aduan mengenai wujudnya pengundi hantu dalam daftar pemilih sehingga ke hari ini belum ada jawapan meyakinkan sehingga rakyat menilai sendiri kredibiliti SPR itu sendiri. /SH
 
.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors