RSS

"KERABAT SULTAN MELAKA" Kata Kita Tidak Perlu Guna DAKWAT KEKAL



Tengku Adnan Tengku Mansor berkata "Kita tak perlukan dakwat kekal pun. Untuk apa? Kita bukan negara (dunia) ketiga, kita ada kad pengenalan yang boleh dikenal pasti. Dakwat kekal ini pembangkang yang minta di Parlimen dan kita setuju dan ikut,"

Tambahnya lagi, Malaysia juga tidak memerlukan dakwat kekal seperti "negara dunia ketiga" lain.  ~ Mkini



Siapa Tengku Adnan Ini?


"Adnan dilahirkan di negeri Melaka (asalnya dari Pahang) pada 20.12.1950 pada jam 6.10 pagi dengan surat pendaftaran lahirnya bernombor 100502. Ketika beliau dilahirkan, namanya ialah Adnan bin Mansor. Pada 20.12.1962, ketika beliau berusia 12 tahun, Adnan mulai memiliki kad pengenalan bernombor 4079409 atas nama Adnan bin Mansor juga seperti yang terdapat dalam surat beranak. Sekali lagi beliau menukar kad pengenalan bagi memenuhi kehendak undang-undang pada 3.3.1969 ketika beliau berusia 18 tahun, namanya masih lagi kekal dengan nama Adnan bin Mansor. 

Tetapi, pada 3.10.1972, Adnan telah mengubah namanya menjadi Tengku Adnan bin Tengku Mansor. Beliau juga telah mengubah nama bapanya dari nama asal Mansor bin Haji Baba kepada Tengku Mansor bin Tengku Haji Baba. Dengan akuan bersumpahnya, beliau membuat perakuan bahawa beliau berasal dari Keluarga DiRaja Melaka. Keluarga beliau menurut katanya berasal dari keluarga beraja.Keluarganya adalah keturunan ke 3 daripada golongan Kerabat DiRaja Melaka. 

Pada hari yang sama (3.10.1972), Adnan mendapat kad pengenalan yang baru di mana di atas kad pengenalan baru itu tertara nama ‘Tengku Adnan bin Tengku Mansor’. Lebih kurang 2 tahun kemudian, 2.4.1974, bapanya juga mendapat kad pengenalan baru dengan nama baru Tengku Mohammed Mansor bin Tengku Haji Baba dengan identiti kad pengenalan baru bernombor 3983336 

Begitulah dengan mudahnya Adnan menukar identitinya dari orang biasa berpindah ke identiti baru-seorang berketurunan kesultanan Melaka yang hilang telah takhta akibat kezaliman terhadap rakyat. Adnan Tengku celup. Bukan Tengku asal dan tulin. Sesiapa sahaja di Malasia ini boleh menukar identiti dengan mudah termasuk untuk mendapatkan kad pengenalan seperti yang diperolehi rakyat asing dengan satu syarat memberi undi kepada UMNO/BN. 

Kesultanan Melaka amat hebat di abad ke 15, Melaka menjadi tumpuan seluruh dunia yang mahu menjalinkan hubungan diplomatik dengannya. Disebabkan Raja-rajanya yang memerintah secara zalim mengikut hawa nafsu, maka Allah s.w.t t telah menghantarkan bala tentera dari luar (Portugal dan Inggeris) meruntuhkan kesultanan Melaka sehingga ke hari ini, Melaka tidak beraja.


Jadi, tidak hairanlah sesiapa sahaja yang mengikuti perjalanan hidup Adnan ini penuh dengan misteri.."




.
Continue Reading... Labels: , , , ,


Apa Salahnya Anwar Angkat Sumpah Dan Minum Semeja Dengan Najib?



 Oleh Shahbudin Husin

Tindakan Anwar dan 88 Ahli Parlimen PR yang lain hadir mengangkat sumpah di Parlimen semalam menjadi isu besar terbaru untuk menyerang beliau dan pakatan pembangkang yang diketuainya. Ini kerana majlis angkat sumpah itu berlangsung di ketika yang sama berlakunya juga protes berterusan terhadap keputusan pilihanraya sehingga ada yang sanggup tidur dalam khemah dan baring di jalanraya menuju ke Bangunan Parlimen.

Anwar sebelum itu mengadakan roadshow Blackout 505 di seluruh negara mempertikaikan SPR dan pada 22 Jun lalu adalah kemuncak perhimpunan aman yang diadakan di Padang Merbok. Ia kemudian diikuti dengan sekumpulan anak muda berkhemah di Padang Merbok serta melakukan protes bantahan di laluan menuju ke Parlimen.


Anwar lantas dituduh mengamalkan sikap talam dua muka dan politik dua wajah. Di ketika beliau menyeru pengikutnya agar terus membantah keputusan pilihanraya dan mempertikai kewibawaan SPR, di ketika yang sama juga beliau mengiktiraf keputusan pilihanraya dengan hadir mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Dalam hal ini tidak saja Anwar yang dituduh menganiaya penyokong sendiri, malah kesemua 88 Ahli Parlimen PR lainnya ditaksir bersubahat sama.


Kemudian tersebar pula gambar-gambar Anwar duduk minum semeja dengan Najib dan Muhyiddin dalam keadaan riang dan gelak ketawa seolah-olah tiada permusuhan antara mereka. Gambar Anwar bergambar bersama Najib dan Speaker serta lain-lain Ahli Parlimen juga disebarkan untuk memberi bukti kononnya Anwar menerima keputusan pilihanraya walaupun di masa yang sama mengajak penyokongnya membantah keputusan itu.


Penulis blog dan pengendali laman sosial pro UMNO melihat isu ini sebagai hidangan terlazat untuk menyerang dan mempertikai Anwar serta Pakatan Rakyat. Mereka memainkan isu ini semahu-mahunya untuk menggoncang keimanan politik anak-anak muda yang condong menyokong perjuangan PR seolah-olah mereka hanya alat dan dipermain-mainkan oleh Anwar dan Ahli-Ahli Parlimen PR yang lain.


Ternampak ramai juga penyokong pro pembangkang yang mula goyah dengan isu ini dan merasakan ada kebenarannya. Ada yang terasa hati, terguris perasaan dan tersentap jiwa melihat aksi dan gelagat Anwar itu. Ada pula yang berkata, kalau pun mahu bergembira dan bersenyum ketawa dengan Najib dan Muhyiddin, ia tidak seharusnya dilakukan di ketika penyokongnya sanggup mengorbankan jiwa berbaring di jalanraya dan mungkin pula dihumban ke penjara.


Kehadiran Anwar dan lain-lain Ahli Parlimen PR mengangkat sumpah sebenarnya sudah pun dijelaskan oleh banyak pihak, termasuk Anwar sendiri. Jika tidak hadir dan enggan mengangkat sumpah, risiko yang mendatang sebenarnya lebih tinggi. Oleh kerana pembukaan penggal pertama Parlimen ini akan dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong, keengganan mengangkat sumpah boleh juga ditafsir sebagai tidak menghormati baginda dan derhaka kepada sistem Raja Berperlembagaan.


Memang ramai yang mahu mencabar Anwar dan Ahli-Ahli Parlimen PR yang lain supaya jangan mengangkat sumpah jika benar tidak setuju dengan keputusan pilihanraya. Ia hanyalah suatu bentuk provokasi yang bertujuan menghumban mereka ke lembah serangan yang lebih teruk lagi. Jika semua Ahli Parlimen PR tidak hadir dan memulaukan majlis angkat sumpah, serangannya tentu lebih teruk lagi. Kaitan dengan penderhakaan kepada Yang Dipertuan Agong akan dikaitkan sama.


Dalam hal ini kehadiran mengangkat sumpah adalah keputusan terbaik untuk mengelakkan serangan lebih buruk. Lagi pula dalam mempertikaikan peranan SPR, petisyen bantahan keputusan pilihanraya di beberapa kawasan tetap juga berjalan dan prosesnya tidak terganggu sama-sekali.


Ada pula yang berpendapat kenapa Anwar dan lain-lain Ahli Parlimen PR tidak memulaukan terus majlis angkat sumpah ini jika benar ingin membantah? Tindakan ini juga berisiko tinggi. Walaupun selepas majlis angkat sumpah semalam, Ahli-Ahli Parlimen masih mempunyai masa enam bulan untuk berbuat demikian tetapi ia bergantung pula kepada adanya hal-hal mustahak yang tidak boleh dielakkan sebagai alasannya.


Tetapi tindakan ini juga boleh dianggap tidak menghormati, malah mempersenda Yang Dipertuan Agong yang bakal merasmikan pembukaan Parlimen itu. Mereka yang tidak mengangkat sumpah tidak boleh hadir di majlis pembukaan yang akan dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong. Jika ini berlaku, tentulah serangan dan kecaman terhadap Ahli Parlimen PR ini lebih dahsyat lagi.


Ada pula kelompok lain berkata, jika benar mahu membantah, kenapa tidak dipulaukan terus Parlimen sehingga tempoh enam bulan supaya pilihanraya kecil semula boleh diadakan? Memang benar jika selepas tempoh enam bulan tidak mengangkat sumpah, kedudukan Ahli Parlimen seseorang itu akan terlucut tetapi tidak semestinya perlu diadakan pilihanraya semula.


Jika kes itu dibawa ke mahkamah dan pihak mahkamah kemudian mendapati tindakan tidak mengangkat sumpah itu sesuatu yang sengaja dan tidak disebabkan hal-hal yang terlalu mustahak, dan akhirnya memberi kemenangan kepada calon yang kalah dan tidak mengadakan pilihanraya kecil semula, akhirnya semua 89 kerusi PR ini akan dimenangi secara percuma oleh BN. Tentulah tak pasal-pasal BN menang 100% di kesemua 222 kerusi Parlimen.


Dalam masa yang sama, peraturan pilihanraya juga menetapkan mereka yang sengaja meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen tidak boleh bertanding semula untuk tempoh 5 tahun. Ini bermakna, jika pun dengan terus tidak mengangkat sumpah dan pilihanraya kecil diadakan semula, Anwar, Haji Hadi, Lim Kit Siang, Nurul Izzah dan lain-lainnya tidak boleh dicalonkan untuk bertanding semula.


Tentulah lagi haru jadinya dalam PR. Siapa yang nak jadi calon dan jika apa pun calonnya, tentulah mereka tidak sama dengan wibawa Anwar, Haji Hadi, Lim Kit Siang dan Nurul Izzah.


Mengenai duduk minum semeja dengan Najib dan Muhyiddin serta majlis bergambar kemudiannya, ia sememamgnya sudah dirancang sedemikian rupa sebaik majlis angkat sumpah berakhir dan dari segi protokol memanglah tempat duduk Anwar sebagai Ketua Pembangkang bersama dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Begitu juga dengan majlis bergambar, memanglah juga tempat Ketua Pembangkang bersama Perdana Menteri mengapit kedudukan Speaker.


Jika Anwar memulaukan majlis itu, beliau akan dilihat tidak tahu bersosial dan tidak menghormati adab di majlis rasmi. Pemulauannya pasti akan mengundang kecaman yang lain pula.

 
Lagi pula tidak ada salahnya Anwar duduk semeja dan bergelak ketawa sambil minum-minum di Parlimen kerana mereka bukan bermusuh secara peribadi. Mereka hanya bermusuh dari segi dasar, hujah dan pendekatan untuk mentadbir negara. Mereka bukan seperti dua ahli gusti yang tidak boleh bertemu langsung dan jika bertemu pula asyik mahu bertumbuk dan bergasak. Anwar dan Najib juga bukanlah seperti dua beradik yang berebut harta pusaka yang tidak boleh bertemu serta duduk semeja langsung.


Soal berbeza pendapat dengan Najib dan BN adalah soal lain dan begitu juga usaha menekan SPR dan untuk memastikan pengendalian pilihanraya oleh SPR betul-betul bebas dan adil, adalah juga soal lain. Ia tidak harus dibakulkan sekali dengan kehadiran di majlis angkat sumpah dan kemudian duduk minum semeja dengan Najib. Politik ialah pergaduhan berhujah dan mempertahankan prinsip. Duduk minum semeja dan bergambar asal tidak rebah prinsip perjuangan dan mengalah hujah tanpa sebab, tidaklah ada salah dan cacat-celanya.


Sementara penyokong Anwar dan PR diminta bersikap matang untuk menilai permainan ini, mereka yang membesar-besarkan isu ini juga sebenarnya tidak matang dalam memahami erti politik dan demokrasi dalam ertikata yang sebenar-benarnya.




.
Continue Reading... Labels: , , , , ,


Persempadanan Semula Wajar Di Uruskan Oleh Suruhanjaya Persempadanan, Bukan SPR!




Pengenalan


Di bawah perkara 113 Perlembagaan Malaysia, pilihan raya di Malaysia adalah diuruskan oleh satu badan khas yang telah dilantik oleh Yang Dipertuan Agong dan badan ini dinamakan Suruhanjaya pilihan raya Malaysia (SPR). Antara tugas SPR termasuklah menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri dan pilihan raya kecil, serta menyediakan daftar pemilih dan menjalankan urusan pendaftaran dan penyemakan daftar pemilih. Tambahan pula, SPR juga bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan kawasan pilihan raya dengan melibatkan bidang kuasa pentadbiran pejabat tanah dan daerah dan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).


Namun, ekoran pelbagai pendedahan insiden penipuan dan ketidakadilan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei lalu yang baru tutup tirainya, kajian badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mendapati bahawa SPR tidak sesuai bagi mengendalikan urusan yang berkenaan dengan urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya ekoran ketidakupayaan SPR dalam menunaikan amanahnya bagi memastikan pilihan raya dijalankan secara bersih, bebas dan adil. 

Sebuah badan yang neutral lagi bebas daripada pengaruh badan eksekutif terutamanya, harus ditubuhkan bagi mengendali urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya, seperti Suruhanjaya Persempadanan yang ditubuhkan di kebanyakan negara. Suruhanjaya Perwakilan yang diadakan di New Zealand, khususnya, boleh dijadikan sebagai rujukan bagi mengadakan sebuah badan yang berkebolehan dalam menyemak semula dan menggariskan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya yang saksama, sebagai langkah pertama merealisasikan prinsip satu orang satu undi yang sama nilai yang ideal dalam sistem pilihan raya yang demokrasi.

Persempadanan semula dan prinsip satu orang satu undi yang sama nilai


Dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, sebanyak enam kali proses persempadanan telah dilakukan, masing-masing pada tahun 1958, 1966, 1974, 1983, 1992, dan 2003. Proses persempadanan berkait rapat dengan konsep “gerrymandering” yang merujuk kepada tindakan memanipulasi atau tindakan secara sengaja menyusun atau mengatur semula kawasan-kawasan pentadbiran bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya dengan mengurangkan undi parti oposisi. Gerrymandering merupakan antara isu yang paling kronik dihadapi oleh sistem pilihan raya dan demokrasi dalam negara ini.


Mengapakah persempadanan kawasan pilihan raya sentiasa menjadi suatu isu penting dalam sistem pilihan raya? Jawapannya mudah sekali: persempadanan merupakan cara langsung bagi memanipulasi keputusan pilihan raya. Dengan kata lain, ia memberi ruang kepada “permainan kotor” dalam sistem pilihan raya yang dianggap adil dan bebas.


Dalam sebuah sistem pilihan raya demokratik yang ideal, setiap orang pengundi berpeluang membuang undi yang sama nilai dan kepentingannya – prinsip satu orang satu undi yang sama nilai. Undi yang diperolehi seharusnya secara langsung selaras dengan kerusi yang dimenangi dalam parlimen (Dewan Rakyat).


Di Australia, kaedah yang digunakan bagi menentukan bilangan kerusi yang harus diberikan kepada negeri masing-masing adalah seperti yang dinyatakan dalam seksyen 24 Perlembagaan dan seksyen 48 Akta Pilihan Raya Komanwel 1918. Pada minggu ke-13 selepas persidangan Dewan Perwakiln penggal pertama, SPR Australia dikehendaki mengenalpastikan populasi di Australia, dan angka tersebut kemudiannya akan digunapakaikan bagi menentukan bilangan Ahli Parlimen bagi setiap negeri masing-masing. 

Pertama sekali, kuota perlu dikenalpastikan melalui membahagikan jumlah populasi dalam negara dengan dua kali bilangan senator untuk semua negeri. Kemudian, jumlah populasi dalam negeri masing-masing dibahagi dengan kuota bagi menentukan bilangan wakil rakyat yang harus diperuntukkan untuk setiap negeri.


Jadual: Pengagihan kerusi parlimen bagi negeri di Australia pada tahun 2003

Negeri Populasi Kelayakan Bilangan kerusi yang diperuntukkan Perubahan
New South Wales 6657478 49.9176 50
Victoria 4888243 36.6519 37
Queensland 3729123 27.9609 28 +1
Western Australia 1934508 14.5049 15
South Australia 1522467 11.4154 11 -1
Tasmania 473371 3.5493 5*
Australian Capital Territory (ACT) 322871 2.4209 2
Northen Territory 199760 1.4978 1 -1
Jumlah

149
*Perlembagaan menyatakan bahawa sekurang-kurangnya lima ahli dikehendaki dipilih untuk enam negeri yang asal, maka Tasmania dijamin sekurang-kurangnya lima kerusi.


Jelasnya, negeri yang mempunyai taburan penduduk yang lebih tinggi, seperti New South Wales, akan diperuntukkan dengan bilangan ahli Dewan Perwakilan yang lebih ramai berbanding dengan yang lain.1 Dengan kaedah ini, pengundi di setiap negeri mendapat perwakilan yang setaraf dengan populasinya. Sesungguhnya, pertimbangan utama lagi critical dalam urusan persempadanan di Australia ialah kesaksamaan populasi (population equality). 

Sedangkan jumlah penduduk digunapakaikan sebagai ukuran dalam soal pengagihan kerusi parlimen, bilangan pengundi digunakan bagi menentu persempadanan bahagian pilihan raya, agar prinsip “satu orang satu undi” yang ideal dalam sistem demokrasi dapat dilaksanakan melalui menggariskan sempadan bahagian pilihan raya yang munasabah dan selaras dengan jumlah populasi.


Secara perbandingan, perwakilan rakyat di setiap negeri dalam negara kita pula tidak setimpal dengan populasi di negeri masing-masing. Contohnya, populasi di Selangor mencecah 5.5 juta tetapi ia hanya menduduki 22 kerusi parlimen, sementara Sabah yang mempunyai 3.2 juta penduduk dan Sarawak yang mempunyai 2.5 juta penduduk pula masing-masing mendapat 25 dan 31 kerusi parlimen. Hal ini menyebabkan penduduk di kawasan bandar seperti di negeri Selangor tidak mendapat perwakilan yang secukupnya (under-representation), manakala penduduk di kawasan luar bandar dan desa, seperti di negeri Sarawak pula diperuntukkan dengan wakil rakyat yang terlampau ramai (over-representation).

Jadual: Bilangan pengundi dan kerusi Parlimen yang diperuntukkan untuk setiap negeri pada tahun 2013

Negeri Taburan penduduk (juta)2 Bilangan pengundi3 Bilangan kerusi Parlimen
Perlis 0.23 134,870 3
Kedah 1.95 1,025,930 15
Kelantan 1.54 906,282 14
Terengganu 1.04 629,869 8
Pulau Pinang 1.56 834,730 13
Perak 2.35 1,397,279 24
Pahang 1.50 727,047 14
Selangor 5.46 2,020,496 22
WP Kuala Lumpur 1.67 787,826 11
WP Putrajaya 0.07 15,308 1
Negeri Sembilan 1.02 547,379 8
Melaka 0.82 434,885 6
Johor 3.35 1,579,877 26
WP Labuan 0.09 24,478 1
Sabah 3.21 969,497 25
Sarawak 2.47 1,069,654 31
Jumlah 28.3 13,105,407 222
*Taburan penduduk menurut laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010; Jumlah pengundi setakat daftar yang diwartakan pada 27 November 2012.


Perbandingan secara ringkas ini telah menyerlahkan ketidaksaksamaan antara populasi dengan pengagihan kerusi, apatah lagi menunaikan konsep “satu orang satu undi yang sama nilai”.


Persempadanan semula tidak semestinya tanggungjawab SPR 


Secara umumnya, negara yang mengadakan pilihan raya akan membahagikan kawasan pilihan raya dan membolehkan penduduk/pengundi di setiap kawasan memilih wakil rakyat masing-masing. Maka, sebuah entiti bagi melaksanakan persempadanan dan mengadakan peraturan semasa menjalankan tugas tersebut wajib diadakan. 

Tugas yang diberikan kepada peguatkuasa persempadanan adalah sama bagi semua negara, namun jenis badan penguatkuasa persempadanan dan peraturan yang diadakan bagi mencapai matlamat ini adalah berbeza-beza di setiap negara.


Sebahagian besar negara membuat persempadanan melalui pertubuhan suruhanjaya persempadanan yang khas bagi mengkaji semula pembahagian persekutuan/wilayah dan negeri-negeri kepada bahagian pilihan raya dan mengesyorkan perubahan yang diperlukan. Negara-negara ini adalah seperti:-

  • United Kingdom
  • New Zealand
  • Australia
  • Kanada
  • Jerman
  • India
  • Maritius
  • Negara Caribbean seperti Bahamas, Barbados, St Lucia dan St Vincent
  • Negara Afrika Anglophone seperti Botswana, Namibia dan Zimbabwe

Sedangkan kebanyakan negara menyerahkan tugas mengkaji semula persempadanan kepada pihak tertentu yang berkuasa, di sesetengah negara pula badan perundangan yang berfungsi sebagai badan yang bertanggungjawab dalam urusan persempadanan, walaupun pendirian dan kebebasannya sering dipertikaikan. Contohnya:

  • Belgium
  • Bulgaria
  • Croatia
  • Finland
  • Iceland
  • Sweden
  • Italy
  • Korea
  • Kyrgystan
  • Panama
  • Amerika

Tidak terkecuali juga negara-negara yang memberi kuasa kepada agensi kerajaan untuk mengendalikan segala urusan berkaitan dengan pilihan raya, termasuklah pembahagian kawasan pilihan raya. Dalam kes ini, Suruhanjaya Pilihan Raya-lah yang diberi amanah. Malaysia merupakan antara negara di mana persempadanan diuruskan oleh SPR. 

Di sesetengah negara, SPR adalah bebas daripada pengaruh dan campur tangan daripada badan eksekutif dan perundangan, seperti di Lithuania, Mexico, dan Poland, lantas dapat menunaikan amanahnya secara adil dan saksama. Namun, situasi di Kenya, Nigeria, Tanzania dan Malaysia pula di sebaliknya.
 
Jadual: Perbandingan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di negara berbeza

Negara Badan persempadanan dan anggotanya Peranan/proses
UK Suruhanjaya Sempadan (Boundary Commissions): Terdiri daripada 4 ahli Sempadan kawasan pilihan raya dikaji semula setiap 5 tahun oleh empat Suruhanjaya Persempadanan tetap, iaitu Englang, Scotland, Wales dan Ireland Utara.Suruhanjaya masing-masing membuat laporan secara berkala bagi mencadangkan sebarang perubahan yang perlu dibuat dengan mengambil kira perubahan populasi atau perubahan sempadan kerajaan tempatan.4
New Zealand Suruhanjaya Perwakilan (Representation Commission): Terdiri daripada 7 orang anggota, iaitu Juruukur Agung, perangkawan kerajaan, pesuruhjaya pilihan raya, pengerusi suruhanjaya kerajaan tempatan, 2 orang wakil masing-masing mewakili parti pemerintah dan parti oposisi yang dicalonkan oleh parlimen dan dilantik oleh Gabenor Jeneral, dan seorang lagi dicalonkan oleh anggota dalam suruhanjaya tersebut dan dilantik sebagai Gabenor Jeneral, iaitu pengerusi bagi Suruhanjaya Perwakilan (lazimnya disandang oleh ahli badan kehakiman). Sempadan kawasan pilihan raya dikaji semula setiap 5 tahun.Laporan Suruhanjaya Perwakilan mengandungi maklumat tentang populasi pengundi sebagaimana yang diperolehi daripada banci populasi.5 Antaranya kriteria bagi persempadanan semula termasuklah (Akta Pilihan Raya 1993 Seksyen 35(f) dan 45(6)) :
-Sempadan daerah bahagian pilihan raya yang sedia ada
-Kepentingan perhubungan
-Kemudahan perhubungan dan komunikasi
-Ciri-ciri topografi
-Unjuran variasi dalam populasi pengundi, termasuk jangkaan peningkatan atau pengurangan saiz populasi dalam 5 tahun yang akan datang.6
Australia Jawatankuasa Pengagihan Semula ( Redistribution Committee): Terdiri daripada pesuruhjaya pilihan raya, pegawai pilihan raya dari negeri tertentu atau wilayah utara, ketua juruukur negeri, ketua audit negeri. Sebuah Jawatankuasa Pengagihan Semula yang berasingan diadakan di setiap negeri atau wilayah, lazimnya selepas 7 tahun urusan persempadanan semula terdahulu dibuat.Setiap jawatankuasa bertanggungjawab menghasilkan satu set cadangan persempadanan dan pernamaan bagi bahagian kawasan pilihan raya kepada Dewan Undangan Negeri masing-masing.7
Kanada Suruhanjaya Persempadanan Pilihan Raya (Electoral Boundaries Commission): Terdiri daripada 3 orang ahli, dan dipengerusi oleh seorang hakim yang dilantik oleh ketua hakim wilayah dan dua orang ahli lain yang dilantik oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat. 10 suruhanjaya persempadanan yang bebas – 1 di setiap wilayah/negeri – ditubuhkan untuk mengkaji semula sempadan kawasan pilihan raya dalam negeri setiap 10 tahun, dengan:-Mencadangkan peta pilihan raya yang baru untuk wilayah masing-masing dengan mengambil kira kriteria seperti bilangan purata penduduk, kepentingan dan identiti komuniti, corak sejarah daerah pilihan raya masing-masing, saiz geografi daerah. -Berunding dengan rakyat Kanada melalui pendengaran awam.
-Mengemukakan laporan kepada Dewan Rakyat.
-Mempertimbangkan bantahan daripada ahli Dewan Rakyat.
-Menyediakan laporan terakhir bagi menggariskan sempadan pilihan raya untuk wilayah masing-masing.8
Jerman Suruhanjaya Daerah Pilihan Raya (Electoral Districts Commission): Terdiri daripada pengerusi Pejabat Statistik Persekutuan, seorang hakim dari Mahkamah Pentadbiran Persekutuan, dan lima pegawai berpangkat tinggi dalam urusan pentadbiran negeri, yang dilantik oleh Presiden pada permulaa setiap tempoh parlimen. Tugas suruhanjaya tersebut adalah melaporkan perubahan populasi di setiap kawasan pilihan raya dan mengemukakan cadangan tentang cara menggariskan semula sempadan kawasan pilihan raya setiap 4 tahun.9
India Suruhanjaya Persempadanan (Delimitation Commission): Terdiri daripada Pengarah Pesuruhjaya Pilihan Raya dan dua orang hakim atau bekas hakim Mahkamah Agung atau Mahkamah Tinggi. Persempadanan bagi menggariskan sempadan kawasan pilihan raya adalah untuk memastikan bahawa bilangan pengundi di setiap kawasan adalah sebagaimana sehampir yang dapat dilaksanakan. Persempadanan akan dikaji semula setiap 10 tahun.Populasi dalam negeri merupakan asas utama bagi pengagihan kerusi dalam Dewan Rakyat. Setiap negeri mempunyai bilangan perwakilan yang setara dengan populasi negeri masing-masing mengikuti angka banci.10
Indonesia
  1. Dewan Negara (Legislature 1st Chamber)
  2. Badan Pengurusan Pilihan Raya (Electoral Management Body):
Persempadanan kawasan pilihan raya dibuat berasaskan “kesaksamaan” populasi dan selaras dengan sempadan bidang kuasa tempatan.Kawasan pilihan raya bagi Dewan Rakyat adalah berdasarkan sempadan pentadbiran wilayah, kabupaten (regency) atau kota (municipality), atau gabungan kabupaten/kota yang sedia ada.11
Taiwan Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (Central Election Commission) Persempadanan dikaji semula setiap 10 tahun.Suruhanjaya pilihan raya pusat akan mengambil kira kawasan pentadbiran, taburan penduduk, persekitaran dan geografi, keadaan perhubungan dan trafik, faktor sejarah dan sebagainya sebagai faktor persempadanan. 12
Mexico Institute Pilihan Raya Persekutuan (Federal Electoral Institute, IFE) Menyemak semula geografi pilihan raya dan menentukan perubahan yang diperlu.
Malaysia Suruhanjaya Pilihan Raya yang terdiri daripada 7 orang ahli. Persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya dkbuat dalam tempoh tidak kurang dari 8 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun daripada siapnya urusan persempadanan terdahulu.Kriteria yang ditetapkan dalam urusan persempadanan termasuklah (Seksyen 4 Bahagian 2 Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan): -Jumlah pemilih dikehendaki lebih kurang sama kecuali kawasan-kawasan luar bandar yang menghadapi masalah perhubungan.
-Sempadan bahagian-bahagian pilihan raya tidak melangkau sempadan negeri.
-Terdapat kemudahan pentadbiran.
-Pertimbangan khas untuk mengekalkan hubungan tempatan.13

Suruhanjaya Perwakilan di New Zealand


Di antara negara-negara yang menubuhkan sebuah badan bebas bagi mengendalikan urusan berkaitan dengan pembahagian kawasan pilihan raya dan pengagihan kerusi, New Zealand boleh dijadikan sebagai teladan. New Zealand mempunyai sebuah Suruhanjaya Perwakilan yang bebas tanpa berat sebelah, serta suatu set peraturan yang terperinci bagi menyelia proses persempadanan. Seperti yang ditunjukkan dalam jadual perbandingan di atas, Suruhanjaya Perwakilan di New Zealand dianggotai 7 orang anggota, termasuk Gabenor Jeneral selaku pengerusi suruhanjaya, wakil dari parti pemerintah dan parti oposisi dan empat orang bekas penjawat awam. 

Dua orang ahli yang “berpolitik” di antaranya memainkan peranan sebagai “pemantau” bagi memastikan proses persempadanan memuaskan kepentingan parti masing-masing dengan dilaksanakan secara adil dan mematuhi peraturan yang ditetapkan, manakala kehadiran empat orang bekas penjawat awam pula bagi membekal kepakaran masing-masing sama ada dalam bidang topografi dan pemetaan, taburan penduduk, pentadbiran urusan dalam pilihan raya, mahupun berkaitan dengan hubungan antara persempadanan bahagian pilihan raya yang dicadangkan dengan sempadan kerajaan tempatan.


Persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di New Zealand tidak banyak dipengaruhi oleh politik, biarpun sebelum sistem pilihan raya pengundian pertama melepasi garisan penamat (First-Past-the-Post, FPTP) (juga dikenali sebagai sistem majoriti) diganti dengan sistem perwakilan bercampur berkadar (Mixed-Member Proportional System, MMP). Hal ini demikian kerana:

  • Ahli-ahli politik mempunyai pengaruh yang terhad dalam proses persempadanan semula; mereka tidak menggariskan sempadan kawasan pilihan raya, dan mereka juga tidak mempunyai kuasa untuk mengundi sama ada menggesa rancangan persempadanan semula dilaksanakan atau menghalang persempadanan semula digubal;
  • Suruhanjaya Perwakilan terdiri daripada wakil bukan ahli politik dan the perlantikan ahli politik dalam suruhanjaya tersebut tidak boleh melebihi ahli yang neutral tanpa latar belakang politik;
  • Keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Perwakilan adalah muktamad dan mempunyai kuatkuasa di sisi undang-undang, maka tidak boleh dicabar.

Institut Pilihan Raya Persekutuan di Mexico


Pertubuhan sebuah suruhanjaya persempadanan yang baharu seperti Suruhanjaya Perwakilan di New Zealand sesungguhnya memerlukan masa. Sementara itu, Institut Pilihan Raya Persekutuan (Federal Electoral Institute, IFE) di Mexico wajar diberi perhatian khas dalam perbincangan tentang peranan dan kecekapan sebuah badan berkuasa yang terlibat dalam pelaksanaan pilihan raya demokratik. 

Khususnya, ciri-ciri dan model operasi IFE boleh dijadikan sebagai rujukan kepada Malaysia, memandangkan IFE selaku agensi kerajaan yang mengendalikan urusan berkaitan pilihan raya berkeupayaan menjalankan kajian persempadanan semula secara bebas dan adil tanpa berat sebelah, maka memastikan perkembangan sistem pilihan raya yang demokrasi di negara Mexico.


Seperti SPR di Malaysia, IFE bertanggungjawab dalam penganjuran pilihan raya persekutuan, termasuklah Pilihan Raya Presiden Mexico, dan Pilihan Raya Umum bagi memilih ahli-ahli Dewan Rakyat dan Senator. Perbezaan antara SPR dengan IFE ialah, IFE telah mengalami proses pembaharuan yang ketara sejak pertubuhannya pada tahun 1990, di mana pembaharuan telah pun membawa kesan positif terhadap integrasi, bidang kuasa dan fungsinya secara keseluruhan. Antara dua pembaharuan yang harus dititikberatkan ialah pembaharuan yang dilaksanakan pada tahun 1996 dan 2007. 
Yang pertama, pembaharuan pada tahun 1996 telah memperkasakan kebebasan dan autonomi IFE dengan memisahkan sepenuhnya integrasi dan fungsinya daripada cawangan eksekutif, serta memastikan sebarang keputusan yang dibuat dalam IFE tidak langsung terpengaruhi oleh badan eksekutif atau pihak berkuasa yang sebagainya. 

Yang kedua, bidang kuasa IFE diperkukuhkan dan diperluaskan, khususnya dari segi pengawasan audit dan kawalan terhadap pembiayaan kepada parti politik dan kempen pilihan raya, serta turut merangkumi pengurusan slot pengiklanan dalam radio dan televisyen bagi mengendali skim pengiklanan pilihan raya yang baharu.14


Kesimpulan


SPR yang kekurangan kompetensi dalam urusan pilihan raya, apatah lagi tidak berani mengakui ketidakupayaan dan tidak sanggup mengkaji semula kelemahan diri tetapi hanya gigih mencari alasan bagi menyolek imejnya yang telah pun tercemar, sememangnya mengecewakan. Pelbagai pendedahan yang menunjukkan kegagalan SPR dalam usaha membersihkan senarai pemilih yang dipenuhi “pengundi hantu” sebelum pilihan raya, penyalahgunaan jentera kerajaan oleh parti pemerintahan semasa kempen pilihan raya yang tidak dikena tindakan, insiden dakwat kekal yang tidak kekal, serta berbagai-bagai lagi masalah ketidaktelusan dan ketidaksaksamaan dalam urusan pilihan raya, kredibiliti SPR dalam menjalankan urusan persempadanan secara adil tanpa memihak kepada parti pemerintahan sesungguhnya amat diragui. Lebih-lebih lagi, haruslah diingati bahawa SPR adalah tertakluk di bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri.


Adakah SPR yang diketuai oleh pimpinan yang keras kepala lagi muka tembok ini dapat menjalankan pembaharuan bagi meningkatkan kecekapannya dan sejurus mengembalikan pilihan raya yang bersih, bebas lagi adil kepada rakyat Malaysia? Jika jawapannya adalah negatif, maka SPR sepatutnya meletak jawatan sebagai tanda maaf kerana menodai sistem pilihan raya dan merompak demokrasi negara kita. Penting sekali, SPR tidak lagi berkelayakan dalam mengendali urusan persempadanan semula dan seharusnya menyerahkan bidang kuasa tersebut kepada sebuah badan yang bebas.







.
Continue Reading... Labels: , , ,


AMARAN Dari Anwar & Ambiga - SPR Letak Jawatan Atau Demo Lebih BESAR



Sekalung tahniah sebagai ucapan penghargaan daripada gabungan lebih 60 NGO ‘Suara Rakyat 505′ kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya yang telah bersolidariti membanjiri Dataran Petaling Jaya pada Sabtu lalu. Semua hadir dengan matlamat yang cukup jelas iaitu membantah penipuan dan kecurangan yang berlaku sepanjang pilihanraya umum ke-13.

Himpunan #SuaraRakyat505 mencapai objektif yang telah disasarkan. Perhimpunan aman berjaya dihadiri hampir seratus ribu rakyat Malaysia walaupun telah diugut dengan pelbagai ancaman oleh pihak berkuasa yang diketuai oleh Zahid Hamidi. Beberapa aktivis ditangkap sebelumnya dengan lebih banyak senarai tangkapan bagi melemahkan gerakan.

Menteri KDN itu turut menyelar bahawa himpunan #SuaraRakyat505 kononnya satu ‘tindakan provokasi’ dan akan mengambil sekeras tindakan kepada mereka yang hadir. Namun rakyat telah buktikan tahap disiplin dan komitmen yang tinggi bagi untuk memastikan himpunan berlangsung aman walaupun dengan amarah yang membara ekoran penafian demokrasi melampau.

Himpunan #SuaraRakyat505 bergema dengan tiga tuntutan utama iaitu SPR perlu letak jawatan, pilihan raya semula bagi kawasan yang terbukti berlaku penipuan dan penubuhan Tribunal Rakyat yang dikelola oleh BERSIH untuk siasat penipuan PRU.

Gabungan ‘Suara Rakyat 505′ juga turut berkongsi pendirian isu terbesar yang telah berjaya dibuktikan secara jelas berlaku penipuan dalam pilihanraya 5 Mei lalu adalah isu dakwat kekal yang tidak kekal. Rakyat telah melalui pengalaman penipuan tersebut secara langsung.
 

Hadirin #SuaraRakyat505 telah bersetuju membuat puluhan ribu laporan polis berhubung isu tersebut apabila Dato Seri Anwar Ibrahim sendiri mengulangi pendirian bersama dalam isu pembohongan SPR dan menegaskan bahawa SPR perlu letak jawatan “Sekarang, sekarang dan sekarang”.

Sebelumnya, Datuk Ambiga Pengerusi BERSIH juga menyatakan, seandainya SPR masih mempunyai maruah, maka mereka mesti meletakkan jawatan sekarang dan kegagalan penggunaan dakwat kekal merupakan alasan yang sudah cukup untuk mereka berbuat demikian.

Suara Rakyat 505 sehingga ke hari ini menganggap SPR masih tidak bersikap telus dan mahu menutup pekung di dada apabila mereka masih berdolak-dalik dalam menjawab setiap bukti yang dikemukakan oleh saksi-saksi penipuan pilihan raya termasuk isu ‘blackout’ sewaktu pengiraan undi yang jelas mempunyai bukti bergambar

Bahkan rakyat telah dialih perhatian daripada isu penipuan pilihan raya dengan menahan beberapa aktivis termasuk Adam Adli, Tian Chua, Dato Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim di bawah Akta Hasutan 1948, juga menabur sentimen perkauman melampau pada awalnya.

Isyarat penting juga telah dilontarkan oleh pemimpin utama NGO dan Pakatan Rakyat dalam setiap ucapan bagi meneruskan agenda melawan penipuan pilihanraya termasuk menyeru rakyat untuk bersedia ke Dataran Merdeka bila-bila masa selepas ini sekiranya tuntutan rakyat masih tidak dipenuhi dalam masa terdekat.

Kemuncak ini adalah himpunan terakhir yang berbentuk statik adalah satu permulaan kepada gerakan #SuaraRakyat505. Amaran terakhir dari rakyat bahawa mereka berani untuk berarak secara aman sekiranya SPR masih tidak dipecat atau meletak jawatan. Rakyat sudah bersedia ke jalanraya demi demokrasi yang telah digelapkan, bila-bila masa dari sekarang.

Gabungan ‘Suara Rakyat 505′ tegas dan tetap dengan pendirian bahawa hanya ada satu jawapan terhadap segala penipuan yang telah berlaku dalam pilihanraya 5 Mei lalu iaitu SPR harus letak jawatan, sebelum langkah seterusnya mengembalikan demokrasi dan juga sebelum mana-mana pilihanraya semula yang bakal berlangsung.

Akhir sekali, gabungan memerlukan 500,000 sukarelawan untuk berarak ke SPR, atau ke mana jua asalkan ia menepati saranan SPR meletak jawatan. Pendaftaran boleh dilakukan di pautan berikut: http://bit.ly/SuaraRakyat505. Pendaftaran juga merupakan sebuah menifestasi orang ramai mendesak seluruh pimpinan tertinggi SPR meletak jawatan.

Disediakan oleh:

Gabungan ‘Suara Rakyat 505′




. 
Continue Reading... Labels: , , , , , ,


43 Pengundi Tidak Dikenali Di Daftarkan Di Enam (6) Rumah Di Parlimen Kuala Kedah




Kewujudan pengundi hantu menjadi isu paling utama yang mempersoalkan perjalanan PRU13. Menurut laporan-laporan yang telah dibuat sebelum, semasa dan selepas hari mengundi, pengundi hantu ini dipercayai didatangkan dalam dua bentuk; iaitu rakyat asing yang diberikan kad pengenalan dan mengundi; serta pengundi rakyat Malaysia yang mengundi lebih dari sekali kerana didaftarkan di beberapa tempat.

Beberapa hari sebelum hari pengundian, jentera Barisan Nasional di seluruh negara giat mengedarkan slip-slip mengundi yang menyatakan tempat dan saluran mengundi dari rumah ke rumah. Slip-slip ini diambil dari daftar undi induk yang dikeluarkan oleh SPR.

Di seluruh negara, banyak berlaku kejadian slip undi yang diedarkan oleh Barisan Nasional itu menunjukkan wujudnya pengundi-pengundi tidak dikenali yang didaftarkan di alamat-alamat dalam kawasan tertentu. Banyak pemilik dan pengundi asal di alamat-alamat tersebut telah tampil membuat laporan polis mempersoalkan kenapa ada pengundi lain yang didaftar dengan ramai di alamat mereka, sedangkan mereka telah tinggal di alamat itu dari awal dan tidak pernah mengenali nama-nama yang didaftarkan.

Saya sendiri membantu membuat 2 laporan polis di Pandan berhubung kejadian ini pada hari pengundian.

Hari ini, saya tampilkan 5 laporan polis yang dibuat berasingan di Parlimen Kuala Kedah yang menunjukkan bahawa 43 orang yang tidak dikenali telah didaftarkan di 6 buah rumah di dalam satu taman, iaitu Taman Sri Putra.


kk1
kk2
kk3
kk4

kk5

Saya juga sertakan satu salinan Borang 10A yang dikeluarkan oleh SPR sendiri di Parlimen Kuala Kedah, yang mengesahkan bahawa seorang pengundi iaitu Lim Tiek Hong dinafikan hak mengundi kerana ada orang lain telah mengundi bagi dirinya.

kualakedah10a1
kualakedah10a2

Laporan-laporan polis dan Borang 10A yang dikeluarkan sendiri oleh SPR mengesahkan bahawa keraguan wujudnya pengundi hantu yang didaftarkan berkali-kali ada asasnya. Kejadian seperti ini di seluruh negara memperkukuhkan persepsi rakyat bahawa PRU13 penuh dengan penipuan dan SPR tidak mempunyai kewibawaan untuk mempertahankan satu proses pilihanraya yang adil, bersih dan telus.

Oleh yand demikian, saya menyeru kepimpinan SPR untuk memberikan penjelasan yang masuk akal mengenai kejadian-kejadian ini kerana ada laporan polis khusus yang dibuat mengenainya. Saya juga menyeru supaya pasukan polis mula membuat kenyataan mengenai pelbagai laporan polis mengenai penyelewengan pilihanraya yang telah dibuat selama ini.

Jika 43 pengundi yang diragui boleh wujud di satu taman di Parlimen Kuala Kedah hanya di 6 buah rumah, bayangkan berapa banyak pengundi hantu yang sebegini yang boleh didaftarkan di seluruh negara.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
27 MEI 2013 




.
Continue Reading... Labels: , , ,


Polis Kemuka Rayuan Keputusan Tolak Permohonan Reman Tiga Aktivis PR



KUALA LUMPUR, 25 Mei — Polis akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan majistret yang menolak permohonan untuk perintah tahanan reman ke atas tiga aktivis pembangkang berhubung siasatan di bawah Akta Hasutan 1948.
 
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu merupakan prosedur biasa apabila sesuatu keputusan mahkamah tidak memihak kepada polis
.
“Apa yang saya ingin beritahu ialah saya tiada niat untuk mencampuri urusan pihak polis, ini merupakan kaedah biasa apabila keputusan tidak memihak kepada polis, jadi rayuan akan dilakukan sebelum pertuduhan boleh dibuat oleh polis,” katanya kepada pemberita selepas rancangan bual bicara Hello Malaysia kelolaan Bernama TV malam tadi.

Ahmad Zahid berkata beliau sentiasa menghormati keputusan mahkamah dan tidak akan mempertikaikannya dan polis juga mempunyai prosedur tersendiri apabila berdepan perkara sedemikian. 

Dua hari lalu, anggota Parlimen Batu Tian Chua dan aktivis Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim serta Tamrin Ghafar dari PAS ditahan berhubung ceramah mereka di Dewan Perhimpunan Cina di sini pada 13 Mei lepas, yang didakwa berbaur hasutan.

Bagaimanapun, permohonan polis untuk mendapatkan perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga individu ditolak dan mereka dibebaskan serta-merta semalam. — Bernama




.
Continue Reading... Labels: , , , ,


Azmin Tolak Perhimpunan Jalanan - Pulak Dah!!!



PETALING JAYA - Perhimpunan aman disifatkan sebagai tanda suara rakyat yang perlu didengar, bagaimanapun perhimpunan jalanan yang melanggari undang-undang perlu ditolak, demikian kata Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Beliau sama sekali menegaskan bahawa tidak menyokong usaha menggulingkan kerajaan melalui kekerasan.

“Kita tak setuju berarak di tengah jalan raya, timbulkan hura-hara, saya sokong perhimpunan aman dalam keadaan teratur, bukan berarak seluruh Kuala Lumpur, kita nak berhimpun sahaja,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar di Kongres Nasional Keadilan ke-9 di Dewan Siviks, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak untuk menghentikan konflik yang ada dan mencari titik temu untuk membawa kemajuan politik Malaysia.

Ahli Parlimen Gombak itu mencadangkan supaya mengadakan satu sesi dialog bersama dengan badan bukan kerajaan (NGO), badan professional dan semua parti politik dalam negara ini.

"Saya cadangkan supaya insiatif dialog dan usaha sama diadakan tetapi bukan bersifat kepartian. Ini untuk kepentingan rakyat, keselamatan dan kemakmuran negara, saya sedia jadi  penganjurnya dan jumpa semua pihak.

"Tetapi saya tidak cakap untuk jadi kerajaan perpaduan, tidak. Saya orang pertama halang perkara itu. Kerjasama ini tidak bermaksud kerajaan perpaduan," katanya.

Jelas beliau, jika ditakrif dalam Bahasa Melayu adalah sesi temu tembung.

"Sudah tentu ada yang setuju dan tidak setuju tetapi sekurang-kurang ada dialog dan perbincangan, bukan bincang soal pembaruan dalam pilihan raya sahaja, tetapi dalam soal ekonomi, pendidikan dan serantau.

"Saya percaya NGO dan parti politik boleh menyumbang ke arah kebaikan rakyat. Lima tahun akan datang (PRU14) kita lawan lah pulak," katanya.

Ketika ditanya, adakah perhimpunan seperti Blackout 505 masih diperlukan walaupun sudah ada sesi dialog bersama.

"Itupun (perhimpunan) dialog juga, kita dialog dengan rakyat, kita dengar, salah ke? Asalkan tidak melanggar undang-undang dan perlembagaan negara.

"Saya harap Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) juga menghormati undang-undang dan perlembagaan negara," katanya. ~ SH


 Jom Turun...




.
Continue Reading... Labels: , , , , , ,


Pakatan Menang Dua Pertiga Di Kerusi Campuran Pada PRU13, Bukan Sebab "Tsunami China"



Pakatan Rakyat (PR) memenangi 59 kerusi campuran di Parlimen pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) iaitu hampir dua kali ganda daripada 30 kemenangan di kerusi majoriti Cina, menurut kajian terbaru yang sekaligus menolak dakwaan “Tsunami Cina” oleh Barisan Nasional (BN) sebagai punca kekalahan.

Badan pengkaji atas talian bebas tersebut berkata parti pemerintah BN memenangi banyak undi di kawasan luar bandar manakala PR meningkatkan sokongan di kawasan bandar dan separa bandar di negara yang sedang mengejar status negara maju 2020.

“BN mewakili majoriti luar bandar dan dapat mengekalkan kuasa dengan luar bandar dan kerusi separa bandar sahaja. Pilihan raya kali ini menunjukkan PR lemah di luar bandar yang terdiri daripada kerusi majoriti Bumiputera Sabah dan Sarawak,” kata laporan itu, yang boleh didapati dalam blog rasmi PoliTweet.

Menurut PoliTweet, 108 daripada 133 kerusi (81 peratus) dimenangi BN adalah di kerusi luar bandar, manakala PR memenangi kerusi bandar atau separa bandar hampir dengan peratusan sama (72 daripada 89 kerusi).

PR memenangi semua 16 kerusi bandar majoriti Cina, 12 kerusi bandar Melayu dan 12 kerusi bandar campuran, memberikan mereka 40 daripada jumlah keseluruhan 43 kerusi bandar (93 peratus).

Sebagai perbandingan, BN hanya memenangi 4 kerusi bandar Melayu dan 1 kerusi bandar campuran. Daripada 54 kerusi separa bandar, PR memenangi 34 daripadanya (63 peratus). BN menang baki daripada kerusi separa bandar dengan kawasan separa bandar Melayu adalah sebahagian besarnya 12 kerusi tersebut.]

PoliTweet juga menunjukkan PR memenangi lebih banyak kerusi bandar dan separa bandar majoriti Melayu berbanding BN, ia menunjukkan kerusi majoriti Melayu bukan lagi jaminan kemenangan untuk BN.

Dalam kajiannya, PoliTweet mengkategorikan kerusi kepada tiga kategori yang tidak mengikut klasifikasi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tetapi lebih berdasarkan imej satelit peta Google dan peta SPR.

PoliTweet menggariskan kawasan “pendalaman” terdiri daripada kampung, bandar kecil atau tanah ladang dan kelihatan lebih besar secaara fizikal dengan populasi yang kecil. Kawasan “bandar” pula terdiri daripada bandar yang diliputi dengan betuk pembangunan bandar. Kawasan “separa bandar” adalah gabungan kedua-duanya sekali.

Dibawah tiga kategori itu, PoliTweet membahagikan 125 kerusi sebagai luar bandar, 54 separa bandar dan 43 adalah bandar.

Kawasan bandar terdiri sedikit melebihi daripada setengah kerusi majoriti Cina, tetapi kerusi majoriti Melayu masih lagi didominasi di luar bandar. Walaubagaimanapun terdapat lebih banyak kerusi separa bandar yang majoritinya adalah Melayu berbanding majoriti Cina dan kawasan campuran dicampur-aduk sekali.

Firma kajian itu juga menekankan kebarangkalian rendah BN untuk memenangi semula kerusi bandar, memandangkan BN hanya memperoleh 47 peratus undi popular di kerusi separa bandar dan 36 peratus di kerusi bandar, berbanding 57 peratus yang diperolehnya di kerusi luar bandar.

Dalam Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia terkini pada tahun 2010 menunjukkan populasi di bandar Malaysia berlaku peningkatan mendadak sejak tahun 1960-an, dengan 71 peratus daripada rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Bank Dunia bagaimanapun meletakkan jumlah sedikit lebih tinggi sedikit pada 72 peratus.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kedua-duanya telah mencapai 100 peratus status kemajuan, manakala Selangor dan Pulau Pinang – kedua-dua kini diperintah oleh PR – merupakan yang tertinggi selepas kedua-dua bandar utama itu adalah dengan lebih 90 peratus status kemajuan.


Kebetulan, Selangor adalah negeri yang paling ramai penduduk dengan 5.46 juta orang, dan seiring dengan Putrajaya, mempunyai kadar pertumbuhan tertinggi di Malaysia disebabkan oleh penghijrahan dan peluang pekerjaan.

Dalam forum yang dianjurkan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) minggu lepas, pemerhati bebas pilihan raya Merdeka Centre mendapati pengundi jelas berpecah antara kelas-kelas yang berbeza, dengan kelas bekerja dan berpendapatan rendah kebanyakannya mengundi BN, dan kelas pertengahan dan atasan memilih PR.

Pengarah Merdeka Centre Ibrahim Suffian menekankan perbezaan antara kaum mencadangkan pengundi tidak berpecah mengikut kaum tetapi lebih kepada ideologi yang berbeza yang dikemukakan oleh kedua-dua BN dan PR.





 ~TMI


 .
Continue Reading... Labels: , , ,


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors