RSS

KISAH ABDULLAH CD MELUCUTKAN GARI DENGAN TANGAN KOSONG


Dalam masa berlangsungnya Undang-Undang Darurat, Abdullah C.D. pernah ditangkap, digari dan digiring oleh 2 pasukan polis yang didatangkan dari Raub dan Kuala Lipis. Akan tetapi, di tengah jalan, beliau secara luar biasa melucutkan gari dari tangan dan secara cerdik melepaskan diri dari tembakan musuh. Peristiwa itu memberikan pengaruh yang amat besar di kalangan massa rakyat. Ada yang menganggap beliau memiliki ilmu batin yang tinggi. (Gambar kiri: Abdullah C.D. pada tahun 1950). Sila ikuti kisahnya yang telahpun dipaparkan dalam Memoir Abdullah C.D (II)- Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10, terbitan SIRD, 2007.


          Kena Tangkap.
Setelah beberapa minggu saya menyusun bakal tentera di Benta, tiba-tiba seorang utusan Tionghua datang membawa surat dari Chen Nan. Surat itu menjelaskan bahawa Kamarulzaman dan Rashid sudah ditangkap, maka saya harus segera balik ke Temerloh untuk memimpin pasukan di sana. Dijelaskan juga bahawa harus lebih berhati-hati, tidak boleh ikut jalan kampung, tapi harus ikut jalan hutan.

Dari Peruang ke Temerloh, agak jauh perjalanannya. Saya baru saja sampai di Benta, tak tahu selok beloknya. Oleh itu saya berbincang dengan lasykar rakyat bagaimana cara ke Temerloh melalui jalan hutan. Seorang lasykar rakyat adik Sopiah (tak ingat namanya) mahir kawasan hutan di situ. Dia ada senapang kulai miliknya sendiri. Dialah yang menjadi pemandu jalan. Dari Peruang, saya dan lasykar rakyat itu meredah hutan, mendaki bukit dan petangnya tiba di Ulu Dong.

Ulu Dong kawasan organisasi gerakan revolusioner yang kukuh. Di situ ada organisasi PKM bahagian Tionghua dan Melayu dan juga ada gerakan PKMM, PETA, AWAS dan BTM. Di situ terdapat sebuah rumah yang menjadi tumpuan berbagai organisasi revolusioner ini berhubung. Kamarulzaman Teh, Boestamam, Kamaruddin Yusof dan lain-lain pernah sampai ke kawasan ini menjalankan propaganda dan menyusun organisasi massa. Massa di situ pula baik Melayu mahupun Tionghua kebanyakannya anggota organisasi revolusioner dan sesetengah mereka terlibat dalam gerakan revolusioner sejak masa pendudukan Jepun lagi.

Dari pinggir hutan, lasykar rakyat tadi mencari hubungan dengan organisasi bahagian Tionghua di Ulu Dong. Seorang penanggungjawab bahagian Tionghua bernama Ah Tai datang menemui saya di pinggir hutan. Kerana hari sudah petang, Ah Tai menasihatkan saya supaya berehat saja di Ulu Dong. Katanya, mana musuh tahu, baru saja sampai. Kawasan itu adalah kawasan yang selamat. Lagipun, katanya, ramai pemuda ingin bertemu. Walaupun pada mulanya saya agak tegas dengan pesanan surat Chen Nan, tapi akhirnya saya terpedaya juga dengan "fikiran tanpa pengawasan" dari Ah Tai itu, lalu kami sama-sama turun ke rumah tumpuan.

Kami tiba di rumah tumpuan itu hari hampir gelap. Belasan pemuda progresif datang bertemu dengan saya dan meminta hendak melihat bom tangan. Saya buka kep dan beri kepada mereka melihatnya dengan sepuas hati menantikan nasi masak.

Kira-kira pukul 9.00 malam, tiba-tiba kami diserbu polis. Di saat-saat yang genting itu saya teringat akan bom tangan. Akan tetapi saya berfikir pula kalau bom tangan itu dibuang, tentu para pemuda itu yang akan terkena. Untuk mengelakkan kemalangan ke atas para pemuda itu, saya tidak membuangnya. Jadi saya, Ah Tai dan pemuda-pemuda itu ditangkap, 14 orang semuanya (kalau tak salah ingat). Saya dan Ah Tai dibelenggu dengan satu gari, saya tangan kiri manakala Ah Tai tangan kanan. Ketika polis itu mahu memasukkan gari ke tangan kiri, saya menukar jam dari tangan kiri ke tangan kanan. Pemuda-pemuda lain diikat dengan tali. Setiap seorang pemuda di seli dengan seorang polis. Kami terus digiring keluar dari rumah tumpuan tersebut. Sejumlah dokumen dan bom tangan dirampas mereka. Saya masih ingat tarikh peristiwa itu ialah pada 10 Julai 1948.

Di depan saya dan Ah Tai ialah polis Raub dan di belakang OCPD Lipis. Sambil mengacung pistol ke belakang kami, OCPD Lipis memberi amaran: "Jangan lari, nanti saya tembak". Saya buat dengar tak dengar sahaja arahannya sambil mencari akal hendak melepaskan diri.

Pengalaman latihan dari Kem Se-Malaya memberikan saya sedikit pengetahuan mempertahankan diri. Saya siap bergelut dengan polis-polis itu. Sambil berjalan, saya berbisik dengan Ah Tai bertekad mahu melucutkan gari itu walaupun tangan terputus. Saya mengumpulkan seluruh tenaga dan fikiran sekali gus merentap kuat-kuat gari di tangan. Alhamdulillah, gari terlucut. Saya memberitahu Ah Tai. Kami serentak menerkam dan memukul polis di depan kami sehingga dia terjatuh, kemudian kami lari dengan pantas. Polis-polis lain menjadi tergamam tak tahu apa nak dibuat.

Saya dan Ah Tai berpecah mengambil hala masing-masing. Saya masuk ke dalam kebun pisang. Saya teringat baju yang saya pakai ketika itu berwarna putih, tentu mudah dinampak oleh musuh. Saya menanggalkan baju itu dan menyangkutnya di sebatang tunggul, sambil merangkak keluar dari kawasan itu. Beberapa saat kemudian, barulah polis-polis itu melepaskan tembakan. Baju yang saya sangkut ditunggul tadi menjadi sasaran tembakan polis-polis tersebut.

Ah Tai yang lari dengan gari di tangan mahir keadaan di situ. Manakala saya pula meraba dalam kegelapan malam dan tak tahu ke mana hendak di tuju. Sambil mengatur langkah, sambil mencari akal bagaimana caranya mencari orang baik dan berhubung balik dengan pihak organisasi.

Beberapa jam mengharungi kegelapan malam, akhirnya di suatu sudut saya nampak cahaya api berkelip-kelip. Saya memastikan itu adalah rumah massa. Siapakah tuan rumah itu, orang baik atau orang jahat. Bagaimana pula kalau orang jahat?

Saya memberanikan diri menghampiri rumah itu. Di dalamnya terdengar bunyi orang bercakap-cakap. Tidak berapa jelas butir percakapannya, tapi dapat menangkap percakapannya berkisar masalah bunyi tembakan tadi.
Akhirnya saya melafazkan "assalamualaikum". Tuan rumah itu membatu. Saya bercakap lagi dengan meminta maaf kerana mengganggu mereka di malam buta itu. Tapi mereka tetap membatu. Akhirnya saya bertanya apakah mereka mendengar bunyi tembakan tadi? Barulah seorang dari mereka menjawab "ya".

Dia membuka pintu dan melihat saya dengan penuh simpati. Saya menjelaskan bahawa saya lari dari tangkapan polis tadi. Tuan rumah itu memberitahu bahawa mujur saya tiba di rumahnya. Kalau saya pergi ke rumah Tok Penghulu yang tak jauh dari situ entah apalah nasib akan menimpa.

Alhamdulillah, sekali lagi saya terlepas dari bahaya. Tuan rumah itu penyokong PKMM. Dia menyediakan saya makanan dan pada malam itu juga membawa saya bertemu dengan seorang anasir cergas Tionghua di kawasan itu. Esoknya barulah saya bertemu semula dengan Ah Tai.

Selepas penangkapan di atas, kami diberitahu oleh organisasi di Ulu Dong bahawa penangkapan itu dilakukan oleh 2 pasukan polis dari Lipis dan Raub, kira-kira 1 platun (dalam lengkungan 30 orang). Seorang anasir kontra revolusi mengkhianati kami dengan membuat laporan kepada polis. Kemudian, atas desakan massa revolusioner, pasukan lasykar rakyat telah menembak mati pengkhianat yang mengabdi diri kepada penjajah itu.

Mengikut berita yang disampaikan oleh massa, 1 kompeni askar Melayu (kira-kira 100 orang) dikerahkan ke kawasan-kawasan sekitarnya untuk memburu kami. Askar-askar itu takut bukan kepalang kerana katanya "orang komunis itu kebal tak lut dek peluru dan gagah perkasa, dapat memecahkan gari besi". Ada askar yang tak berani berkawal seorang diri waktu malam, apa lagi kalau mereka bertugas di kawasan terpencil atau kawasan pendalaman. Bahkan ada berita yang mengatakan ada askar yang tak berani bergerak dalam jumlah yang kecil.

Selain mengerahkan pasukan untuk mengesan kami, penjajah British menggunakan pasukan udaranya mengebom kawasan-kawasan yang disyakinya seperti Benta, Raub dan Bentong.

Reaksi Penangkapan

Penangkapan ke atas tiga orang pimpinan bahagian Melayu memberikan ujian berat ke atas penubuhan pasukan-pasukan Melayu. Massa rakyat yang progresif dan kawan-kawan yang sedang bersembunyi di hutan belukar merasa revolusi sudah gagal, tidak ada harapan untuk melancarkan perjuangan bersenjata lagi.

Di kawasan Benta, kawan-kawan telah mendapat berita yang saya telah terlepas, tapi mereka tak tahu bagaimana keadaan saya selepas itu. Mereka menghantar Osman Abadi mencari saya, tapi malangnya, apabila Osman tiba di Jerantut, dia juga tertangkap. Selanjutnya musuh terus menangkap dan memburu kawan-kawan di Benta. Untuk sementara waktu, kawan-kawan di Benta membentuk pasukan gerila sendiri. Kemudiannya, Alang Kassim dan Ghazali dihantar ke Benta untuk memimpin tentera Melayu di situ.
  Sumber ~  ABU NAWAS

p/s: wa ciluk kata2 keramat sahabat waa Abu Nawas.... 
~Menjadi barua pemimpin adalah PARIAH, Membiarkan hidup anda di tentukan oleh orang lain juga adalah PARIAH. Oleh itu jika anda ada sifat ini maka ketahuilah anda adalah seorang PARIAH. Jika anda seorang melayu maka anda adalah melayu paria, jika anda seorang cina maka anda adalah cina paria dan jika anda seorang India maka teranglah anda seorang hindu paria..~


0 Responses to "KISAH ABDULLAH CD MELUCUTKAN GARI DENGAN TANGAN KOSONG"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors