RSS

Hakim ubah keputusan, kini terima sampel DNA Anwar bahan bukti






KUALA LUMPUR, 23 Mac — Mahkamah Tinggi hari ini mengubah keputusan dibuat dua minggu lalu dengan membenarkan tiga barang dan sampel DAN diterima sebagai bukti dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah juga memutuskan bahawa penahanan Anwar pada 16 Julai 2008 adalah sah.

Pada 8 Mac lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ketua Pembangkang itu untuk menggugurkan tiga barang yang diambil dari sel tempat beliau ditahan semalaman pada 16 Julai 2008, daripada dijadikan sebagai bukti.

Turut digugurkan ialah sampel yang diambil daripada barangan itu yang menurut pihak pendakwa adalah sepadan dengan profil DNA “lelaki Y”, yang air maninya ditemui dalam dubur pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu Anwar.

Mohd Zabidin mendapati tiga barang itu — sehelai tuala kecil ‘Good Morning’, satu botol air mineral dan satu berus gigi — telah diperoleh secara tidak sah.

Minggu lalu, pihak pendakwaan berhujah bahawa Mahkamah Tinggi boleh dan patut membenarkan permohonannya bagi dikeluarkan perintah supaya Anwar memberikan sampel DNA beliau.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berkata permohonan itu mungkin tidak pernah dibuat sebelum ini tetapi dibenarkan mengikut undang-undang manakala Akta Keterangan 1950 memberikan kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah itu.

Pihak pendakwaan mahukan sampel daripada Anwar untuk dibandingkan dengan profil “lelaki Y” yang ditemui dalam dubur Mohd Saiful.

Hari ini, Mohd Zabidin menambah, langkah mengemukakan waran tangkap oleh pendakwa membuktikan bahawa penahanan Anwar adalah dalam lingkungan perundangan.

“Sekarang, ekoran bukti IO dan pegawai yang menahan, penahanan adalah sah,” kata hakim.

“Penahanan tertuduh tidak lagi boleh dikatakan sebagai dibuat untuk mendapatkan DNA (secara tidak sah)... mahkamah membenarkan barang-barang tersebut dikemukakan sebagai bahan bukti,” kata hakim lagi.

Mahkamah bagaimanapun menolak satu lagi permohonan agar Anwar diarah menyerahkan sampel DNA dengan hakim berkata, tiada kes-kes perundangan untuk menyokong permintaan tersebut.

“Permohonan untuk memaksa tertuduh untuk menyerahkan DNA ditolak,” kata Mohd Zabidin.
Suara Anwar dapat didengar jelas dalam persekitaran bilik mahkamah yang sunyi ketika keputusan dibacakan.

“Adakah anda benar-benar terkejut? Anda benar-benar...?” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat itu dengan menoleh ke arah pemberita selepas keputusan diumumkan.

Keputusan 8 Mac lalu bermakna keterangan yang diberikan ahli kimia Nor Aidora Saedon yang mengambil sampel daripada barangan tersebut tidak akan diterima sebagai keterangan.

Begitu juga dengan keterangan ketua makmal forensik Polis Diraja Malaysia di Cheras, Supt Hamidon Adnan, yang telah mengambil tiga barang itu dari sel di ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur.

Anwar, 63, dituduh meliwat Mohd Saiful, 25, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.



.


0 Responses to "Hakim ubah keputusan, kini terima sampel DNA Anwar bahan bukti"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors