RSS

GEJALA MURTAD : IMPLIKASI TERHADAP PERKEMBANGAN ISLAM DAN MASYARAKAT MUSLIM DI MALAYSIA



BAB 1: MURTAD MENURUT PERSPEKTIF HUKUM ISLAM

1.1 Pendahuluan


Gejala murtad merupakan antara isu yang disifatkan sebagai sangat sensitif kepada masyarakat muslim khasnya di Negara ini. Orang-orang Islam yang murtad adalah dianggap telah melakukan satu jenayah yang besar terhadap agama dan umat Islam. Meskipun tidak ada statistik yang tepat mengenai jumlah sebenar orang-orang Islam yang murtad di Malaysia, namun berdasarkan kes-kes yang dilaporkan oleh media massa dan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah, gejala ini sememangnya adalah sesuatu yang serius dan perlu diberikan perhatian.

Penglibatan sesetengah kelompok bukan Islam yang tampil membela dan memperjuangkan hak-hak golongan yang murtad ini atas dasar kebebasan asasi secara jelas memberi isyarat bahawa kedudukan Islam dan masyarakat muslim kini semakin tercabar. Melalui saluran perundangan, golongan ini cuba memanfaatkan ruang dan peluang yang yang ada, meskipun tindakan mereka itu dilihat sebagai mencampuri urusan agama Islam dan hal ehwal masyarakat muslim. Gejala ini jika tidak ditangani dengan sewajarnya akan pasti membawa kepada berbagai implikasi negatif kepada perkembangan Islam dan keharmonian masyarakat muslim di Malaysia.


1.2 Pengertian Murtad

Murtad dari segi bahasa bererti kembali daripada sesuatu dan menuju kepada sesuatu yang lain daripadanya (al-Zuhaili. 1997 : 5576). Murtad juga disebut dengan perkataan irtidad atau Riddah.

Manakala dari segi istilah syarak murtad ialah memutuskan Islam atau kembali daripada Islam kepada kufur selepas menganutinya dan seterusnya menganuti mana-mana agama atau mana-mana pegangan akidah (al-Zuhaili. 1997 : 5576).

Seksyen 23 (1), Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993, Negeri Kelantan mentakrifkan irtidad ialah apa-apa perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan oleh seseorang yang mukallaf yang mana perbuatan atau perkataan itu mengikut hukum Syarak adalah menjejaskan atau berlawanan dengan akidah agama islam; Dengan syarat perbuatan itu dilakukan atau perkataan itu disebutkan dengan niat, dengan sukarela dan dengan pengetahuan dan tanpa apa-apa paksaan oleh sesiapa atau oleh keadaan.

Seksyen 23 (2) pula menyatakan; Perbuatan-perbuatan atau perkataan-perkataan yang menjejaskan akidah itu ialah perbuatan-perbuatan atau perkataan-perkataan mengenai atau bersabit dengan perkara-perkara asas yang dianggapkan mesti diketahui dan dipercayai oleh tiap-tiap orang Islam sebagai pengetahuan umumnya kerana dia orang Islam seperti perkara-perkara mengenai rukun Islam, rukun Iman dan perkara-perkara halal dan haram.


1.3 Dalil-dalil larangan Murtad

Murtad adalah seburuk-buruk kekufuran, dan diantara dalil keburukannya ialah firman Allah SWT;

وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ.

Maksudnya: Dan sesiapa diantara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya) (al-Baqarah. 2: 217) :

Dan firmannya;

مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah) kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka itu tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (al-Nahl. 16: 106) :


1.4 Perkara-perkara yang boleh menyebabkan Murtad

Secara umumnya, murtad boleh berlaku melalui amalan hati (iktikad), perkataan dan perbuatan. Menurut ulama, seseorang itu boleh menjadi murtad atau terkeluar daripada Islam dengan salah satu daripada tiga perkara, iaitu;

Pertama: Mengingkari hukum yang telah diijmakkan padanya, hukum ini dikategorikan sebagai maklum min al-din bi al-dorurah seperti mengengkari kewajipan zakat, puasa,haji, minum arak, makan riba dan sebagainya. Hukum-hukum yang berkaitan dengan perkara tersebut adalah sama dari segi pengetahuannya di antara golongan ulama dan orang awam. (Mustafa al-Khin. 1996 : 466)

Manakala mengingkari hukum yang tidak diijmakkan padanya, atau hukum yang diijmakkan padanya tetapi tersembunyi pengetahuannya daripada kebanyakan manusia, maka keengkarannya terhadap perkara tersebut tidak menyebabkan seseorang itu menjadi kufur, seperti mengengkari pensyariatan solat duha, mengingkari haramnya berkahwin dengan perempuan yang diceraikan sebelum tamat tempoh eddahnya dan lain-lain lagi (Mustafa al-Khin. 1996 : 467).


Kedua : Melakukan perbuatan yang merupakan perbuatan khusus bagi orang-orang kafir seperti sujud kepada berhala, melakukan sesuatu yang merupakan ibadah khusus orang-orang kafir atau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan pegangan seorang muslim seperti melemparkan al-quran dengan sengaja ke tempat yang kotor, melemparkan kitab-kitab hadis dan tafsir. Walaubagaimanapun hukum ini tertakluk dengan syarat seseorang itu melakukannya dengan sukarela dan bukan dengan paksaan (Mustafa al-Khin. 1996 : 467).

Ketiga : Mengucapkan perkataan yang bertentangan dengan pegangan hidup seorang muslim samada pengucapan itu dengan iktikad atau degil atau dengan tujuan gurau senda semata-mata seperti mencela agama, mencela Allah, mencela salah seorang Nabi dan sebagainya. Seseorang yang mengucapkan perkataan seperti; Islam tidak sesuai untuk dilaksanakan dalam tamadun manusia, Allah tidak wujud, pemakaian hijab adalah membawa kepada kemunduran, dan sebagainya adalah menyebabkan kekufuran samada ianya didorong oleh faktor iktikad, marah atau kerana degil. Pengucapan perkataan yang bertentangan dengan pegangan muslim adalah menyebabkan kekufuran sekalipun dengan tujuan gurau senda seperti seseorang itu berkata kepada orang yang menasihatinya : jikalau kamu masuk ke dalam syurga, tutuplah pintuya supaya aku tak boleh masuk bersama kamu (Mustafa al-Khin. 1996 : 467).

Keempat : Murtad kerana meninggalkan sesuatu perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT. Perbuatan ini dianggap murtad apabila seseorang itu meninggalkan perintah Allah SWT dengan tujuan mengingkari dan menzahirkan penentangan terhadap perintah tersebut. Sebagai contoh : Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya ketika menjelaskan ayat :
(وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ) ; menjelaskan bahawa barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT kerana menolak al-Quran dan menentang sabda Nabi SAW maka dia adalah kafir. Ibn Masud menjelaskan bahawa ayat ini adalah umum bagi sesiapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT samada dari golongan orang Islam, orang Yahudi dan orang-orang kafir. Sesiapa yang tidak berhukum dengannya tetapi tidak mengingkarinya maka dia telah melakukan perkara yang haram dan dia tetap tergolong dalam golongan orang-orang fasik dan urusannya terserah kepada Allah SWT (Abdul Karim Zaidan. 1994 : 313-314)


1.5 Kesan-kesan ke atas orang yang Murtad

Apabila seseorang muslim telah murtad, maka beberapa kesan akan timbul (Mustafa al-Khin. 1996 : 469) iaitu;

Pertama : Ditegah sepenuhnya dari menggunakan hartanya. Sehubungan itu, harta tersebut diletakkan di bawah pengawasan pemerintah dan digunakan untuk memenuhi keperluannya yang daruri. Sekiranya dia kembali kepada Islam, maka tegahan tersebut tidak dilaksanakan lagi dan dikembalikan harta tersebut kepadanya. Sekiranya tidak bertaubat, harta tersebut dianggap bukan miliknya sejak permulaan tarikh murtad.

Kedua : Terputus hak pewarisan di antaranya dengan kaum kerabatnya. Sekiranya mati salah seorang kaum keluarganya dan dia masih murtad ketika itu, maka dia tidak dapat mewarisi harta tersebut berdasarkan hadis Nabi SAW : Tidak mewarisi orang muslim akan orang kafir, dan tidak mewarisi orang kafir akan orang muslim.

Ketiga : Terpisah dengan isterinya dan akad perkahwinan tersebut tergantung. Sekiranya orang murtad itu kembali kepada Islam dalam tempoh eddah maka dia boleh bersama semula dengan isterinya tanpa akad yang baru dan tanpa rujuk. Sekiranya dia berterusan murtad sehingga tamat eddah, maka akad perkahwinan terfasakh bermula tarikh murtadnya. Sekiranya selepas itu, dia ingin kembali kepada isterinya, maka hendaklah dengan akad dan mahar yang baru.

1.6 Hukuman ke atas orang-orang yang Murtad

Hukuman ke atas orang murtad adalah merangkumi lelaki dan wanita tanpa ada perbezaan antara keduanya (Mustafa al-Khin. 1996 : 468). Walaubagaimanapun, menurut pandangan mazhab Hanafi wanita yang murtad tidak boleh dibunuh tetapi hendaklah dipenjarakan dan diminta bertaubat pada setiap hari. Sekiranya wanita tersebut bertaubat, maka dia dibebaskan daripada penjara. Tetapi sekiranya dia tetap ingkar maka dia akan dipenjarakan semula dan begitulah yang akan dilakukan sehinggalah dia mati (Abdul Karim Zaidan. 1994 : 315). Apabila seseorang lelaki atau wanita melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan kekufuran, maka hukum-hukum berikut adalah terlaksana ke atas mereka;

Pertama : Wajib meminta supaya bertaubat dengan segera, kerana berkemungkinan seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan kufur kerana syubhah, ataupun kerana kemarahan yang amat sangat, maka kewajipan pemerintah ketika itu ialah menasihatinya supaya bertaubat dan kembali kepada kebenaran (Mustafa al-Khin. 1996 : 468). Berdasarkan pandangan mazhab Syafie, hendaklah bertaubat dengan segera dan sekiranya tidak bertubat terus dibunuh (Abdul Karim Zaidan. 1994 : 322). Walaubagaimanapun menurut pandangan mazhab Hanafi meminta untuk bertaubat hanyalah sekadar sunat dan diberi tempoh untuk bertaubat selama tiga hari (Abdul Karim Zaidan. 1994 : 320)

Kedua : Memberikan amaran kepada orang yang murtad tersebut tentang hukuman berat yang akan menimpanya sekiranya dia berterusan dalam kekufurannya itu (Mustafa al-Khin. 1996 : 468).

Ketiga : Wajib dibunuh orang yang murtad itu sekiranya masih berdegil dan enggan bertaubat. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW : Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia. Dalam hadis yang lain, sabda Nabi SAW : Tidak halal darah seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah melainkan dengan tiga sebab : membunuh manusia, orang yang telah berkahwin dan melakukan zina dan orang yang meninggalkan agamanya (meninggalkan jamaah) (Mustafa al-Khin. 1996 : 468).


1.6.1 Syarat-syarat Pelaksanaan Hukuman ke atas Orang yang Murtad

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa orang yang murtad wajib dihukum bunuh dengan segera. Tetapi hukuman murtad tidak boleh dilaksanakan melainkan dengan syarat-syarat berikut ;

Pertama : Baligh dan berakal, maka kanak-kanak dan orang gila tidak dianggap murtad kerana mereka tidak dipertanggungjawabkan (tiada taklif). Walaubagaimanapun, hendaklah bagi wali kanak-kanak tersebut memberikan pengajaran kepadanya dan memintanya bertaubat (Mustafa al-Khin. 1996 : 469)

Kedua : Meminta orang yang murtad itu bertaubat. Tidak boleh menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya sebelum diminta bertaubat, tetapi hendaklah dibunuh dengan segera sekiranya tidak mahu bertaubat (Mustafa al-Khin. 1996 : 469).

Ketiga : Sabit perbuatan murtad tersebut samada dengan ikrarnya atau dengan kesaksian (Mustafa al-Khin. 1996 : 469). Sepakat jumhur ulama mengatakan bahawa kesaksian mestilah dialkukan oleh dua orang lelaki muslim yang adil (Abdul Karim Zaidan 1994 : 324).

1.6.2 Kesan Hukuman Bunuh ke atas orang yang Murtad

Terdapat beberapa kesan pelaksanaan hukuman bunuh ke atas orang yang murtad (Mustafa al-Khin. 1996 : 470) iaitu:

Haram memandikannya, mengkafankannya dan menyembahyangkannya kerana dia telah terkeluar daripada Islam.

Kedua : Haram dikebumikan di perkuburan orang Islam. Mayatnya hendaklah ditanam di satu tempat lain yang jauh dari perkuburan orang Islam.

Ketiga : Tidak boleh mewarisi harta peninggalannya.


1.7 Rumusan

Berdasarkan perbincangan yang telah dikemukakan,dapatlah difahami bahawa para ulama Islam telah bersepakat bahawa murtad merupakan antara kesalahan yang besar di dalam Islam. Ini bermakna, orang-orang yang murtad boleh dikenakan hukuman menurut undang-undang Islam. Ulama juga bersepakat bahawa murtad boleh berlaku sama ada melalui amalan hati (iktikad), perkataan atau perbuatan. Meskipun begitu,dalam konteks undang-undang takrif bagi kesalahan murtad hanya merangkumi perkataan dan perbuatan sahaja. Hal ini adalah kerana undang-undang tidak mungkin dapat membuktikan iktikad atau amalan hati seseorang yang sifatnya tersembunyi di dalam diri. Namun kedudukan ini sama sekali tidak menafikan hukum murtad yang tetap meliputi orang-orang yang berpegang dengan iktikad yang salah di sisi agama Islam.

Dalam menentukan bentuk hukuman kepada orang-orang yang murtad, para ulama telah berselisih pendapat mengenai pelaksanaan hukuman bunuh ke atas golongan wanita, adakah mereka turut dikenakan hukuman sepertimana yang dikenakan ke atas golongan lelaki. Tidak begitu jelas apakah sebenarnya perkara yang menjadi asas kepada perbezaan pendapat ulama dalam hal ini. Namun secara prinsipnya, ulama telah bersepakat bahawa orang-orang yang murtad sama ada lelaki atau wanita akan tetap dihukum setelah syarat-syarat yang ditetapkan telah dipenuhi. Apabila seseorang itu telah didapati murtad, maka beberapa kesan akan berlaku ke atasnya seperti terputusnya ikatan perkahwinan, hilang hak mempusakai dan sebagainya.

Demikianlah beberapa penjelasan mengenai kedudukan dan hukum Islam ke atas orang-orang yang murtad atau keluar daripada Islam.




BAB 2 : GEJALA MURTAD DAN IMPLIKASINYA TERHADAP MASYARAKAT MUSLIM

2.1 Latarbelakang


Gerakan memurtadkan orang-orang Islam di bumi Malaysia ini dikatakan telah bermula setelah kejatuhan kerajaan Melaka. Kedatangan Portugis pada 1511 di Melaka yang diketuai oleh Alfonso de Albuqurque membawa bersama para pendakwah kristian dalam misi 3G (Goal, Gospel and Glory) di bumi yang dinamakan ´Semenanjung Emas´. Ekoran itu, terbina A Famosa sebagai kota tempat berlindung bagi orang-orang Portugis. Portugis meninggalkan kesan ´kristianisasi´ ke atas alam Melayu dan dianggap berjaya menyebarkan ajaran Kristian secara halus kepada penduduk ketika itu. Di dalam kota A Famosa, iaitu sebuah binaan bercirikan Portugis itu terdapat sebuah kubur milik Ketua Paderi Kristian di Melaka. (http://www.amos.yadim. com.my/Sosial/ )

2.2 Keseriusan gejala murtad

Gejala murtad di Malaysia dikatakan menjadi semakin serius. Menurut Peguam Zulkifli Nordin, murtad di kalangan orang Melayu kini sudah menjadi suatu ancaman yang perlu diberi perhatian. Berdasarkan Indeks Pencemaran Akidah yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik dan Perangkaan pada tahun 1989 sahaja, seramai 4776 orang Melayu memohon untuk menukar nama dari Melayu kepada bukan Melayu atas alasan keluar dari Islam.
Kes Aisyah Bukhari bukanlah kes pertama yang murtad di Malaysia, bahkan sebelumnya beratus kes dikatakan timbul tetapi ditutup oleh pihak tertentu. Setakat kes Aisyah, 40 fail murtad pernah dikendalikan oleh peguam Zulkifli Nordin (www.harakahdaily.net) 30 Mei 2007.
Berdasarkan laporan oleh Malaysiakini.com yang bertarikh 25 Mei 2005, seramai 50 000 orang remaja Melayu sedang memohon untuk murtad di Lembah Kelang sahaja.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Hashim Yahaya dilaporkan berkata, terdapat lebih kurang 3 000 orang Islam memohon untuk keluar Islam di Wilayah Persekutuan sahaja, dan pihak berkuasa tidak boleh berbuat apa-apa kerana ketiadaan undang-undang yang menyekatnya. (Utusan Malaysia, Julai 1997)
Mufti Negeri Perak, Dato' Seri Haji Harussani Haji Zakaria dilaporkan berkata, terdapat hampir 250,000 umat Islam yang murtad di negara ini. Bilangan tersebut termasuklah kira-kira 100,000 orang-orang Melayu Islam yang telah mengistiharkan diri mereka masuk Kristian. Manakala 100,000 orang lagi sedang membuat permohonan untuk murtad. Selebihnya, tegas beliau, termasuk mereka yang memohon untuk menukar nama Islam di dalam kad pengenalan kepada nama fahaman lain.
Beliau juga dilaporkan menerima sepucuk surat dari Persatuan Mubaligh Kristian Amerika yang menuduh Pejabat Agama Islam di sini bersifat zalim kerana tidak membenarkan 30,000 orang Islam Melayu untuk masuk Kristian (www.harakahdaily.net)

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, menjelaskan bahawa berdasarkan satu kajian Yadim berhubung isu murtad tahun lalu mendapati gejala murtad di kalangan orang Melayu kini berada di tahap yang membimbangkan.
Menurut beliau, meskipun kajian itu mendapati gejala murtad di kalangan saudara baru mencatat jumlah tertinggi, tetapi jumlah orang Melayu yang murtad juga membimbangkan. Menurutnya;
“Walaupun kebanyakan orang yang murtad ini daripada saudara baru.. masuk agama Islam dan kemudian kembali ke agama asal, ada juga orang Melayu yang mula (memilih untuk murtad).
“Saya tak kata sedikit (jumlahnya), tetapi ia membimbangkan,” katanya yang tidak menyatakan jumlah orang Melayu yang murtad,” katanya. (Harian Metro, 28 Julai 2008)


2.2.1 Kes-kes Murtad

Terdapat beberapa kes yang berkaitan murtad di Malaysia antaranya;

a) Kes Natrah

Kes ini berlaku dalam tahun 1950. Natrah telah dipelihara oleh ibu angkatnya, Che Aminah sejak dari kecil lagi. Natrah dibesarkan sebagai seorang Islam dan tinggal di Kemaman, Terengganu sehingga berusia 13 tahun. Bapa Natrah telah membuat perancangan sehingga Che Aminah terpaksa pergi ke mahkamah Singapura. Setibanya di Singapura, Che Aminah diperintahkan oleh mahkamah untuk menyerahkan Natrah kepada Konsul Jeneral Belanda. Bagaimanapun masyarakat Islam menentang keras. Akhirnya Natrah diserahkan kembali kepada Che Aminah. Kerana takut peristiwa ini berulang, Natrah telah dikahwinkan ketika berusia 13 tahun dengan Mansor Adabi. Walaubagaimanapun, mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya.

Isunya dikatakan bermulanya, sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Akhirnya mahkamah membuat keputusan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
Dalam kes tersebut , mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian ? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
Secara kesimpulannya bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya.
Natrah telah dihantar pulang ke Belanda dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian. Masyarakat orang Islam di Singapura ketika itu membantah, dan ramai yang mati syahid dalam pertempuran dengan tentera British (http://forum.ekpkm.com/viewtopic. php?f=88&t=1003).


b) Kes Azlina Jailani @ Lina Joy

Nama asalnya ialah Azlina Jailani. Berwajah typical Malay, berbangsa Melayu, keturunan Jawa dan berumur 42 tahun. Bekerja di ProQuest di Taipan, Subang Jaya dan menetap di Taman Dato’ Tan Yeiw Lai, Kuala Lumpur. Beliau pernah memohon untuk ditukar namanya kepada Azlina Lelani pada tahun 1997 tetapi ditolak disebabkan alasan telah bertukar agama Kristian. Permohonan kedua untuk menukar nama kepada Lina Joy pada 1999 tanpa menyatakan sebab pertukaran kepada agama Kristian telah diluluskan, dengan kad pengenalan baru tertera perkataan Agama Islam. Ayahnya bernama Jailani bin Shariff dan ibunya bernama Kalthum binti Omar, keduanya beragama Islam dan mengamalkan carahidup sebagai Muslim.

Azlina mengisytiharkan tidak pernah mempraktikkan Islam sejak lahir, beragama Kristian sepenuhnya sejak tahun 1990, mempunyai sijil baptis yang dikeluarkan pada 11 Mei 1998, dan pada tahun 2000 menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan seorang India Kristian, dan meminta untuk didaftarkan perkahwinan tersebut untuk mengesahkan perkahwinan beliau. Beliau telah beberapa kali dipanggil dan dinasihatkan oleh Majlis Agama berkenaan kemurtadan beliau, tetapi beliau mempertahankan yang pilihan keluar dari Islam adalah kehendak sendiri dan telah dimaklumkan pada kedua ibu bapa.

Mengikut fakta kes, selepas berkahwin dengan seorang Kristian, beliau memohon untuk pendaftaran perkahwinan, tetapi tidak dibenarkan kerana di dalam Kad Pengenalannya masih tertulis beragama Islam walaupun beliau berjaya menukar nama dalam Kad Pengenalan kepada Lina Joy. Beliau berusaha untuk menghilangkan perkataan agama Islam tersebut dengan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada tahun 2000. Permohonannya tidak dibenarkan oleh JPN disebabkan tidak ada kebenaran dari Mahkamah Syariah yang membenarkan memperakui beliau keluar Islam. Mahkamah Syariah mengguna pakai undang-undang Islam yang tidak membenarkan seseorang Muslim keluar dari Islam (Murtad), dan Sijil Tukar Agama (Murtad) seperti yang dikehendaki oleh JPN tidak dapat dikeluarkan.

Permohonan dikemukakan di Mahkamah Tinggi tahun 2000, seterusnya ke Mahkamah Rayuan pada 19 September 2005, dan keduanya mengiktiraf bahawa kes adalah dalam kuasa Mahkamah Syariah untuk membenarkan beliau keluar dari Islam dan membolehkan dibuang perkataan Islam di dalam Kad Pengenalan. Setelah semuanya tidak berjaya, peguambela, Dato’ Dr Cyrus Das, juga bekas Presiden Majlis Peguam, berjaya mendapat kebenaran untuk kes dibawa kepada Mahkamah Persekutuan. Kes didengar oleh 3 Hakim (2 Muslim & 1 non-Muslim ~ Ketua Hakim Tun Fairuz, Dato’ Alauddin, & Dato’ Richard) pada dasarnya berpendirian yang sama menyokong tindakan Mahkamah Rayuan, hinggalah Majlis Peguam yang di ketuai oleh Peguam Malik Imtiaz Sarwar dan beberapa yang lain, yang hanya menjadi barisan peguam pemerhati beserta banyak lagi Pertubuhan bukan Kerajaan (NGOs) yang menyokong Lina Joy meminta untuk memberi hujah dan bersuara, dan dibenarkan oleh mahkamah yang terlibat.

Hujah yang dibawa oleh barisan peguam pemerhati yang diketuai oleh Majlis Peguam tersebut melarikan isu utama kes berkenaan daripada hak dan kuasa Mahkamah Syariah tetapi memberi hujah bahawa Lina Joy adalah berhak untuk mempraktikkan kepercayaannya dan dilindungi oleh perlembagaan sebagai hak individu seperti yang terkandung di dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. Isu Mahkamah Syariah seperti yang diputuskan oleh mahkamah terdahulu sudah tidak releven lagi pada hujah Majlis Peguam, dan isu yang diperjuangkan oleh Kumpulan Artikel 11 & IFC dijadikan isu utama kes ini di Mahkamah Persekutuan. Isu yang diperjuangkan oleh kesebelas NGOs non-Mulsim atas nama kumpulan Artikel 11 & Inter-Faith Council (IFC) adalah untuk mendefinisikan perkataan "person" (individu) yang terkandung di dalam Artikel 11 tersebut untuk merujuk kepada individu as per sey, bukan lagi kumpulan atau agama secara umumnya.

Ini adalah kali pertamanya dalam sejarah Malaysia, dikatakan penghujahan yang sebegitu berani yang dilakukan untuk menghuraikan definisi tersebut bagi menguraikan ikatan Islam mengikut kefahaman peribadi seseorang penganut itu sendiri, dan menafikan hak Islam sebagai agama untuk mewajibkan umatnya mempraktikkan amalan dan syariat Islam seperti yang terkandung dalam undang-undang Islam. (www.peguampembelaislam.com)


c) Kes Siti Fatimah Abdul Karim

Siti Fatimah binti Ab Karim, 29 tahun dilahirkan pada tahun 1978, merupakan anak kepada pasangan India Muslim, Ab Karim Masoosai bin Abdullah dan Zaleha binti Mohd Ali. Beliau dibesarkan oleh ibubapa beliau mengikut agama Islam dan beliau sendiri mengamalkan ajaran Islam sehinggalah usia 20 tahun apabila beliau melarikan diri bersama teman lelakinya yang beragama Hindu. Namun begitu, dalam affidavitnya dan laporan yang diperolehi daripada laman web, http://blog.limkitsiang.com dan Jerusalem Post mendakwa bahawa beliau telah dibesarkan oleh neneknya yang beragama hindu sedangkan mengikut maklumat dari ibunya, nenek sebelah ibunya beragama Islam manakala nenek sebelah bapanya pula beragama Kristian.

Berdasarkan kenyataan dalam laman web juga pada tahun 2001, beliau telah membuat suatu deklarasi melalui ‘statutory declaration’ bahawa beliau seorang Hindu dan menukar nama kepada Revathi Masoosai tanpa membuat sebarang permohonan di Mahkamah Syariah untuk meninggalkan agama Islam. Oleh kerana itu, kad pengenalan diri beliau masih mencatatkan nama beliau sebagai Siti Fatimah binti Ab Karim dan agama beliau adalah Islam. Menurut ibunya, ibubapa serta keluarganya telah berusaha untuk mencarinya dan membawanya pulang ke pangkuan keluarga namun kesemua usaha itu gagal kerana mereka sering diancam oleh keluarga teman lelakinya dan pernah bapa dan adik lelakinya ditahan dalam lokap polis berpunca dari pergaduhan antara kedua-dua belah pihak.

Setelah beberapa tahun melarikan diri bersama teman lelakinya, pada tahun 2004, beliau telah berkahwin dengan teman lelakinya, Suresh a/l Veerappan, seorang Hindu mengikut upacara perkahwinan agama Hindu. Oleh kerana itu, perkahwinan tersebut tidak boleh didaftarkan mengikut mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa kerana perbezaan agama.

Seterusnya, hasil daripada perkahwinan tersebut, pada 19 Disember 2005 beliau telah melahirkan seorang anak di Hospital Besar Melaka. Ibunya telah mendapatkan bantuan Jabatan Agama Islam Melaka untuk mendapatkan anak tersebut memandangkan Siti Fatimah masih seorang yang beragama Islam di sisi undang-undang.

Pada 23 Jun 2006, suatu permohonan untuk keluar daripada agama Islam oleh Siti Fatimah Binti Ab Karim telah dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka (Kes Mal Bil. 04200-043-
0005 Tahun 2006). Permohonan tersebut telah didengar di hadapan Yang Arif Tuan Mohd Radzi Bin Hj. Abd Latif, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Melaka dengan kehadiran
pemohon dan wakil Majlis Agama Islam Melaka.

Berikutan daripada permohonan tersebut, Mahkamah pada 8 Januari 2007 telah memerintahkan seperti berikut:

(i) Pemohon (Siti Fatimah Binti Abd Karim) K/P: 780615-04- 5118 ditahan di Pusat Bimbingan Islam yang di bawah seliaan Majlis Agama Islam Melaka selama 100 hari/ Pusat Pemurnian Akidah, Jabatan Agama Islam Selangor, Hulu Yam Bharu, 44300 Batang Kali, Hulu Selangor. Pemohon dibolehkan membawa anak Pemohon sekali selama pemohon berada di sana.

(ii) Pemohon tidak dibenarkan berjumpa dengan sesiapapun melainkan kedua ibubapa Pemohon dan Pegawai Jabatan Agama Islam Melaka.

(iii) Majlis Agama Islam Melaka boleh menggunakan apa sahaja cara demi menyelamatkan aqidah pihak Pemohon ini. MAIM juga perlu memantau keadaan pesalah ini semasa berada di sana.

Berdasarkan perintah tersebut, Siti Fatimah binti Ab. Karim telah dihantar ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Majlis Agama Islam Selangor. Walaubagaimanapun, beliau tidak menunjukkan perkembangan positif dalam pemulihannya. Oleh itu, pada 2 April 2007, Mahkamah Tinggi Syariah Melaka telah melanjutkan tempoh pemulihannya selama 80 hari lagi.

Puan Zaleha binti Mohamad Ali, ibu kepada Siti Fatimah telah memfailkan permohonan mendapatkan hak penjagaan sementara di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka dan permohonan tersebut telah didengar pada 6 Mac 2007 di hadapan Yang Amat Arif, Datuk Mahamad Bin Ibrahim, Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Mahkamah telah membenarkan permohonan tersebut dengan membuat perintah antara lain seperti berikut:

(i) Ibu kepada Siti Fatimah (Pemohon) diberikan Hak Jagaan Sementara ke atas bayi tersebut (anak Siti Fatimah).

(ii) Siti Fatimah (Responden) atau wakilnya diperintah untuk menyerahkan anaknya kepada ibunya (Zaleha).

(iii) Ibu kepada Siti Fatimah dibenarkan menguruskan urusan pendaftaran sijil kelahiran dan bertindak sebagai penjaga kepada anak tersebut sehingga Perintah Kekal Hak Jagaan dikeluarkan.

Perintah Mahkamah tersebut berkuatkuasa mulai 6 Mac 2007 sehingga 6 April 2007 atau sehingga Tuntutan Hadhanah dibuat di Mahkamah tersebut. Dalam melaksanakan perintah tersebut, Puan Zaleha bersama-sama peguam beliau dan pihak polis daripada Balai Polis Daerah Melaka Tengah telah mengambil bayi tersebut daripada teman lelakinya.


d) Kes Nor Aishah Haji Bokhari

Nor Aishah dan Joseph Arnold Lee dikatakan bercinta dan bercadang melangsungkan perkahwinan. Namun ianya ditentang oleh bapa Nor Aishah iaitu Haji Bokhari. Kedua-duanya kemudiannya telah melarikan diri. Hj Bokhari akhirnya dapat mengembalikan Nor Aishahke pangkuan keluarganya dan ini sekaligus menyebabkan Joseph Arnold Lee cuba mengambil semua Nor Aishah agar dapat berkahwin semula dengannya.

Permohonan dibuat ke Mahkamah melalui seorang peguam iaitu Lee Min Choon. Dia adalah peguam kepada Joseph Arnold Lee. Secara tiba-tiba peguam Leonard Teoh (peguam lain) yang muncul membuat permohonan tersebut. Sepatutnya setiap permohonan melalui peguam mestilah menggunakan nama pemohon dan bukannya nama peguam.

Apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Walhal Lee Min Choon & Co sepatutnya melakukan perintah tersebut ke atas nama Joseph Arnold Lee. Tetapi permohonan ini dilakukan atas nama Leonard Teoh. Dalam permohonan ini, isu perkahwinan tidak disentuh langung, sebaliknya mengatakan Nor Aishah hendak memeluk agama Kristian. Inilah pertama kali seorang bukan Islam membuat permohonan ke mahkamah menyuruh seorang bapa beragama Islam menyerahkan anaknya supaya dengan itu anaknya dapat dikristiankan. (http://forum.ekpkm.com/viewtopic. php?f=88&t=1003).


e) Kes Jamaluddin @ Yoshua bin Othman

Jamaluddin @ Yoshua bin Othma Vs Menteri Dalam Negeri (Malaysian Current Law Journal, 1988, Vol1, muka surat 448 -451) Dalam tahun 1987, seorang berbangsa Melayu bernama Jamaluddin, dia bukan sahaja murtad, tetapi berusaha menyebarkan agama Kristian kepada remaja-remaja Melayu. Enam remaja Melayu telah berjaya dimurtadkan. Apabila kes berkenaan dirujukkan kepada polis, ia dianggap sebagai kes keselamatan dalam negeri dan Jamaludin telah ditahan di bawah peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act- ISA).

Jamaluddin kemudiannya mengemukakan permohonan habeas corpus, yang antara hujahnya, pihak polis tiada hak untuk menahannya daripada mengamalkan agamanya sendiri kerana ia dijamin oleh perlembagaan berdasarkan Artikel 1 (11) Perlembagaan Persekutuan (kebebasan beragama). Akhirnya mahkamah membuat keputusan, memandangkan kebebasan untuk beragama Kristian diberi dalam Perlembagaan, Akta Keselamatan Dalam Negeri tidak boleh digunakan, dan beliau akhirnya dibebaskan. (http://forum.ekpkm.com/viewtopic. php?f=88&t=1003).


f) Kes Siti Fatimah Tan

Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Abdullah, 39 tahun, telah mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang untuk mendapatkan pengisytiharan keluar daripada agama Islam (murtad).
Menurut pernyataan tuntutannya, beliau tidak pernah yakin dengan ajaran Islam dan hanya memeluk agama itu sekadar untuk mencukupkan syarat bagi membolehkannya berkahwin dengan seorang lelaki warga negara Iran bernama Ferdoun Ashanian pada 16 September 2004.

Siti Fatimah, yang pernah bekerja sebagai tukang masak, memfailkan permohonan itu selepas ditinggalkan suaminya yang menghilangkan diri tanpa sebarang sebab.
Dalam tuntutannya juga, beliau menyatakan bahawa sepanjang memeluk agama Islam, dia masih lagi menyembah berhala Tok Pek Kong, berhala Kuang Tin Ne dan berhala Ti Kong (Dewa Langit) mengikut ajaran agama asalnya, Buddha dan memakan daging khinzir.

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang mendengar kes itu dahulu, Othman Ibrahim, yang kini merupakan Ketua Hakim Syarie Perlis, membenarkan permohonan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Abdullah, 39, untuk mendapatkan pengisytiharan keluar daripada agama Islam (murtad). Beliau memutuskan demikian setelah mendapati plaintif tidak mengamalkan ajaran Islam sejak memeluk agama itu pada 25 Julai 1998.

Sehubungan itu, Hakim Othman memerintahkan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) membatalkan sijil memeluk Islam wanita itu. Manakala untuk menukar status dalam kad pengenalan, Siti Fatimah diminta menguruskannya dengan Jabatan Pendaftaran Negara kerana itu di luar bidang kuasa mahkamah syariah
Keputusan tersebut dilaksanakan menurut undang-undang yang mula terpakai sejak 1 Januari 2006 lanjutan kepada Seksyen 61(3)b(X) di bawah Enakmen Aturcara Mal 2004, Mahkamah Syariah Pulau Pinang. (http://www.malaysianbar.org.my/ berita/komen_undang_undang)


2.3 Faktor-faktor berlakunya gejala Murtad

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada gejala murtad di kalangan umat Islam (http://al-ulum.com/sinar-jun07-kurang.html) antaranya;


2.3.1 Jauh dari ajaran Islam yang sebenar

Umat Islam sendiri merasakan bahawa ajaran yang terkandung dalam Quran sebagai sumber hidup manusia adalah pelik dan tidak realistik mengikut peredaran zaman. Terdapat sebilangan umat Islam yang jauh daripada ajaran Islam yang sebenar, bahkan tidak dapat membezakan antara sistem yang ada dalam Islam dan yang datang dari Barat sehingga mencampuradukkan kedua-duanya. Perkara ini mendatangkan kerosakan pada akidah umat Islam tersebut yang tidak lagi dapat membezakan antara kesahihan ajaran yang ada dalam Islam dan kebatilan kebanyakan teori yang digunapakai oleh golongan bukan Islam.

Umat Islam yang bersungguh-sungguh mempertahankan ajaran Islam dan menegakkan syiar adalah menjadi musuh kepada mereka disebabkan kepelikan ajaran yang diamalkan dalam suasana yang menuntut kepada ketamadunan dunia. Maka, berlakulah perpecahan yang mengakibatkan lahir pemuka-pemuka yang merosakkan Islam. Sungguh benar apa yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis yang bermaksud: Permulaan Islam itu dagang dan akan kembali dagang (di mata manusia) maka beruntunglah kepada orang-orang yang dagang.


2.3.2 Kejahilan umat Islam tentang keunggulan peraturan yang terkandung dalam agama Islam

Umat Islam tidak menyedari bahawa Islam diturunkan untuk menghapuskan penyembahan manusia terhadap manusia dalam segala bentuk manifestasinya, juga untuk mengesahkan penyembahan mereka hanyalah kepada Allah SWT. Sistem hidup yang lahir daripada agama Islam bukanlah sistem yang bersifat sejarah iaitu satu sistem yang terbatas pada satu period tertentu, ia juga bukanlah sistem yang bersifat kedaerahan yang hanya digunakan oleh sekumpulan generasi manusia tertentu, juga bukanlah sistem yang bersifat kaku danyang dipraktikkan dalam satu suasana atau keadaan tertentu, malahan ia merupakan satu sistem yang teguh dan utuh, diredhai Allah s.w.t. untuk dipraktikkan dalam seluruh kehidupan manusia di setiap tempat dan masa. Sistem ini bertujuan untuk mengekalkan kehidupan manusia di dunia agar berlegar di sekitar paksi yang diredhai Allah. Sistem ini juga bertujuan untuk mengekalkan kehidupan agar sentiasa dihiasi dengan nilai-nilai yang tinggi, yang dianjurkan oleh Allah s.w.t.

2.3.3 Lahir idealisme Barat yang menyesatkan dalam pemikiran umat Islam seumpama Sekularisme dan Orientalis

Faham sekular dari sudut politiknya telah mula dilaksanakan di Turki selepas penghapusan sistem Khilafah Islamiah Othmaniah pada tahun 1924. Fahaman ini seterusnya manjadi kaedah politik yang diamalkan di tanah air umat Islam. Doktrin ini jika difaham dari pentakrifannya iaitu satu doktrin yang menolak atau memisahkan agama, ciri-ciri keagamaan daripada urusan-urusan yang tidak bersangkutan dengan agama seperti pentadbiran awam dan lain-lain serta menganggap perkara keagamaan adalah satu tugas yang dilaksanakan oleh manusia untuk Tuhannya sahaja. Maka setiap manusia yang berpegang dengan doktrin ini yang menyokong dan mempertahankan keabsahan amalan yang tidak berkait dengan agama dipanggil manusia sekular.

Dengan ini, dapat kita lihat bahawa bahaya fahaman ini adalah merosak seterusnya menanggalkan aqidah umat Islam. Mereka yang menganut doktrin ini, secara automatik tidak mengiktiraf Rububiyyah Allah SWT yang Maha Pentadbir dan Penguasa seluruh alam.

Sementara fahaman nasionalisme adalah doktrin yang meletakkan kesetiaan dan ketaatan manusia kepada negara, dengan meletakkan kepentingan negaranya di atas segala kepentingan lain. Fahaman ini bertitik tolak dari andaian bahawa tumpuan utama bagi ikatan politik adalah terletak kepada bangsa. Akibatnya, perkara akidah dan agama yang paling asas diabaikan demi mengejar tuntutan bangsa dan negara.


2.3.4 Penyebaran Media Massa Barat Yang Bertebaran

Kini bertebaran media masa Barat yang bertujuan merosakan Islam dengan membuat tohmahan yang maha dahsyat kepada ajaran yang murni ini. Antara majalah dan artikel yang tersebar di Barat dan juga dibeberapa buah negara umat Islam mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah pereka kepada cerita-cerita dongeng, manakal masyarakat Arab adalah golongan yang terlalu kuat seks. Oleh itu, ramai dikalangan mereka yang bertebaran diseluruh negara kerana ingin memuaskan nafsu syahwat mereka.

Islam juga dikatakan agama yang menganjurkan keganasan memandangkan di dalam perintah supaya umat Islam berjihad memerangi orang-orang kafir, selain syariat yang terkandung dalam Al-Quran dilabelkan sebagai zalim kerana padanya terdapat hukuman bunuh seumpama merejam orang yang berzina bagi yang telah berkahwin juga membunuh orang yang keluar dari agama Islam (murtad).
Hal ini sebenarnya tidak lain hanyalah untuk meragukan-ragukan seterusnya memesong fikiran umat Islam dari ajaran mereka sendiri.


2.3.5 Dakyah daripada Bukan Islam di Negara Umat Islam

Terdapat kalangan bukan Islam yang bernaung di negara umat Islam bersikap dengki dan berniat jahat terhadap agama Islam dan penganutnya. Setelah itu, mereka mula merancang beberapa strategi jahat untuk memurtadkan umat Islam daripada semua lapisan, sehingga didapati ramai penganut Islam yang keluar dari ajaran mereka.

2.3.6 Kurang Pentarbiahan dan Pendidikan Berasaskan Agama

Di antara kekuatan umat Islam terdahulu adalah hasil dari asas didikan dalam perkara agama. Generasi sahabat Rasulullah SAW, tabi’en dan salafussoleh yang melalui pendidikan dan tarbiah keimanan yang mantap sanggup menggadaikan diri mereka demi Islam. Kisah sahabat Nabi SAW yang bernama Khabbab ibnu Al-Arat, yang disiksa sehingga luruh daging-daging dari tubuhnya, Bilal bin Rabah yang dijemur ditengah panas terik dengan diletakan batu besar atas dadanya, kesemuanya adalah kerana mempertahankan aqidah dan ajaran Islam merupakan contoh tauladan dan ikutan untuk generasi sekarang dan akan datang.

Didikkan keimanan sepertimana golongan terdahulu kini kelihatan telah hilang sedikit demi sedikit dalam diri umat Islam. Akibatnya mereka mula meringan-ringankan perkara agama. Maksiat menjadi tabiat biasa untuk dilakukan disebabkan tidak adanya didikan dan tarbiah yang cukup tentang Islam. Inilah kekurangan juga kelemahan umat Islam yang menjadi punca hilang kekuatan pada diri mereka.


2.3.7 Rosaknya Akhlak Para Pemimpin dan Penguasa

Penguasa menggunakan kuasa sewenang-wenangnya terhadap masyarakat dan beranggapan bahawa golongan yang diperintah adalah hamba mereka semata-mata. Kerana itu, mereka berlaku zalim, menghukum orang-orang yang menentang mereka tanpa usul periksa dan cuba mengembalikan mereka agar akur di bawah kekuasaan mereka.

2.3.8 Ahli Agama Yang Menentang Pembaharuan

Terdapat kalangan ahli-ahli agama yang bersifat jumud lantas menentang pembaharuan kerana kejahilan mereka, selain ada pandangan yang membataskan Agama adalah semata-mata untuk ibadah dan bukannya memandu kearah pembaharuan dan mencapai kemajuan. Perkembangan teknologi yang serba canggih dianggap sebagai medan keseronokan ahli dunia semata-mata. Tanggapan sebegini sebenarnya adalah jauh daripada sifat dan tabiat yang ada pada Islam itu sendiri sebagai agama yang merangkumi keseluruhan perkara dunia dan akhirat.

2.3.9 Lahir Ulamak Jahat

Kefasadan yang ada pada ulamak yang mencari keuntungan untuk diri mereka sendiri dan sikap mengampu mereka kepada golongan pemerintah. Ulamak seperti ini bertindak mempertahankan golongan penguasa dari ditohmah oleh masyarakat dengan pengetahuan agama, walaupun pemerintah dengan jelas melakukan maksiat. Disamping ulamak pengampu ini juga menjadi orang suruhan pemerintah yang jahil dalam mengeluarkan hukum dan fatwa demi kemaslahatan mereka dan mengaut keuntungan duniawi.

2.4 Strategi memurtadkan Umat Islam

Ketua Gereja Presbiterian yang berasal dari Ghana, Dr. John Azumah (asalnya seorang Islam dan kemudian memeluk Kristian) telah membentangkan beberapa cara bagi memurtadkan umat Islam dalam satu Persidangan Antarabangsa Bagi Penganut Evangelis di California, Amerika Syarikat pada 20 Ogos 2008. Persidangan ini teah dianjurkan oleh US Presbiterian Global Fellowship. Menurutnya terdapat empat cara yang utama bagi memurtadkan umat Islam (http://www.eramuslim.com/berita/int/8821143817) iaitu:

Strategi pertama : berusaha mengetahui selok belok mengenai ajaran Islam dan masyarakat Islam. Tunjukkan minat untuk mengetahui apa yang menakutkan mereka, apa yang menggembirakan mereka dan ajaran-ajaran mereka.

Strategi kedua : Bagi menarik minat dan hati orang-orang Islam, para missionaries mesti bertindak sebagi “sinar” dan bukan sebagi lampu suluh. Saat ini ramai missionaries yang bertindak seperti lampu suluh. Mereka menyuluh terus ke dalam mata orang Islam yang akan menyebabkan mereka melindungi matanya dan mengalihkan pandangan mereka ke arah yang lain. Maksudnya jangan terus menggunakan ayat-ayat al-Kitab tetapi bertindaklah dengan menunjukkan bahawa anda menyayangi mereka dan mencintai mereka dan seterusnya mulalah dengan menggunakan ayat al-Kitab.

Strategi ketiga : Sentiasa menceritakan pengalaman peribadi bagaimana keyakinan kita terbina terhadap agama yang dianuti kepada orang muslim.

Strategi keempat : Setelah berusaha, tunggulah perubahan yang akan terjadi. Anda mempunyai keupayaan dan pengetahuan tetapi tunggulah sehingga Ruh al-Kudus datang.
Seterusnya beliau menambah, orang Kristian perlu lebih banyak berinteraksi dengan umat Islam dan sehubungan itu beliau menyarankan supaya missionaries pergi ke Negara umat Islam dan pelajarilah bahasa dan budaya mereka, jangan paksa mereka pelajari budaya dan bahasa anda.

Pada kesempatan tersebut, Setiausaha Agung European Evangelican Alliance (EEA), Gordon Showell Rogers menyeru supaya gerakan pemurtadan umat Islam seluruh Eropah diteruskan dan beliau menambah bahawa penghijrahan umat Islam ke benua Eropah adalah merupaan kesempatan yang paling utama bagi menjalankan gerakan pemurtadan ini.
Selain itu satu kajian telah mendapati bahawa terdapat beberapa strategi yang lain digunakan bagi tujuan memurtadkan umat Islam (http://www.pmium.org/v100/modules. php?name=News&file=print&sid=229) ialah :

Pertama : Berusaha memikat wanita melayu bagi tujuan perkahwinan. Bagi tujuan tersebut wanita itu perlulah terlebih dahulu murtad dari agama Islam.
Kedua : Berusaha melalaikan umat Islam dengan dadah, mat rempit, bohsia dan sebaginya.
Ketiga : Memecahbelahkan institusi masjid dan surau.
Keempat : Memecahbelahkan masyarakat Islam di antara yang berfahaman Islam fundamental, tasawwuf dan sebagainya.

Terdapat juga beberapa strategi yang digunakan oleh kumpulan memurtadkan umat Islam sepertimana yang dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Surau Garden Homes, Seremban, Azman Basra pada 14 September 2006 (www.harakahdaily.net ) iaitu:

a) Kumpulan ini menjadikan golongan remaja sebagai sasaran kerana bagi mereka kelompok remaja lebih mudah didekati berbanding golongan dewasa yang lebih kuat pegangan akidahnya, kata Azman dalam satu pengumumannya di surau tersebut baru-baru ini.

b) Golongan Kristianisasi ini menawarkan ganjaran berupa wang saku kepada remaja yang mahu murtad, malah mereka juga ditawarkan khidmat seks (bagi yang lelaki akan mendapat perempuan, dan yang perempuan akan mendapat pasangan lelaki) dan telefon bimbit.


2.5 Gerakan Antarabangsa Memurtadkan Umat Islam di Malaysia
(http://www.amos.yadim.com. my/Sosial/SosialFull.asp?offset=125&Id=436)

Berdasarkan kajian terhadap perisian ´Windows 10/40´ yang merupakan sesuatu yang amat asing bagi masyarakat Malaysia khususnya masyarakat Islam, angka 10/40 yang tertera di belakang perkataan ´Windows´ itu terkandung satu rahsia yang harus dilihat secara ilmiah oleh semua umat Islam di Malaysia.

Pada peta dunia, Malaysia terletak pada garis lintang latitud dan magnitud 10 dan 40 . Majalah ´The Minaret´ yang diterbitkan oleh California Islamic Centre, Malaysia tersenarai dalam salah sebuah lokasi gerakan Kristianisasi terancang. Matlamat utama gerakan di sekitar latitud dan magnitud 10/40 itu untuk memesongkan akidah umat Islam supaya bertunjangkan ajaran Kristian dan inilah yang termaktub dalam gerakan 'Window 10/40'.

´Windows International Network´ (WIN) yang ditubuhkan pada 1999, bercadang menggerakkan 40 juta penganut Kristian untuk menyebarkan ajaran itu ke 67 buah negara. Sisters Beverly Pegues, pengarang ´WindoWatchman 1´ dan editor WindoWatchman II´ merupakan pengasas, Presiden dan CEO kepada gerakan ini. Pegangan utama Sisters Beverly Pegues dalam mentafsirkan gerakan ini berpandukan kepada Bible Genesis ayat 1:26; Rasul tertinggi yang dinyatakan kepada umat manusia bukanlah seperti yang dinyatakan umat Islam iaitu Nabi Muhmamad s.a.w sebaliknya adalah Jesus Christ (Isa Al-Masih) sebagai pembawa kebenaran.

Keinginan untuk menghapuskan Islam yang muncul sebagai agama paling dominan di dunia (penganut paling ramai) di samping agama Hindu dan Buddha menjadi teras perlaksanaan gerakan Windows 10/40. Menurut Bryant L Myers, faktor kemiskinan yang melanda di negara-negara sekitar 10/40 merupakan satu kelebihan untuk melebarkan gerakan Kristianisasi sebagai salah satu program pembasmian kemiskinan.

´Windows 10/40´ menggariskan empat panduan khusus kepada semua masyarakat Kristian di dunia. Matlamat utama mereka adalah menyebarkan dakyah Kristian kepada populasi bukan Kristian (majoritinya penganut Islam) di garisan latitud dan magnitud 10/40 seperti Afrika, benua Arab dan Asia. Antara panduan yang terkandung dalam manifesto ´Windows 10/40´, masyarakat Kristian seluruh dunia harus bersembahyang dan berdoa kepada Jesus supaya penduduk di kawasan sasaran menerima ´hidayah´ dan Kristian sebagai agama. Bagi melaksanakan impian tersebut, mereka disarankan supaya mendekati masyarakat di negara-negara yang terlibat melalui pelbagai cara seperti melancong ke negara-negara ´Windows 10/40´.

Justeru, untuk memudahkan penerimaan masyarakat yang majoritinya Muslim, penganut-penganut Kristian menggunakan pendekatan bijak dalam mendekati golongan sasaran. Berselindung atas nama badan-badan kebajikan dan seterusnya menghulurkan bantuan kemanusiaan, mewujudkan rumah-rumah kebajikan adalah cara terbaik yang diberikan oleh pengasas ´Windows 10/40´. Secara tidak langsung, individu yang menerima ´bantuan´ dan terpedaya dengan helah sedemikian rupa mudah dipujuk untuk beralih pegangan sekaligus dimurtadkan.

Golongan Misionaris Kristian merencanakan ´Windows 10/40´ secara terancang dan amat halus. Strategi utama yang ditancapkan pada setiap gerakan adalah berusaha memesongkan umat Islam daripada agama Islam melalui penyebaran risalah berbahasa Melayu, melodi dan irama hiburan yang pelbagai serta membuat agama palsu sebagai perbandingan antara Islam dan Kristian. Fokus utama dalam gerakan ´Windows 10/40´ ini adalah menghancurkan kesatuan umat Islam supaya terus menjauhkan diri daripada ajaran Islam yang sebenar.


2.6 Cabaran Penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) terhadap Masyarakat Muslim di Malaysia
(www.harakahdaily.net. 30 Mei 2007)

Interfaith Commission yang nama asalnya ialah Inter Religious Council (IRC) adalah sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama. Badan ini berfungsi mirip sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama yang bersabit. IFC juga akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama.
IFC digagaskan penubuhannya oleh Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh (Malaysian Consultative Council Of Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism - MCCBCHS) melalui memorandumnya kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos 2001. Presiden MCCBCHS ialah V. Harcharan Singh.

Majlis Peguam terutamanya Jawatankuasa Kecil Hak Asasi Manusia amat kuat menyokong penubuhan IFC dan amat berharap ia akan berjaya. Pada 17 Mac 2003, satu bengkel untuk menimbang keperluan wujudnya IRC diadakan. Bengkel ini gagal apabila kesemua NGO Islam menarik diri daripada terlibat dengan penubuhan suruhanjaya ini iaitu ABIM, ACCIN, JUST dan Sisters In Islam (SIS) termasuk Dr. Chandra Muzaffar yang menjadi antara orang awal yang mencadangkan dialog antara kepercayaan. Bagaimanapun Sisters In Islam (SIS) kemudian menyertai semula dan menyokong penubuhan suruhanjaya ini. Pada pertengahan tahun 2004, satu persidangan mengenai penubuhan IFC diadakan. Bagi menunjukkan wujudnya sokongan, penganjur seminar telah melantik kesemua ahli Jawatankuasa Kecil Syariah Majlis Peguam sebagai ahli jawatankuasa penganjur tanpa pengetahuan mereka.

Mengemukakan deraf ketiga undang-undang penubuhan IFC bertarikh Januari 2005 kepada persidangan cadangan penubuhan IFC. Persidangan ini di anjurkan oleh suatu badan yayasan Kristian yang beribupejabat di Negara Jerman, iaitu Konrad Adeneuer Foundation (KAF).
Matlamat IFC ialah untuk meminda beberapa ajaran asas Islam yang akan merosakkan akidah orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang-orang bukan Islam. Antara tuntutan orang-orang bukan Islam yang dibuat melalui IFC ialah;

a) Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

b) Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

c) Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.

d) Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan sesorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

e) Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

f) Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.

g) Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya. viii. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.

h) Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

i) Bible dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.

j) Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.

k) Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.

l) Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

m) Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.


2.7 Undang-undang berkaitan Murtad

Mengenai murtad, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, Seksyen 119, ada membuat peruntukan;

(1) Seseorang Islam tidak boleh keluar daripada Agama Islam atau disifatkan telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya melainkan jika dan sehingga dia telah memperoleh suatu perisytiharan bagi maksud itu daripada Mahkamah Tinggi Syariah.

(2) Suatu permohonan bagi perisytiharan di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat secara ex parte kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dalam mahkamah terbuka oleh orang yang berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya.

(3) Suatu permohonan di bawah subseksyen (2) hendaklah menyatakan alasan-alasan yang berdasarkannya pemohon berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya dan hendaklah disokong oleh suatu afidavit yang menyatakan semua fakta yang menyokong alasan permohonan itu.

(4) Setelah diterima permohonan di bawah subseksyen (2), Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang mendengar permohonan tersebut hendaklah—

(a) menasihati orang itu supaya bertaubat, dan jika Hakim berpuas hati orang itu telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, hendak merekodkan taubat orang itu; atau

(b) jika orang itu enggan bertaubat, sebelum membuat apa-apa perintah terhadap orang itu, menangguhkan pendengaran permohonan itu untuk tempoh 90 hari dan pada masa yang sama menghendaki pemohon untuk menjalani sesi runding cara dan bimbingan bagi maksud menasihati pemohon untuk menimbang semula Agama Islam sebagai agamanya.

(5) Jika pada bila-bila masa orang yang dikehendaki menjalani sesi runding cara dan bimbingan itu telah bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah.

(6) Jika Hakim berpuas hati bahawa orang yang dikemukakan di hadapannya mengikut subseksyen (5) telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, Hakim itu hendaklah merekodkan taubat orang itu.

(7) Jika setelah habis tempoh 90 hari yang disebut dalam perenggan (4)(b), orang itu masih enggan bertaubat, maka pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah.

(8) Jika setelah diterima laporan yang disebut dalam subseksyen (7), Mahkamah berpendapat bahawa harapan masih ada untuk orang itu bertaubat, maka Mahkamah boleh menangguhkan pendengaran permohonan orang itu di bawah subseksyen (2) dan pada masa yang sama memerintahkan orang itu supaya menjalani sesi runding cara dan bimbingan yang selanjutnya selama tempoh yang tidak melebihi satu tahun.

(9) Jika selepas perintah di bawah subseksyen (8) dibuat, orang itu bertaubat, maka subseksyen (5) dan (6) terpakai.

(10) Jika setelah habis tempoh yang diperintahkan di bawah subseksyen (8) dan orang itu masih enggan bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah boleh membuat keputusan untuk mengisytiharkan bahawa orang itu meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya.

(11) Sebelum Mahkamah mengiytiharkan bahawa orang itu telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya, Mahkamah hendaklah membuat perintah mengenai perkara yang berikut:

(a) pembubaran perkahwinan;

(b) pembahagian harta sepencarian;

(c) hak perwalian;

(d) hak pusaka; dan

(e) hadhanah.

Manakala Seksyen 48, Enakmen Jenayah Syariah, Negeri Sembilan ada membuat peruntukan seperti berikut;

Mana-mana orang Islam yang mendakwa dirinya sebagai seorang bukan Islam untuk mengelakkan dirinya dari diambil apa-apa tindakan di bawah Enakmen ini atau mana-mana Enakmen yang berkuatkuasa adalah bersalah atas suatu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985, Negeri Kelantan, seksyen 24 (1) dan (2), ada memperuntukkan;

(1) Sesiapa yang mengatakan atau mengaitkan melalui kata-kata, sama ada bertutur atau tulisan, atau melalui isyarat, atau melalui gambaran yang boleh dilihat atau melalui apa-apa perbuatan, kegiatan atau kelakuan, atau dengan mengelola, mengalak atau memperaturkan apa-apa kegiatan, atau selainnya dengan apa jua cara bahawa mana-mana orang yang menganuti Agama Islam, atau orang-orang yang tergolong dalam mana-mana kumpulan, kelas atau perihalan orang-orang yang menganuti Agama Islam-

(i) adalah orang kafir, atau
(ii) telah berhenti menganuti Agama Islam, atau
(iii) tidak patut diterima, atau tidak dapat diterima, sebagai menganuti Agama Islam, atau
(iv) tidak mempercayai, mengikuti, menganuti atau tergolong dalam Agama Islam,

adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya;

Dengan syarat bahawa seksyen ini tidak boleh dipakai bagi; -

(a) apa-apa perkara yang dilakukan oleh mana-mana pihak berkuasa Agama yang ditubuhkan, dibentuk atau dilantik oleh atau di bawah mana-mana Undang-undang bertulis dan yang diberikan oleh Undang-undang yang bertulis dengan kuasa memberi atau mengeluarkan apa-apa fatwa atau keputusan atau apa-apa perkara mengenai Agama Islam;

(b) apa-apa perkara yang dilakukan oleh mana-mana orang menurut atau mengikut apa-apa fatwa atau keputusan yang diberi atau dikeluarkan oleh pihak berkuasa Agama itu, sama ada fatwa atau keputusan itu adalah secara bertulis ataupun tidak, atau jika secara bertulis, sama ada ianya disiarkan dalam Warta ataupun tidak.

(2) Sesiapa yang mentafsir secara menyeleweng mana-mana fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Agama adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988, juga mempunyai peruntukan yang hampir sama dengan peruntukan Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985.

Manakala Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor, 1995, Bahagian II, Kesalahan yang berhubung dengan aqidah, seksyen 6, memperuntukkan;

(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), seseorang yang mengatakan atau mengaitkan melalui kata-kata, sama ada secara lisan atau tulisan, atau dengan isyarat, atau dengan gambaran tampak, atau dengan apa-apa perbuatan, kegiatan atau kelakuan, atau dengan mengelolakan, menganjurkan atau mengaturkan apa-apa kegiatan, atau selainnya dengan apa-apa jua cara, bahawa mana-mana orang yang menganuti agama Islam, atau orang-orang yang tergolong dalam mana-mana kumpulan, kelas atau perihalan orang yang menganuti agama Islam;

(a) adalah orang kafir;
(b) telah berhenti menganuti agama Islam;
(c) tidak patut diterima, atau tidak dapat diterima sebagai menganuti agama Islam; atau
(d) tidak mempercayai, mengikuti, menganuti atau tergolong dalam agama Islam,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

(2) Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi-

(a) apa-apa jua yang dilakukan oleh mana-mana Mahkamah atau pihak berkuasa agama yang ditubuhkan, dibentuk atau dilantik melalui atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan yang diberi oleh undang-undang bertulis kuasa untuk memberikan atau mengeluarkan apa-apa fatwa atau keputusan tentang apa-apa perkara mengenai agama Islam; atau
(b) apa-apa jua yang dilakukan oleh mana-mana orang menurut atau mengikut apa-apa fatwa atau keputusan yang diberikan atau dikeluarkan oleh Mahkamah atau pihak berkuasa agama itu, sama ada atau tidak fatwa atau keputusan itu adalah secara bertulis atau, jika bertulis, sama ada atau tidak disiarkan dalam Warta.


2.8 Implikasi gejala Murtad terhadap Agama Islam dan Masyarakat Muslim

Dr. Yusof al-Qardawi dalam tulisannya “khuturah al-riddah wa muwajahah al-fitnah” telah menjelaskan bahawa terdapat beberapa implikasi murtad kepada masyarakat Islam, antaranya (http://www.islamonline.net/arabic/contemporary/2002/02/article2a.shtml):

Pertama : Murtad merupakan ancaman utama kepada survival dan kewujudan agama Islam itu sendiri. Ini kerana orang yang murtad bukan sekadar dianggap keluar daripada Islam sahaja tetapi dia sebenarnya telah cuba untuk menyerang agama Islam itu.

Kedua : Murtad menghapuskan identiti masyarakat muslim. Ini kerana seorang yang murtad sebenarnya telah masuk ke dalam identiti ummah yang lain, telah menukar ketaatannya dan telah mencabut identiti Islam darinya.

Ketiga : Murtad akan menyebabkan agama Islam dianggap seperti barang mainan semata-mata, iaitu boleh masuk apabila dikehendaki dan boleh keluar pada bila-bila masa apabila dikehendakinya. Ini akan menyebabkan masyarakat tidak lagi mementingkan identiti agama seseorang atau identiti sesuatu ummah. Kesan yang lebih besar akan timbul apabila masyarakat menganggap semua agama adalah sama dari segi identitinya

Selain itu, perbuatan murtad dari agama Islam akan menyebabkan golongan muslim yang lemah imannya akan merasa syak dan ragu-ragu tentang kebenaran Islam. Senjata “al-tasykik” inilah yang sedang digunapakai oleh golongan musuh Islam untuk merosakkan identiti masyarakat muslim dan umat Islam. Ini telah dijelaskan melalui kata-kata seorang pemimpin Yahudi : “berlakonlah seolah-olah kamu beriman di pagi hari dan kemudian keluarlah dari agama tersebut (Islam) pada waktu petangnya supaya golongan muslim berkata dalam hati mereka, keluarnya mereka dari Islam adalah bukti bahawa agama Islam itu tidak sesuai, ini kerana mereka adalah golongan yang telah diturunkan kitab dari langit terlebih dahulu dari kita dan sesungguhnya mereka lebih mengetahui” (http://www.alminbar.net/ malafilmy/3okobat/2.htm).

Dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, salah satu ciri khusus orang melayu seperti yang ditakrifkan dalam perlembagaan ialah beragama Islam. Peruntukan ini walaupun bukanlah menunjukkan hakikat yang sebenar, namun dari sudut yang positifnya dapat menjadi salah satu benteng daripada berleluasanya gejala murtad di kalangan orang Melayu. Justeru itu, kecenderungan orang-orang melayu untuk murtad atau meninggalkan Islam dibimbangi akan menyebabkan identiti Islam akan terhakis dan imej Islam akan dipandang negatif oleh kalangan orang bukan Islam di Negara ini.


2.9 Rumusan

Secara umumnya, gejala murtad yang berlaku di Malaysia telah menunjukkan satu trend peningkatan yang amat membimbangkan. Meskipun tidak ada statistik yang tepat mengenai jumlah sebenar umat Islam yang murtad, namun kes-kes yang dilaporkan oleh media massa, selain yang telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah ternyata semakin bertambah. Sehingga kini boleh dikatakan belum ada satu penyelesaian yang benar-benar konkrit bagi membendung gejala murtad ini walaupun sesetengah negeri telah memasukkan peruntukan yang khusus mengenainya di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah seperti yang terdapat di Negeri Sembilan, Kelantan, Selangor dan beberapa negeri lain.



Sumber Facebook


.


0 Responses to "GEJALA MURTAD : IMPLIKASI TERHADAP PERKEMBANGAN ISLAM DAN MASYARAKAT MUSLIM DI MALAYSIA"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors