RSS

Kedatangan Islam serlah tamadun Hindu



Tamadun dari pengaruh agama Hindu turut menyumbang kepada proses ketamadunan di Nusantara.

PETALING JAYA: Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tamadun dari pengaruh agama Hindu turut menyumbang kepada proses ketamadunan di Nusantara.

“Kehebatan yang terserlah ialah, apabila kedatangan Islam, kedua tamadun ini dapat terjalin dengan baik dan tanpa sebarang ketegangan atau kesusahan,” katanya dalam perutusan sempena menyambut Hari Deepavali esok.

Beliau berkata, ujian sebenar ialah hari ini. Sebagai salah satu kaum utama di Malaysia, masyarakat India khususnya yang beragama Hindu masih tercicir. Lihat sahaja bagi mereka yang tinggal di estet-estet, keadaannya masih daif.

“Berulang kali disebutkan, termasuk di dalam Parlimen bahawa angka banduan, keciciran pendidikan di sekolah dan gangsterisme masih ramai yang melibatkan belia dari masyarakat India. Yang jelas ialah kepercayaan sekian lama yang mereka berikan kepada pemerintah sediakala telah dikhianati.

“Malah kita dengar bagaimana saham berbilion ringgit yang diperuntukkan kepada masyarakat kita yang keturunan India, lenyap begitu sahaja. Pembelaan bagi pihak semua masyarakat yang memerlukannya adalah tunggak perjuangan PKR sejak penubuhannya".

Dalam konteks ini kata beliau, masyarakat India tidak boleh dibiarkan terkebelakangan mengakibatkan keseluruhan corak masyarakat Negara menjadi tidak seimbang. Inilah ujian dan cabaran yang sedang dihadapai oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kesejahteraan.

Wan Azizah berkata, PKR tidak memandang sambil lewa hal ini. Kita dengan sepenuh daya upaya mahukan agar masyarakat India tidak lagi ketinggalan dan keberadaan mereka bukan hanya tempelan di kaca TV untuk menampakkan keharmonian yang serba pura-pura.

“Menjelang hari mulia 26 Oktober 2011 ini, saya mewakili seluruh barisan kepimpinan dan ahli-ahli PKR mengucapkan Selamat Hari Deepavali. Mari kita bersama membawa cahaya kebaikan ke semua warga negara kita yang tercinta,” katanya lagi.

Perayaan cahaya

Sementara itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Perayaan Deepavali kepada seluruh penganut agama Hindu, khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan.

“Deepavali tentulah merupakan perayaan penting buat penganut agama Hindu. Perayaan Cahaya ini menjadi lambang kebaikan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman,” katanya dalam kenyataan media yang berasingan.

Beliau berkata, negara kita mempunyai sejarah yang unik dalam hal kepelbagaian agama serta kepercayaan. Sebab itu Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada semua penganut agama. Agama Hindu merupakan satu daripada agama yang utama diamalkan di negara kita.

“Di Selangor sahaja, daripada sekitar 5.3 juta penduduk, 16 peratus berketurunan India dan majoritinya beragama Hindu,” jelas beliau.

Dalam realiti hidup yang majmuk, saya menyeru agar kita semua dapat bersama saling mengenali, menghormati, memahami serta menerima persamaan dan perbezaan yang ada. Ini penting dalam usaha memelihara kerukunan hidup bermasyarakat.

“Kita harus menerima bahawa perbezaan pendapat adalah hal yang tidak dapat dielakkan. Apa yang boleh dibuat ialah berikhtiar menguruskan persoalan berbangkit dengan cara aman dan bijaksana,” katanya. - FMT



Blog Laksama Bukit Bintang Mengucapkan Selamat Deepavali Kepada Semua Penganut Hindu.



.


0 Responses to "Kedatangan Islam serlah tamadun Hindu"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors