RSS

Marah harga tiket naik, laman web FAM pula digodam



KUALA LUMPUR, 28 Okt — Tidak sampai satu hari selepas Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya dilempar cat — dipercayai kerana marah dengan tindakan badan itu menaikkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia, laman webnya pula digodam.

Laman web itu dipercayai digodam tengah malam tadi dan mesej yang diletakkan jelas menunjukkan tindakan itu dilakukan kerana marah dengan kenaikan harga tiket perlawanan akhir yang akan diadakan esok.

Perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam membabitkan pertemuan Terengganu dan Negeri Sembilan.

Lambang FAM diletakkan imej khinzir dengan simbol “$” manakala perkataan persatuan diconteng dengan tanda pangkah.

Ia turut diiringi mesej yang berbunyi “So hang ckp ni negara demokrasi eh? So kami tak puas kami godam ja.. Don`t blame us.”

“Penyokong bebas buat apex2 je,” kata mesej itu yang turut melabel FAM seolah-olah bertindak seperti “kapitalis” dengan menaikkan harga tiket.

Laman yang digodam itu turut membawa satu berita akhbar tempatan mengenai kenaikan harga tiket dengan kenyataan FAM bahawa pihaknya tidak akan berganjak daripada keputusan mengenakan RM50 meskipun diprotes dan dikecam banyak pihak.

Laporan semalam memetik polis berkata pihaknya menolak andaian kejadian melempar cat merah di Wisma FAM berpunca daripada isu kenaikan harga tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah bagaimanapun berkata polis akan menyiasat sama ada wujud unsur khianat atau hutang memandangkan ia boleh berlaku atas banyak sebab.

“Andaian bahawa ia adalah sebab harga tiket itu spekulasi orang, tetapi sebab sebenarnya kita akan siasat,” katanya merujuk kepada kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, lima bungkus plastik mengandungi cat merah dilempar oleh empat lelaki bermotosikal dari luar kawasan wisma itu sehingga mengotori lantai pintu depan wisma serta memercik dan bertompok pada dinding tingkat satu serta bumbung.

Sebahagian cat turut mengenai kereta seorang pengawal keselamatan yang bertugas yang diletakkan berdekatan pagar wisma, namun sebuah bas milik FAM tidak diapa-apakan.

FAM memutuskan untuk menaikkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia daripada RM30 kepada RM50 melibatkan Terengganu dan Negeri Sembilan.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan peminat bola sepak yang merasakan kenaikan itu satu beban.

Dalam reaksinya semalam mengenai tindakan melempar cat, Presiden FAM Sultan Ahmad Shah menyifatkannya sebagai perbuatan bodoh.

“Biarkanlah, itu orang bodoh, kita tidak boleh ambil tindakan sendiri, kita ada undang-undang,” titah baginda.

Menurut baginda, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad telah pun menjelaskan bahawa kenaikan harga tiket itu adalah bagi tujuan menampung pelbagai perbelanjaan yang meningkat.

Sultan Ahmad Shah bertitah FAM tidak akan mengubah harga tiket yang telah dipersetujui bersama oleh kedua-dua persatuan bola sepak negeri berkenaan.

Bagi membantu penyokong masing-masing, kerajaan negeri Terengganu memberi subsidi RM25 untuk 30,000 tiket manakala Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan pula memberikan potongan RM20. / TMI


Dan bila aku cuba log masuk kelaman web FAM ini pula yang aku nampak. Laman itu telah pun ditutup.

http://www.fam.org.my/
     

.


0 Responses to "Marah harga tiket naik, laman web FAM pula digodam"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors