SINGAPURA - Polis
Singapura sedang menyiasat seorang blogger selepas dia dilapor
menyiarkan gambar menghina Islam di akaun Facebooknya, kes ketiga
seumpamanya di Singapura dalam tempoh seminggu.
Donaldson Tan yang juga editor laman web komentar New Asia Republic
dilapor menyiarkan gambar Kaabah bersama khinzir disertai kenyataan 'ini
adalah mesej hasutan. Anda diberi amaran'.
Tan dalam reaksinya kepada Channel News Asia berkata, dia menyiarkan
gambar tersebut bagi menyedarkan orang ramai tentang perbuatan hasutan
yang kini berleluasa di Facebook.
Dia juga enggan menarik balik penyiaran gambar itu walaupun didesak
rakan-rakan Facebooknya kerana percaya kepada kebebasan suara dan
menurutnya Islam adalah agama yang boleh dipersoalkan.
Tan turut mengakui, sebagai seorang bukan Islam tindakannya itu bersifat anti Islam dan boleh menimbulkan kemarahan di Internet.
Ini merupakan kes ketiga bersifat perkauman dan menghina agama di Singapura dalam tempoh seminggu.
Kes pertama melibatkan bekas anggota sayap Pemuda Parti Tindakan
Rakyat (PAP), Jason Neo yang disiasat kerana kenyataannya di dalam
Facebook yang menghina kanak-kanak Melayu yang menaiki bas sekolah.
Beberapa hari kemudian, anggota tentera kebangsaan (NSF), Christian
Eliab Ratnam disiasat di bawah Akta Hasutan kerana menyiarkan gambar
teks berbunyi 'Islam bukan suatu agama tetapi doktrin politik
autoritarian yang dikuat kuasakan secara paksa'.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata, polis sedang
menyiasat beberapa aduan melibatkan kenyataan menghina agama di Internet
dan meminta orang ramai bersabar sementara siasatan dijalankan.
MHA turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyiarkan ulasan
tentang agama yang boleh menyakitkan hati di Internet kerana ia hanya
akan memburukkan lagi keadaan. / CNA
.