KUALA LUMPUR 23 Nov : Kenyataan Parlimen Jerman terhadap kes Fitnah
II yang membabitkan Ketua Pembangkang merupakan tamparan hebat terhadap
kerajaan dan sistem perundangan di negara ini.
Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Yusmadi Yusoff berkata, ia
menunjukkan dunia kini sedang memerhatikan perkembangan kes berkenaan
yang akan dijadikan sebagai kayu pengukur terhadap keyakinan
antarabangsa.
“Ia
merupakan satu ‘signal’ bahawa mereka (Parlimen Jerman) turut memantau
kes berkenaan dan kezaliman terhadap kes Fitnah II Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan ini tidak boleh dipandang remeh Kerajaan,”
“Kes Fitnah II sebenarnya dijadikan kayu pengukur terhadap tahap
keyakinan pihak antarabangsa yang saya kira amat matang dalam menilai
untuk mengadili sesuatu peristiwa dengan adil,” kata Yusmadi Yusoff.
Sebelum ini Parlimen Jerman pada satu kenyataan rasmi menyifatkan kes
itu sebagai percubaan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk
menyingkirkan Anwar dan merencatkan momentum reformasi Pakatan Rakyat
dalam Pilihan Raya Umum.
Menurut Yusmadi, kenyataan tersebut perlu dilihat sebagai satu
pendirian yang tegas oleh pimpinan antarabangsa lebih-lebih lagi negara
yang mempunyai kedudukan berpengaruh di dunia.
“Selepas 10 tahun lebih Anwar difitnah dan dituruti dengan kes Fitnah
II membuatkan warga dunia telah hilang kepercayaan terhadap sistem
keadilan di Malaysia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau.
Tambahnya dalam matlamat Negara menarik pelaburan asing adalah
penting untuk mempunyai imej yang baik samada dari segi sistem
perundangan mahupun kestabilan politik.
“Sistem keadilan antara salah satu petunjuk penting mana-mana negara
terutamanya negara yang mahu meningkatkan pelaburan kerana dengan sistem
perundangan yang bebas dan telus dapat menarik lebih pelaburan,”
“Warga dunia secara berterusan memerhatikan kita dan kini jelas agenda ekonomi umno akan gagal,” katanya lagi. /KD
.