RSS

Hantu komunis lagi…



1 NOVEMBER – Seluruh negara tahu hubungan intim UMNO dengan Parti Komunis China. Malah Setiausaha Agung UMNO Datuk Tengku Adnan Mansor bangga dengan hubungan antara dua parti itu.
Namun, Timbalan Menteri Luar Negara Datuk Richard Riot menafikan hubungan UMNO-Parti Komunis China, dengan menjelaskan bahawa apa yang wujud hanyalah hubungan dua hala di antara kerajaan Barisan Nasional yang mewakili Malaysia dan kerajaan Republik Rakyat China.

Bercakap di dalam Dewan Rakyat semalam, Richard yang mewakili Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dalam BN, bagaimana pun enggan menjelaskan dengan lanjut tentang memorandum persefahaman dan kerjasama yang ditandatangani oleh UMNO dan Parti Komunis China.

Mungkin kerana SUPP dan Sarawak sering dipinggirkan oleh UMNO yang menguasai kerajaan pusat, Richard tidak mendapat gambaran sebenar tentang apa yang pimpinan UMNO lakukan.

Hipokrasi UMNO

Malah, kerana jawapan Richard yang sedemikian kepada soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sewaktu sidang Dewan itu, Naib Presiden PAS tersebut telah menyifatkan UMNO sebagai hipokrit.
Menurutnya, hipokrasi UMNO terserlah kerana bersekongkol dengan Parti Komunis China tetapi pada masa yang sama mengaitkan pembangkang dengan komunisme yang disifatkan oleh pemerintah sebagai satu pengkhianatan yang perlu diperangi habis-habisan.

Menurut agensi berita rasmi Bernama, UMNO dan Parti Komunis China menandatangani satu perjanjian persefahaman yang membolehkan pertukaran kepemimpinan belia dalam usaha meningkatkan kefahaman antara pemimpin belia mengenai pembangunan ekonomi dan sosial di kedua-dua negara pada Ogos tahun lalu.

Mahfuz telah bertanya di dalam Dewan Rakyat sama ada kerajaan sedar bahawa memorandum persefahaman yang ditandangani UMNO itu dibuat dengan Parti Komunis China yang membekalkan senjata kepada Parti Komunis Malaya “dan mungkin juga bunuh polis Bukit Kepong” pada tahun 1950.
Richard menjawab dengan menyatakan China sekarang sudah berbeza kerana ia mengamalkan dasar pintu terbuka.

Jawapan Richard yang lemah tanpa banyak asas itu menguatkan hujah Mahfuz tentang sikap talam dua muka UMNO yang masih cuba membohongi rakyat dengan hantu komunisme.

Sokong komunis, dosa pengkhianat yang tidak diampun

Minggu lalu, Datuk Seri Najib Razak sendiri yang lebih banyak bermain politik daripada bersikap sebagai pemimpin negara telah menyatakan bahawa mana-mana rakyat Malaysia yang mengagungkan perjuangan komunis adalah pengkhianat yang dosa mereka tidak layak diampunkan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, dalam kes serangan Balai Polis Bukit Kepong, kerajaan mempunyai bukti kukuh bahawa Mat Indera yang dianggap sebagai pejuang kemerdekaan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, adalah seorang komunis.

Jumaat lalu, enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia yang ditahan pada 2 Julai lalu mengikut Ordinan Darurat telah dibebaskan (atau dalam bahasa undang-undangnya dilepaskan tanpa dibebaskan).
Mereka ditahan dua minggu sebelum perhimpunan aman Bersih 2.0 diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Apakah sebenarnya ‘kesalahan’ mereka sehingga dituduh mahu ‘melancarkan perang terhadap yang di-Pertuan Agong’?

Apabila ditahan, bahan-bahan yang polis temui bersama mereka adalah bebarapa t-shirt dengan imej pemimpin komunis dan sosialis, serta risalah kempen PSM “Udah la tu…Bersara la” yang mengkritik BN. Itu sahaja.

Apa yang terjadi ialah PSM menjadi mangsa hantu komunisme untuk pemerintah menghancurkan usaha rakyat prihatin menjayakan perhimpunan aman Bersih 2.0 walau pun pihak berkuasa menyedari kempen PSM tidak ada kena-mengena dengan Bersih.

Namun, demi menegakkan benang yang basah, walau pun UMNO intim hubungan dengan Parti Komunis China dan mempunyai ikatan dengan beberapa parti komunis antarabangsa yang lain, ideologi itu telah dijadikan senjata untuk melumpuhkan usaha rakyat membebaskan negara daripada cengkaman politik perkauman UMNO.

Meludah ke langit

Sebelum ini pun, Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming, menyergah UMNO kerana bersikap hipkorit apabila mengecam Mat Sabu sedangkan UMNO sendiri bersekongkol dengan Parti Komunis China.


“Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sendiri telah menandatangani perjanjian atau memorandum kerjasama antara Parti Komunis China dan UMNO pada bulan Ogos, tahun 2010.

“Adalah jelas ini terbukti bahawa apabila UMNO mengutuk komunis dan melemparkan segala fitnah terhadap Parti Komunis Malaya serta cuba menodai nama baik Mat Sabu, UMNO secara terbuka telah menjalin hubungan intim dengan bapa komunis kepada PKM iaitu Parti Komunis China,” katanya.

Baginya, UMNO bersikap seperti meludah ke langit, akhirnya kena pada muka sendiri kerana akibat fitnah.
Yang dapat menyedarkan UMNO daripada perbuatan fitnah yang semakin menjadi-jadi adalah rakyat sendiri, khusususnya orang Melayu yang sering dipermainkan sentimen dan emosi mereka oleh parti itu serta kumpulan penyokong dan pecacai mereka.

Memang fitnah, termasuk fitnah yang dikaikan dengan komunisme untuk memburukkan Pakatan Rakyat, menguntungkan segelintir pemimpin yang gila kuasa. Tetapi yang paling rugi adalah rakyat terbanyak kerana mereka juga akan dihidangkan juadah fitnah pada hari-hari mendatang.

Malah, yang bakal menjadi mangsa adalah jutaan ahli biasa UMNO sendiri. Relakah ahli-ahli UMNO ditipu hidup-hidup oleh para pemimpin yang hanya pentingkan diri, keluarga dan kepentingan mereka sendiri sahaja?

– Roketkini.com


.


0 Responses to "Hantu komunis lagi…"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors