RSS

Rombongan dihalang tinjau Pusat Fidlot Shahrizat


Gambar Ikhsan MalaysiaKini
GEMAS 3 Nov: Rombongan pimpinan KEADILAN yang membuat lawatan ke Pusat Fidlot Kebangsaan hari ini dihalang daripada masuk meninjau ladang lembu itu.

Rombongan itu yang dianjurkan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan Adun Sikamat, Aminuddin Harun disertai kira-kira 30 orang termasuk wartawan dan aktivis NGO, Jingga 13.

Rombongan itu tiba di pusat fidlot itu yang dimiliki National Fidlot Corporation (NFC) pada kira-kira jam 12.40 tengahari namun dihalang pihak keselamatan yang enggan membuka pintu pagar utama.

Rafizi Ramli cuba berunding dengan pengawal keselamatan dan menjelaskan bahawa KEADILAN sendiri telah menghantar surat rasmi kepada pihak (NFC).

Malah, kata Rafizi, Menteri Pertanian dan Indsutri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sendiri sebelum ini pernah menegaskan yang pintu pusat fidlot itu akan dibuka kepada sesiapa sahaja untuk dilawati sebagai bukti ketelusan kerajaan dalam penganugerahan projek itu.

“Ini kemudahan kerajaan. Bukan milik swasta,” kata Rafizi merujuk kepada RM250 juta yang dilaburkan kerajaan BN kepada NFC yang dimiliki keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

“Kita datang berdasarkan jemputan daripada Menteri Pertanian. (Beliau kata), sesiapa yang mahu datang, beliau akan buka pintu,” kata Rafizi lagi.

Pengawal keselamatan yang menjaga pagar kemudiannya berkata beliau menerima arahan daripada majikannya yang mengarahkan agar tidak menerima sesiapa untuk melawat hari ini. Rafizi kemudiannya cuba berunding agar NFC membenarkan wartawan untuk masuk dan meninjau kawasan ternakan lembu seluas 5 ribu ekar dan didakwa menternak sehingga 1500 ekor lembu pada satu-satu masa itu.

Beliau juga meminta pengawal keselamatan itu memanggil mana-mana pegawai NFC untuk berunding namun kedua-dua permintaan itu tidak dihiraukan. Malah, pengawal keselamatan itu juga mengugut untuk memanggil polis jika rombongan itu tidak bersurai dalam masa 10 minit.

Namun anehnya, di dalam pagar NFC sendiri kelihatan 3 orang lelaki yang kelihatan seperti polis Cawangan Khas membuat rakaman video ke atas rombongan terbabit.
NFC mencuri tumpuan orang ramai apabila ia diketahui diterajui Agro Science Sdn Bhd, syarikat yang dimiliki keluarga Shahrizat Jalil.

Ia diberikan peruntukan kewangan sebanyak RM250 juta melalui RMK 9 namun sehingga ke hari ini gagal memenuhi keperluan pasaran sebanyak 40 peratus yang sepatutnya dipenuhi. Sehingga ke hari ini, sebanyak RM141 juta telah diberikan kepada Agro Science dengan RM6 juta dalam bentuk geran dan RM135 juta lagi dalam bentuk pinjaman kadar rendah sebanyak 2 peratus setahun.

Menurut Rafizi, persoalan utama sekarang adalah Agro Science diberikan kadar pinjaman yang sangat rendah oleh kerajaan namun ia gagal melaksanakan tugas utamanya malah ada ura-ura daging lembu yang dihasilkan digunakan untuk memenuhi keperluan restoran mewah keluarga Shahrizat.

Justeru, Rafizi menuntut Shahrizat tampil menjelaskan perkara itu serta membersihkan namanya jika benar NFC dan Agro Science tiada apa-apa untuk disorokkan. / KD


.


0 Responses to "Rombongan dihalang tinjau Pusat Fidlot Shahrizat"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors