RSS

UIA Main Tarik Tali? Aziz Bari Masih Tunggu Jawapan Surat Peletakan Jawatannya




PETALING JAYA: Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari menegaskan beliau masih belum mendapat maklum balas daripada pejabat Nai Canselor berhubung permohonannya untuk meninggalkan universiti tersebut.

Susulan itu, Abdul Aziz berkata, beliau sukar untuk menjelaskan statusnya di universiti tersebut kerana tiada 'hitam putih' dikeluarkan sehingga ke hari ini.

"Apa yang boleh saya katakan...saya masih lagi bersama UIAM. Namun tiada sebarang maklum balas diterima daripada universiti mengenai status saya lagi," katanya.

Menurut beliau, UIAM juga tidak memberi respon terhadap jawapannya kepada surat tunjuk sebab yang diserahkan kepada pihak universiti pada 24 Oktober lalu.

"Sudah sebulan lebih saya tunggu reaksi mereka. Sehingga hari ini tiada jawapan diberikan," katanya lagi.

Abdul Aziz menerima surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh unit undang-undang universiti tersebut pada 19 Oktober lalu ekoran kenyataan beliau yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Sementara itu, Abdul Aziz menegaskan tindakan meninggalkan universiti itu tidak akan memberi apa-apa kesan kepada dirinya.

"Jika tidak bekerja di sini, saya ada kerja lain. Jadi saya tiada masalah sekiranya meninggalkan UIAM," katanya.

Dalam pada itu, peguamnya, Dr Dzulkarnain Lukman mengesahkan Abdul Aziz telah menghantar surat peletakan jawatan kepada universiti tersebut baru-baru ini.

Dzulkarnain berkata, Abdul Aziz ada menyuarakan rasa kecewa terhadap konflik yang menimpanya kerana tidak diselesaikan sehingga hari ini.

"Tiada hitam putih dikeluarkan...hanya kelabu," katanya berseloroh.

Pada Khamis, sebuah akhbar tempatan melaporkan Abdul Aziz mengambil keputusan untuk meninggalkan UIAM kerana merasakan dirinya tidak lagi sesuai berkhidmat di universiti tersebut.

Beliau berkata, persekitaran di universiti tersebut menyebabkan niatnya untuk menjadi ahli akademik yang prihatin dengan masalah masyarakat dianggap sesuatu yang ganjil.

"Saya terpaksa tinggalkan UIAM kerana dalam keadaan sekarang, tiada ruang sesuai untuk saya terus berkhidmat di situ mahu pun institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain," katanya.


.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors