Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat kenyataan Datuk Seri Najib
Tun Razak bahawa beliau sedia berdebat mengenai politik dengan sesiapa
saja yang berfikiran munasabah dan yang serius mengenai masa depan
negara sebagai alasan untuk mengelakkan perdebatan. Bagi DPPM, Datuk
Seri Najib Tun Razak sebenarnya ketakutan untuk berdepan dengan pemimpin
Pakatan Rakyat yang mahu berdebat dengan beliau serta gentar terhadap
kebenaran yang bakal dibongkar di atas pentas perdebatan. Kerana itulah
beliau terus beralasan dan mencari helah bagi mengelakkan pertembungan
yang boleh menjatuhkan kredibiliti beliau.
DPPM merasakan Datuk Seri Najib lebih
suka memilih ‘menembak dari jauh’ atau melalui satu pihak sahaja iaitu
menggunakan sepenuhnya media utama negara daripada berdepan dengan hujah
balas pihak lawan. Ia mengulangi episod pemimpin-pemimpin UMNO
terdahulu yang gemar menyerang pembangkang melalui media tanpa diberi
peluang pemimpin lawan mengemukakan hujah bagi menjawab tuduhan mereka.
Sedangkan rakyat melihat ‘regu’ debat
terbaik buat Datuk Seri Najib adalah Datuk Seri Anwar sendiri. Selain
Datuk Seri Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia, beliau juga adalah
Presiden UMNO. Manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim pula adalah Ketua
Pembangkang dan Ketua Umum PKR. Sudah tentu kedua-duanya layak untuk
digandingkan bersama di atas satu pentas. Jika tidak, Datuk Seri Najib
juga boleh memilih Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai
teman perdebatan kerana Presiden PAS juga hebat dan setara dengan
beliau.
Jika pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat
juga boleh dianggap ‘tidak munasabah’ dan tidak serius memikirkan masa
depan negara seperti menurut perkiraan Najib, siapakah pula mereka yang
boleh dianggap munasabah? Mungkin Datuk Seri Najib rasa hanya beliau dan
orang partinya sahaja yang berfikiran munasabah dan serius memikirkan
masa depan negara manakal pihak lain tidak.
Datuk Seri Najib juga tidak harus merasa
bimbang sekiranya pemimpin-pemimpin ini gagal mengawal diri apabila
berdepan dengan sesuatu perdebatan. Perdebatan ini akan berlangsung
dengan penuh ilmiah dan memelihara adab kesopanan. DPPM yakin, pemimpin
Pakatan Rakyat tidak emosi jika berada di atas pentas. Sudah acapkali
pemimpin Pakatan Rakyat berdebat atau berpidato. Malah Datuk Seri Najib
juga boleh menghadkan penyokong supaya tidak terlalu ramai. DPPM juga
sanggup berjanji, bahawa penyokong PAS dan Pakatan Rakyat tidak
mengganggu beliau ketika sesi debat tersebut.
Justeru, DPPM meminta Datuk Seri Najib
jangan lagi mencari alasan untuk mengelakkan perdebatan. Jika beliau
enggan, beliau harus menolak terus debat tersebut tanpa mencari alasan
lain. Ini akan menjelaskan lagi siapa Datuk Seri Najib disisi rakyat.
Beliau hanya berani ketika kerada di depan penyokongnya sahaja serta
melalui media yang berada di dalam genggamannya, beliau sebenarnya kecut
jika berada di dalam gelanggang rakyat.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
.