RSS

Dari Penjual Kelapa Salai, Akhirnya Ke Menteri Besar Selangor



Memandang dengan wajah yang sayu, anak itu tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rumah salai kelapa yang dibina bersama neneknya dari rentung dijilat api.
 
Pada hari itu, bukan sahaja salah satu punca pendapatan keluarganya hilang, malah dia harus mencari jalan melangsaikan upah yang perlu dibayar kepada beberapa orang perkerja.

Tertekan dengan kejadian itu, semangatnya tidak patah, malah dia mampu berdiri di hadapan keluarganya bagi menyatakan kesediaannya untuk bertanggungjawab atas kejadian tersebut, sedangkan ketika itu dia cuma berusia 12 tahun.

Akibatnya, anak itu kehilangan biasiswa persekolahan dan terpaksa membuat kerja sambilan dengan  mengajar matematik kepada anak-anak seorang tauke Cina yang bersekolah di darjah tiga dan empat.

Akhirnya, hasil titik peluh anak kampung itu, beliau berjaya meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarganya.

Peristiwa kebakaran rumah salai itu memberi kesan sangat mendalam di hati kecil anak itu dan masih kekal dalam ingatanya.

Pada 1979, 21 Tahun selepas kejadian kebakaran rumah salai neneknya, anak kecil yang  pernah menjual kelapa salai itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Permodalan Nasional Berhad.

Dua tahun kemudiannya, nama penjual kelapa salai itu menjadi sebutan masyarakat dan korporat antarabangsa. 


Ini atas kejayaan mengetuai operasi ‘dawn raid’ di Bursa Saham London dengan ‘membawa pulang’ syarikat ladang kelapa sawit gergasi Malaysianized Guthrie (kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd).

Dua puluh tujuh tahun selepas kejayaan ‘dawn raid’, anak itu dinobatkan pula sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-14.

Demikian antara liku-liku kehidupan pernah ditempuhi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sempat dirakamkan beliau dalam buku sulongnya, ‘Fearless: From Kampung Boy To CEO’.

Buku tersebut dilancarkan oleh isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Sunway Pyramid hari ini.

Selain menceritakan pengalaman beliau ketika meningkat dewasa, Abdul Khalid turut menyelitkan tips-tips berguna dalam mengejar impiannya untuk dikongsikan bersama masyarakat.

Antara pengajaran penting yang dikongsikan Khalid dalam buku setebal 76 halaman ini, beliau amat menitikberatkan sikap bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.

Selain isi kandungan yang padat dengan pengalaman perit dan lucu buku ini bertambah menarik kerana dipersembahkan dengan gaya penyampaian seolah-olah Abdul Khalid berkomunikasi secara intim dan mesra dengan pembaca.

Ketika ditemui semasa pelancaran, Abdul Khalid memberitahu, buku yang dihasilkannya ini merupakan perintis kepada penulisan bacaan yang lebih berat.

“Banyak kali rakan-rakan saya minta saya tulis buku pengalaman saya sebagai ahli korporat.

“Jadi saya hasilkan buku ini dahulu sebagai permulaan kepada penulisan yang lebih berat, lebih bersifat akademik,” katanya kepada media selepas pelancaran buku tersebut.

Menurut Abdul Khalid, hasil jualan buku yang berharga RM25 senaskhah ini akan disumbangkan ke rumah-rumah kebajikan.

Buku ini sudah pun berada di pasaran dan boleh didapati di kedai-kedai terkemuka.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors