RSS

Abdullah Hukum - Membuka Pudu-Bukit Bintang dan Bukit Nenas Serta Jalan Bangsar



Setiap kali kita naik LRT dari KL Sentral ke Kelana Jaya, kita akan melintasi stesen Abdullah Hukum. 

Siapakah Abdullah Hukum (gambar) ? 

Stesen Abdullah Hukum terletak di Kampung Abdullah Hukum bersebelahan Midvalley. Kampung Abdullah Hukum diberi nama sempena nama Haji Abdullah Hukum bin Abdul Rahim yang lahir pada tahun 1835 di Sumatera. 

Beliau meninggal dunia di Kuala Lumpur pada tahun 1943. Ini bermakna umur Abdullah Hukum amat panjang, 108 tahun.
 
Haji Abdullah Hukum berketurunan Kerinchi telah berhijrah dari Sumatera ke Semenanjung Tanah Melayu bersama bapanya pada tahun 1850 ketika beliau berusia 15 tahun.
 
Berhampiran Angkasapuri Kuala Lumpur terdapat Kampung Kerinchi yang menunjukkan ramai orang Kerinchi yang menetap di situ.
 
Ketika itu Tanah Melayu didiami oleh ramai penduduk dari Indonesia dari suku kaum Jawa, Bugis, Kerinchi, Minang dan Acheh.
 
Harimau jadian amat terkenal di kalangan orang Kerinchi kononnya ada manusia yang boleh bertukar menjadi harimau.
 
Abdullah Hukum dikatakan turut terlibat secara langsung dalam pembangunan Kuala Lumpur. Beliau adalah ketua yang membuka kawasan Pudu - Bukit Bintang dan membuka kebun di Bukit Nenas selain kawasan Sungai Putih. Pada hari ini Sungai Putih dikenali sebagai Jalan Bangsar.
 
Di sekitar kawasan Sungai Putih terdapat sebuah kampung Melayu yang dinamakan sempena nama beliau, Kampung Abdullah Hukum.
 
Abdullah Hukum adalah seorang juak kepada Raja Mahmud bin Sultan Muhammad, Raja Mahmud adalah waris negeri Selangaor yang pernah menjadi Ahli Majlis Selangor.
 
Panglima Melayu
 
Raja Mahmud dikenali pada zamanya sebagai Tengku Panglima Raja Selangor dan beliau merupakan seorang panglima Melayu yang terulung.
 
Abdullah Hukum selama 90 tahun lebih berada di Selangor dan di Kuala Lumpur dapat merasakan pengalaman hidup dalam dua zaman, zaman pemerintahan Raja-raja Melayu selama dua dekad dan lebih tujuh dekad di bawah pemerintahan British.
 
Beliau dapat melihat perbezaan di zaman pemerintahan British dengan zaman pemerintahan Raja-raja Melayu terutamanya dapat melihat perubahan yang berlaku ke atas masyarakat Melayu dengan jelas khususnya yang berada di Kuala Lumpur.
 
Pada zaman pemerintahan Raja-raja Melayu, Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad (1857-1989) serta pembesar dan penghulunya berkuasa penuh di negeri itu.
 
Apabila Kuala Lumpur menjadi maju, bukan sahaja pembesar dan penghulu kehilangan fungsi dan peranan malah nama mereka tidak dikenali lagi oleh generasi hari ini berbanding dengan Yap Ah Loy (1837-1885) yang hanya merupakan seorang imigran dan Kapitan Cina dan bukannya pembesar negeri Selangor.
 
Sebelum kedatangan British (malah sebelum munculnya Yap Ah Loy) sudah pun berdiri kukuh satu struktur pentadbiran tradsional di Selagor di setiap kawasan seperti Hulu Kelang, Gombak dan Cheras di bawah pembesarnya sendiri.
 
Mereka bertanggungjawab sepenuhnya dalam segala urusan yang berlaku di daerah masing-masing.
 
Penduduk Melayu Kuala Lumpur ketika itu tidak ramai dan semakin tersisih apabila kaum imigran terutamanya orang China dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh British. Kuala Lumpur pada tahun 1850an amat berbeza dengan Kuala Lumpur pada tahun 1930an.
 
Ketika Abdullah Hukum tiba di Kuala Lumpur pada tahun 1850an, terasa berbeza di zaman 1930an apabila perniagaan mulai dikuasai oleh kaum imigran.
 
Itulah yang merubah wajah Kuala Lumpur apabila pembangunan mula melanda Kuala Lumpur yang merupakan nadi utama Tanah Melayu.



.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors