RSS

SIAPA SEBENARNYA UMNO



UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 oleh Datok On bin Jaafar, seorang pegawai pentadbir penjajah Inggeris dengan semboyan Hidup Melayu. Ketika UMNO ditubuhkan, gelombang perjuangan rakyat untuk kemerdekaan sedang menggelora. Gelombang perjuangan ini dipelopori oleh gerakan kiri berbagai aliran berbagai kaum Malaya.

Kemunculan UMNO pada saat gerakan kemerdekaan rakyat sedang bermekaran itu tak lebih hanyalah sebagai penyokong kerajaan penjajah British yang sedang dilanda kebangkitan rakyat. Kerana masalah prinsip inilah PKMM yang pada awalnya tergabung dalam UMNO telah menarik diri dan membentuk fron persatuan Putera – Amcja. Dan kerana jasa besar UMNO kepada penjajah, ia tidak diharamkan dalam Undang-Undang Darurat 1948.

Itulah sejarah awal UMNO yang kononnya dikatakan “pejuang kemerdekaan”.

Untuk lebih jelas lagi mengenali siapa UMNO, marilah kita teliti tulisan Bapa Abdullah C.D. di bawah ini:

UMNO WAKIL KELAS KAPITALIS BIROKRAT

Kemerdekaan itu telah diterajui oleh Tunku Abdul Rahman, Presiden UMNO yang menjadi Ketua Menteri Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah menjadi Perdana Menteri Malaya, Tunku telah mewarisi jubah penjajah British, mengkhianati rakyat berbagai kaum. Di satu segi ia meneruskan perang warisan penjajah terhadap PKM. Di segi lain, Tunku telah membentuk kelas kapitalis birokrat melakukan perompakan ke atas ekonomi negara dengan mengabaikan kebajikan rakyat. Tanah Simpanan Melayu yang telah dimaktubkan dalam perlembagaan telah dirampas dan dibahagikan kepada perbadanan modal birokrat.

Oleh kerana itu, kemerdekaan tahun 1957 tidak sempurna, hasil kemerdekaan tidak dapat dinikmati oleh majoriti rakyat semua lapisan, semua kaum negara kita. Dr. Burhanuddin pernah menyifatkan kemerdekaan itu sebagai "kemerdekaan setengah masak".

Di bawah keadaan tersebut perjuangan bersenjata TPNM tetap diteruskan. Di satu segi ia bertujuan untuk menuntut Kerajaan Malaysia mengadakan perundingan bagi menamatkan peperangan secara adil dan munasabah, di segi lain demi membela kepentingan rakyat berbagai lapisan semua kaum.

Walaupun perjuangan bersenjata pernah mengalami kemunduran serius pada akhir tahun-tahun 1950-an, akan tetapi ia diaktifkan semula mulai tahun 1962. Pasukan-pasukan TPNM yang bergerak di kawasan sempadan telah disusun semula dan diperkembangkan. Sejak tahun 1968, pasukan-pasukan penggempur telah dihantar bergerak ke tanah air. Api perjuangan bersenjata mulai merebak berkobar-kobar di kawasan luas di 5 buah negeri, iaitu Kelantan, Perak, Kedah, Selangor dan di Pulau Pinang.

Di dalam negeri, UMNO yang sebagai wakil kelas atasan Melayu atau wakil kelas kapitalis birokrat dan komprador Melayu melaksanakan dasar ekonomi kapitalis yang menyebabkan jurang antara yang kaya dan yang miskin semakin melebar. Tanah Simpanan Melayu dicipta oleh penjajah British pada tahun 1913 untuk meredakan kemarahan orang Melayu terhadapnya yang merompak tanah subur yang luas di Malaya telah dibolot oleh kaum kapitalis birokrat Melayu melalui perbadanan-perbadanan birokrat. Dengan itu lahirlah kelas kapitalis birokrat Melayu yang bersekongkol dengan kaum kapitalis besar Tionghua dan India mengaut kekayaan negara.

Pada tahun 1947, BTM telah didirikan untuk memimpin perjuangan kaum tani dan perjuangan untuk kemerdekaan tanah air. Selepas merdeka, gerakan itu berkembang dalam bentuk bebas meneroka seperti tercermin dalam gerakan tani di bawah pimpinan Saudara Hamid Tuah.

Orang Melayu yang asalnya sebagai petani telah berubah menjadi buruh di perusahaan-perusahaan modal birokrat atau di rancangan-rancangan tanah birokrat. Kaum kapitalis birokrat yang diwakili UMNO seperti Lembaga Kemajuan Tanah Melayu membolot 385,000 ekar, Syarikat Jengka 3 Segi menguasai ratusan ribu ekar di Pahang, Syarikat Permodalan dan Perusahaan Perak dan beberapa perusahaan lagi membolot 270,000 ekar tanah di Perak. Selain itu masih banyak lagi modal-modal birokrat yang menguasai tanah simpanan Melayu di seluruh negara. Ini telah mengubah keadaan ekonomi orang Melayu dari mengerjakan ekonomi tradisional kepada buruh di rancangan modal birokrat. Barisan tani sebenarnya telah berubah menjadi kesatuan buruh.

“Sehingga tahun 1970an, kaum kapitalis monopoli British merupakan tuan tanah yang terbesar dengan memiliki tanah yang paling luas dan subur di negara kita. Selain itu, muncul juga tuan-tuan tanah tempatan. Pada tahun 1920-an rumah-rumah agensi British yang terlibat dalam perusahaan getah telah menguasai 1 ½ juta ekar tanah, tidak termasuk tanah-tanah yang mereka telah rampas tetapi belum lagi dibuka. Penguasaan mereka ke atas tanah membolehkan mereka menempati kedudukan yang terpenting dalam ekonomi negara kita. Mengikut perangkaan yang tidak lengkap, pada tahun 1953 mereka telah memiliki 70 peratus dari semua estet di Malaya. Kedudukan British ke atas tanah tetap unggul sekalipun selepas kemerdekaan. Pada tahun 1961 kapital monopoli asing dari Eropah khasnya British menguasai 65 peratus estet getah, dan 9 tahun kemudian (tahun 1970) meningkat semula kepada 76 peratus. Mengikut sumber Zon dan Leight Hunt, pada tahun 1960 syarikat-syarikat monopoli asing memiliki 1,685,850 ekar. Dari jumlah ini, 1,351,200 ekar dikuasai oleh British.”

“Sekarang di bawah Dasar Ekonomi Baru yang mengembangkan modal birokrat dan modal komprador dalam berbagai bidang termasuk sektor perladangan, kita dapati lembaga-lembaga birokrat (yakni badan-badan berkanun) dan lain-lain modal tempatan dengan pesat menjadi tuan punya ladang yang terbesar di negara kita. Satu langkah penting ke arah ini ialah pengambil alihan Kumpulan Sime Darby (milik modal monopoli British) yang menguasai ladang-ladang oleh perbadanan modal birokrat serta pemindahan pendaftaran kumpulan itu ke Kuala Lumpur dari London pada tahun 1968. Pada tahun 1981 modal birokrat dan modal komprador tersebut mengambil alih pula ladang-ladang Guthrie dan Dunlop Estates - keluasan kedua-duanya berjumlah 250,000 ekar lebih. Ini disusuli dengan pengambil alihan Syarikat Harrison Estate (Malaysia) Berhad yang memiliki ladang seluas 180,000 ekar pada tahun 1982.”

Untuk membangun sebuah negara yang benar-benar merdeka dan adil baik segi politik, ekonomi, kebudayaan, bangsa dan agama, rakyat semua kaum haruslah bersatu padu membentuk front persatuan nasional yang luas serta melancarkan perjuangan melawan penguasaan kapitalis birokrat yang diwakili UMNO dan membangun kemerdekaan mengikut corak nasional yang mengutamakan kepentingan majoriti rakyat semua kaum. Prinsip yang dipegang PKMM iaitu menggembleng tenaga nasionalis, sosialis dan agama serta prinsip-prinsip yang digariskan oleh front Persatuan PUTERA-AMCJA tetap menjadi contoh utama perjuangan rakyat negara kita hari ini.

nota: catatan di atas dipetik dari Memoir Abdullah C.D. Bahagian Ketiga: Perjuangan Di Sempadan Dan Penamatan Terhormat

Kini Dan Silam


0 Responses to "SIAPA SEBENARNYA UMNO"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors