RSS

Kekalahan PAS di Sarawak Menurut Saidina Umar Al-Khattab


Sunnah perjuangan menegakkan agama ini tidak selalunya berada di atas jalan yang mudah dan menggembirakan. Bilangan yang ramai bukanlah faktor penentu sesuatu kebenaran, dan bilangan yang sedikit bukanlah penentu kepada kebatilan.

Hakikatnya, yang haq itu berada di atas neraca Al-Quran dan Sunnah, dan dibenci pula oleh majoriti manusia pada masa ini. Jawapan kekalahan PAS mungkin akan diberikan dalam pelbagai pendapat dan perspektif yang berbeza oleh para tokoh ilmuan dan masyarakat. 
Namun, bagi para pendokong dakwah ini, wajar juga kita merenung pesanan Saidina Umar al-Khattab ra kepada Panglima Saad bin Waqaas:

“Adapun sesudah itu, maka aku wasiatkan kepadamu dan kepada orang-orang yg bersamamu dari para tentera(pejuang), agar bertaqwa kpd Allah swt kerana bertaqwa kepada Allah itu persiapan yang utama untuk menghadapi musuh Allah dan ‘strategi terkuat’ dalam peperangan. Dan aku perintahkan kepadamu dan pejuang yang bersamamu agar lebih menjaga diri dari maksiat daripada musuh kamu, kerana dosa pejuang itu lebih menakutkan daripada musuh kamu. Dan sesungguhnya kaum muslimin itu menang kerana kemaksiatan musuh mereka terhadap Allah. Seandainya bukan kerana itu maka kita; tidak mempunyai kekuatan untuk mengalahkan mereka seperti jumlah dan kelengkapan mereka. Apabila kita sama dengan mereka dalam maksiat maka mereka mempunyai kelebihan atas kita dalam hal kekuatan. Maka bila kita tidak dapat memenangi mereka dengan keutamaan kita, maka kita tidak akan dapat mengalahkan mereka dengan kekuatan kita.”

Marilah kita bersama-sama muhasabah diri demi perjuangan agama yang kita dokong ini tanpa menuding jari kepada sesiapa. Menyokong gerakan Islam bukanlah sekadar berslogan di lidah dan tajam hujahnya di laman-laman blog dan internet sahaja. Jika faktor itu kita rasakan sebagai kekuatan kita, sudah tentunya kita juga sama kuatnya dengan mereka menurut Saidina Umar. Sebelum kita lihat faktor pengundi dan faktor-faktor lain pilihanraya, mari kita semua muhasabah berapa ramaikah mereka yang menyokong PAS yang solat Subuh berjamaah di masjid-masjid dan surau-surau pada pagi semalam?

Marilah kita jadikan asas cinta kita kepada PAS sebagai suatu pemangkin yang mampu memberikan kekuatan yang digeruni oleh pihak musuh dengan memenuhi saf-saf subuh di masjid dan surau kita. Mungkin, sebelum kita bergerak ke medan perjuangan yang besar dan hebat, ada baiknya perjuangan kita ini sebagai ahli gerakan Islam dimulakan dengan solat berjamaah di masjid dan surau-surau kita sebagaimana peristiwa yang tercatat diantara tentera Mesir dan tentera Yahudi ketika Perang Arab-Israel 1973.

Berkata tentera Mesir,“Demi Allah, kami akan memerangi dan mengalahkan kalian sampai ada di antara kalian yang bersembunyi di balik pohon dan batu, kemudian pohon dan batu itu mengatakan,’hai hamba Allah, hai Muslim, ini ada Yahudi di belakangku, ke mari dan bunuhlah dia’” 
Tentera Yahudi itu menjawab,”Semua itu tidak akan terjadi sebelum solat Subuh kalian sama dengan solat Jumaat.” 

Ayuh, kepada semua yang inginkan Islam bertakhta di negara ini, marilah kita mulakan langkah besar perjuangan kita dengan langkah kecil untuk mengerjakan solat Subuh berjemaah pada esok hari tanpa bertangguh lagi.
.


0 Responses to "Kekalahan PAS di Sarawak Menurut Saidina Umar Al-Khattab"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors