RSS

Bersih 3.0 Jika SPR Masih Berdegil




KUALA LUMPUR, 12 Julai — PAS memberi amaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar melaksanakan lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sekiranya tidak mahu berdepan dengan satu lagi — Himpunan Bersih 3.0.

Timbalan Presidennya Mohamad Sabu (gambar) berkata empat daripada lapan tuntutan yang dikemukakan Bersih kepada SPR boleh dilaksanakan agensi itu dengan serta-merta.

“Bersih kemukakan lapan dan empat tuntutan boleh dilakukan janganlah berdolak-dalih, kalau pilihan raya adil Barisan Nasional (BN) nak menang sampai bila pun, menanglah... kami tiada masalah terima kekalahan, yang kami tidak mahu adalah penipuan berlaku.

“Jika SPR tidak mahu buat perubahan segera, kami akan cadangkan kepada Bersih untuk buat perhimpunan sekali lagi... ada tuntutan yang boleh disegerakan SPR dan kalau tiada perubahan, kami akan desak Bersih buat perhimpunan yang lebih besar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Mohamad yang mesra dengan penggilan “Mat Sabu” berkata PAS akan terus memberikan sokongan terhadap tuntutan Bersih.

“Kami, dari PAS, akan terus menyokong tuntutan Bersih dan kami berterima kasih kepada peserta walaupun ada sekatan dengan pelbagai cara lebih 50,000 berjaya berada di Kuala Lumpur.

“Ini menunjukkan semangat rakyat begitu tinggi untuk mendapatkan pilihan raya bersih dan adil, kita sebelum ini telah mengatakan bahawa ia adalah perhimpunan aman namun bertukar ganas apabila pihak polis mula serang orang ramai.

“Saya juga telah nyatakan bukan sekadar kawat berduri, bahkan kandang babi juga rakyat akan masuk jika ditembak dan ini terjadi apabila mereka masuk ke dalam hospital,” katanya yang hadir dengan berkerusi roda.

Tegas beliau, polis telah bertindak ganas terhadap peserta Himpunan Bersih 2.0 dan ia melanggar etika agensi penguat kuasa yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat.

“Kalau polis beri kerjasama peniaga-peniaga akan bergembira, tapi berlaku kucar-kacir apabila polis dihantui Umno yang sedang lemas.

“Polis didoktrin oleh Umno, polis bukan jaga keselamatan rakyat tapi jaga Umno-BN, patut polis jaga keselamatan tapi bertindak ejen Umno untuk buat provokasi,” katanya.

Lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih dan Pakatan Rakyat ditahan. Bagaimanapun kesemua peserta yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka. Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.

Tambah Mohamad, Malaysia boleh disamakan dengan Myanmar kerana menyekat demokrasi dan menghalang kebebasan media yang yang telus.

“Media luar negara faham (apa yang berlaku), Singapura dulu seperti Malaysia tapi Singapura sudah berubah yang mana semua parti dibenarkan untuk akses kepada media.

“Di Asia hanya Malaysia dan Myanmar berada di tahap ini, di negara lain tiada tangkapan dan perhimpunan juga dapat permit,” katanya.

Beliau yang mengalami kecederaan semasa dalam perjalanan untuk ke ibu negara berkata, pihaknya mungkin akan mengambil tindakan undang-undang. Mohamad juga berkata segala program yang melibatkan diri akan dibatalkan untuk sementara waktu ekoran kecederaan yang dialaminya.

“Saya terpaksa menghadapi satu pembedahan Jumaat ini kerana ligamen saya koyak, jadi segala program saya akan dibatalkan buat sementara waktu,” katanya.

Tambah beliau, PAS mengisytiharkan setiap Sabtu sebagai minggu Bersih dan meminta rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan memakai pakaian berwarna kuning.


TMI


.


0 Responses to "Bersih 3.0 Jika SPR Masih Berdegil"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors