RSS

Pakatan Bagi Permit Teksi, Pak Albar Meroyanlah PULAK...



Pakatan Rakyat sedia meluluskan sepuluh tuntutan bagi memperbaiki taraf hidup pemandu teksi, termasuk menghentikan pemberian permit kepada syarikat, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Bagaimanapun, golongan pemandu teksi juga perlu berusaha bagi membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan, kata Anwar yang diuar-uarkan sebagai “bakal perdana menteri” dalam pertemuan pemandu teksi dengan pemimpin Pakatan Rakyat.


"Saya tidak boleh janji nak beri mahligai kepada setiap orang, tapi saya boleh janji kereta yang saudara pandu itu, saudara ada hak ke atasnya.


"Saya beri komitmen, saya akan laksanakan. Tapi saudara saudari juga perlu pastikan perubahan berlaku.


"Kena teguh bekerja, barulah agenda kita akan berjalan," katanya lagi kepada hampir 500 orang yang hadir di majlis perhimpunan pemandu teksi Kuala Lumpur dan Selangor.


Jelasnya, pemandu teksi perlu menjadi ejen Pakatan dengan menjelaskan dasar-dasar gagasan itu dan mengedarkan lidah parti Pakatan – Harakah, Suara Keadilan dan Roket – kepada pelanggan mereka.


Sepuluh resolusi yang diluluskan dalam pertemuan itu termasuk tuntutan supaya kerajaan meluaskan skim keselamatan sosial pekerja (Perkeso), meminda perjanjian sewa beli antara pemandu dan syarikat teksi.


Turut dinyatakan dalam resolusi berkenaan ialah tuntutan supaya kerajaan merangka skim insurans dan pencen serta skim pinjaman perumahan persendirian khas bagi golongan pemandu teksi.


'100 permit untuk bekas menteri'


Kumpulan pemandu teksi berkenaan turut menuntut supaya kadar premium insurans bagi kenderaan teksi juga disemak semula supaya sesuai dengan kemampuan pemandu teksi.


Anwar berjanji bahawa beliau akan menyemak semula perjanjian yang dibuat antara syarikat teksi dan pemandu supaya syarikat berkenaan tidak dapat lagi menyewakan teksi mereka kepada kira-kira 30,000 pemandu berkenaan.


"Kita nak tengok datuk-datuk dan tan sri-tan sri ini pula kerja bawa teksi," kata bekas timbalan perdana menteri itu lagi yang menambah, isu berhubung permit teksi sememangnya menjadi masalah sejak beliau masih di dalam kerajaan.


Tanpa menamakan sesiapa, Anwar mendakwa seorang bekas menteri juga telah diberikan sebanyak 100 permit teksi walaupun individu berkenaan telahpun menerima saham dalam syarikat bumiputera.


Keadaan itu memeritkan golongan pemandu teksi yang terpaksa menyewa teksi daripada syarikat berkenaan.


"Tapi menteri suruh (pemandu teksi) senyum. Macam mana nak senyum, bini duduk gaduh barang makan tak cukup. Senyum hotak kamu," katanya lagi yang disahut dengan "laungan hidup datuk seri" daripada hadirin.


Turut berucap dalam majlis anjuran Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Kuala Lumpur dan Selangor itu ialah penasihat DAP Lim Kit Siang, exco kerajaan Selangor Ronnie Liu dan juga ADUN Kampung Tunku Lau Weng San.


Sepuluh tuntutan berkenaan dirangka oleh penasihat undang-undang bagi majlis berkeanaan yang juga peguam bagi kumpulan pendesak Hindraf – R Kengadharan dan V Ganabatirao.




SEMENTARA ITU...
 


Kurang 24 jam selepas pertemuan 500 pemandu teksi dengan ketua pembangkang, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggesa kumpulan tidak mempolitikkan rungutan mereka.

Ini kerana, isu itu melibatkan kepentingan awam pihak yang tidak perlu dipolitikkan, katanya Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar.


Penilaiaan tentang keberkesanannya juga bukan terletak di tangan pembangkang, tambahnya.


Syed Hamid menambah, wakil daripada Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Kuala Lumpur dan Selangor yang menganjurkan perhimpunan besar di Petaling Jaya malam tadi belum lagi menemui SPAD.


Katanya, jika mempunyai masalah, suruhanjaya itu bersedia mendengarnya sekiranya pemandu terbabit tampil memaklumkannya.


Sebelum itu, bekas menteri dalam negeri itu berkata, SPAD menjalankan tinjauan melibatkan pemandu teksi dan pemegang saham berkaitan industri itu daripada 15 hingga 27 Julai untuk mengenalpasti rungutan mereka.


Banyak maklumat terperinci dikumpulkan dan akan diserahkan kepada kerajaan bulan depan, kata Syed Hamid lagi.


Perhimpunan antara pemimpin tertinggi pembangkang, termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor diadakan selepas muncul dakwaan kerajaan gagal mengambil tindakan menangani rungutan pemandu teksi.   



.


0 Responses to "Pakatan Bagi Permit Teksi, Pak Albar Meroyanlah PULAK..."

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors