RSS

Nasionalis atau Komunis?


Mat Indera (Sekadar gambar hiasan)
Orang yang mula-mula melibatkan diri dengan perang gerila anjuran PKM itu ialah Bakar bin Jali.  Dia melibatkan diri dengan peperangan itu pada bulan September 1948, diikuti oleh kawan-kawannya yang lain pada bulan Oktober1948.

Pada mulanya mereka bergerak sebagai satu seksyen "komunis Melayu" di kawasan Salak, daerah Sepang.  Kemudian mereka dipindahkan ke Sungai Long, daerah Hulu Langat untuk bergabung dengan seksyen Melayu yang lain, dan membentuk satu platun Melayu (seramai 36 orang) bersama dengan orang-orang dari Sungai Long, Sungai Serai dan Hulu Langat.

Pada tahun 1949 mereka berundur ke kawasan Titi, Negeri Sembilan untuk mengikuti latihan ketenteraan dan taktik perang gerila selama kira-kira enam bulan.  Selepas tamat latihan itu, mereka dipecah-pecahkan kepada unit dua atau tiga orang dan diserapkan ke dalam platun-platun lain.  Dengan itu, tidak ada lagi platun khusus untuk orang Melayu.  Sebahagian daripada mereka diarahkan beroperasi di kawasan utara Selangor, sementara sebahagian lagi di kawasan selatan Selangor, khasnya di daerah Sepang.

Penglibatan mereka dengan perang gerila yang dipimpin oleh PKM itu hanya berakhir apabila 11 orang daripada mereka gugur di medan perjuangan, seorang ditangkap dan dikenakan hukuman gantung dan enam orang lagi menyerah diri.  Mereka yang gugur ialah:

1. Mohd.Akib bin Kassim
2. Ismail bin Manan
3. Yunus bin Buyung
4. Ismail bin Mohd.Sharif
5. Tajudin bin Mahat
6. Yunus bin Abu
7. Abdul Malik bin Kabut
8. Sulaiman bin Haji Said
9. Malik bin Haji Nor
10. Manan bin Abdul Latif
11. Mohd.Zain bin Haji Kassim

Yang tertangkap dan dihukum gantung ialah Manaf bin Pisah.  Enam orang yang menyerah diri pula ialah:

1. Bakar bin Jali
2. Azman bin Nordin
3. Hamid bin Tahir
4. Yaakob bin Mohd.Ali
5. Alias bin Siu
6. Karimbin Sulaiman

Antara enam orang yang menyerah diri, Bakar Jali mungkin yang terawal berbuat demikian.  Dia menyerah diri pada 18 Mac 1951, kerana kemnya dibom dari udara dan dia tidak dapat lagi melepaskan diri.  Azman Haji Nordin pula mungkin yang terakhir menyerah diri.  Dia menyerah diri pada tahun 1957, selepas lapan tahun bergerila, kerana katanya pada masa itu Malaya sudah pun merdeka.

Nasionalis atau Komunis?

Setelah meninjau penglibatan penduduk kampung Jenderam dan daerah Hulu Langat dalam perang gerila yang diterajui oleh PKM, kita tentunya wajar menjawab satu soalan yang penting, iaitu adakah mereka nasionalis ataupun komunis?

Selama ini mereka dituduh telah "masuk komunis" dan menjadi komunis kerana telah masuk ke hutan dan bergabung dengan pasukan bersenjata komunis (Tentera Pembebasan Nasional Malaya).  Tuduhan ini memang sukar untuk dinafikan, kerana dengan menggabungkan diri dengan pasukan tentera PKM bermakna mereka berada di bawah arahan PKM, terikat dengan disiplin parti komunis dan sama ada secara langsung atau tidak telah terlibat dengan aktiviti keganasan yang dilancarkan oleh PKM.

Namun, dalam hal ini adalah wajar kita menyelidiki sikap dan pendirian mereka sendiri. Dalam pengakuannya kepada Mohd.Nor (1977/78: 77) Azman Haji Nordin, salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa mereka bukan komunis, tetapi bergerila bersama-sama komunis untuk mencapai kemerdekaan.  Pengakuan ini saya kira wajar dipertimbangkan.  Dari pengakuan Azman Haji Nordin itu, kita mendapat maklumat bahawa mereka berjuang bersama-sama dengan komunis tidak lain daripada  meneruskan perjuangan asal mereka, iaitu untuk mencapai kemerdekaan.  Akan tetapi, mereka tidak menganut ideologi komunis dan mungkin juga tidak menjadi ahli parti komunis.  Oleh itu, pada hakikatnya mereka masih lagi merupakan orang-orang nasionalis.

Dalam hal ini, kita patut juga mempertimbangkan keadaan mereka yang terdesak dan tersepit setelah Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada Jun 1948.  Mereka terpaksa membuat pilihan, sama ada membiarkan diri mereka ditangkap ataupun masuk ke hutan.  Mereka memilih masuk ke hutan dan menggabungkan diri dengan PKM, kerana itu sahaja cara yang terbuka untuk meneruskan perjuangan mereka.  Namun, selagi mereka belum menerima ideologi komunis dan belum menjadi ahli parti komunis, kita mungkin boleh menganggap bahawa mereka masih lagi nasionalis, dan bukan komunis.  Dengan perkataan lain, mereka adalah nasionalis, tetapi telah dipaksa oleh keadaan untuk berjuang bersama-sama dengan komunis.

Dalam hubungan ini, penilaian yang agak adil dan saksama terhadap perjuangan mereka telah diberikan oleh seorang tokoh veteran UMNO, Abdul Samad Idris (almarhum) (1982:253) dengan kata-kata seperti berikut:

Pemberontakan yang dilakukan oleh orang Melayu di Jenderam, Selangor dan di Temerloh, Pahang serta lain-lain tempat di mana mereka telah menyekutukan diri dengan pengganas dalam hutan janganlah dianggap kerana fahaman komunis mereka yang tebal.

Dari penelitian sejarah amatlah jelas bahawa mereka adalah tokoh-tokoh kebangsaan Melayu yang tulin.  Mereka memilih jalan hanya dengan pemberontakan saja untuk mencapai kemerdekaan.  Hal ini diperkuatkan dengan cita-cita API pimpinan Ahmad Boestamam yang melaungkan slogan "Merdeka Dengan Darah".

Kesimpulan

Daerah Hulu Langat adalah satu kawasan dalam negeri Selangor di mana gerakan kiri Melayu pernah wujud antara tahun1946 hingga 1948 dahulu.  Dengan sokongan orang-orang keturunan Indonesia di daerah itu, cawangan PKMM, API, AWAS, BATAS dan kemudiannya PETA telah wujud sebagai cawangan yang aktif.  Hal ini ada kaitannya dengan kemunculan beberapa orang pemimpin yang berkebolehan, bukan saja pada peringkat daerah Hulu Langat, tetapi juga sebagai pemimpin pada peringkat nasional dan negeri Selangor.

Kampung Jenderam dalam daerah Hulu Langat pula adalah satu pusat atau kubu gerakan kiri yang terkuat pada peringkat negeri Selangor.  Apa yang menarik ialah penduduk kampung itu telah menyertai perang gerila yang diterajui oleh PKM sebagai cara meneruskan perjuangan mereka setelah gerakan kiri itu diharamkan oleh penjajah Inggeris.  Bagaimanapun, dengan meminjam pendapat Abdul Samad Idris, penulis menyimpulkan mereka pada dasarnya ialah nasionalis dan bukan komunis, dan mereka  berjuang bersama-sama dengan komunis masih lagi dalam konteks perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.


 MerdekaReview


.


0 Responses to "Nasionalis atau Komunis?"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors