RSS

Fariz Musa - Seminggu untuk polis siasat Skandal NFC



KUALA LUMPUR 15 Nov: Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz Musa memberi tempoh seminggu kepada pihak polis untuk menyiasat pecah amanah dalam National Feedlot Corporation (NFC) membabitkan keluarga menteri, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Beliau yang juga Pengerusi NGO, Jingga 13 berkata, laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian kondominum mewah oleh NFC berharga RM9.8 juta.

Bagaimanapun katanya, SPRM menolak untuk menyiasat aduan itu dengan alasan ia hanya boleh disiasat oleh polis di bawah kanun keseksaan dan bukan terletak di bawah bidang kuasa SPRM.


“Kita menunggu surat rasmi daripada SPRM yang mengesahkan telah menyerahkan laporan itu kepada polis berdasarkan keterangan dari portal media.

“Kita akan ambil tindakan dalam tempoh seminggu. Jika tiada sebarang tindakan daripada pihak polis kita akan buat laporan rasmi kepada pihak polis.

“Kita tidak mahu SPRM mengambil sikap lepas tangan, dalam masa yang sama main-mainkan isu ini,” katanya kepada Keadilan Daily.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang semalam, SPRM berkata Bahagian Perundangan dan Pendakwaan telah mengaklasifikasikan aduan itu di bawah kesalahan Kanun Keseksaan dan bukan bidang kuasa suruhanjaya sepertimana termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM).

Kenyataan itu juga menjelaskan SPRM telah diminta merujuk aduan berkenaan kepada pihak polis, selaras dengan nasihat daripada Lembaga Penasihat dan Pencegahan Rasuah.

KEADILAN sebelum ini membongkarkan penyelwengan dana sebanyak RM250 juta yang dilakukan NFC, yang dimiliki keluarga Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno.

Khamis lalu, KEADILAN mendedahkan NFC membayar hampir RM10 juta bagi membeli kondominium mewah di Bangsar, yang direkodkan sebagai bayaran pinjaman kepada National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC), yang juga milik keluarga Shahrizat.
Sebanyak RM9,758,140 dipindahkan dari akaun NFC di cawangan CIMB  di Taman Tun Dr Ismail kepada pemaju, Bandar Raya Developments Berhad pada 2 Disember 2009 sebagai bayaran penuh hartanah itu.

Pada hari yang sama, Fariz Musa juga membuat laporan mengenai pendedahan salah laku pecah amanah di pejabat SPRM Selangor. / Rusnizam Mahat- KD



.


There was an error in this gadget
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posting Terkini

Total Pageviews

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors