RSS

Harapan pengguna terhadap kelahiran sebuah rangkaian TV baru


Oleh Markus Lim

Mutakhir ini, begitu banyak stesen televisyen yang tumbuh bagaikan cendawan di negara kita.
Daripada stesen televisyen satelit, dalam talian, televisyen mudah alih dan kini kabel, semuanya bersaing untuk merebut pasaran penonton. Dalam merebut pasaran penonton, pelbagai pakej saluran TV ditonjolkan dan datang dalam harga yang murah pada permulaannya. Segalanya cukup cantik, berpatutan dan menjanjikan kepuasan terbaik.

Tidak dinafikan, rakyat Malaysia amat bertuah kerana mempunyai pilihan yang banyak khususnya dalam pemilihan stesen televisyen yang ingin ditonton. Pada awal 1990-an, kita hanya ada TV1, TV2, TV3, Metrovision dan Mega TV. Namun dalam dekad akhir-akhir ini pelbagai saluran muncul dan semakin kukuh seperti ntv7, 8TV, TV9, TV Alhijrah, Hypp TV dan sebagainya, serta tidak ketinggalan TV satelit Astro.

Nama Astro mula meletup sebagai sebuah rangkaian televisyen yang berpengaruh sekitar pertengahan 1990-an dan memasuki abad ke-21 jenamanya kian teguh dan sukar ditandingi. Kehadirannya ada di mana-mana. Sebut sahaja Liga Perdana Inggeris, siarannya boleh ditonton menerusi saluran Astro 812, 813 dan 817.

Sudah tentu perkembangan ini merupakan berita baik buat Astro dan pelanggan-pelanggannya. Namun kelahiran lebih banyak rangkaian televisyen berbayar seperti yang bakal berlaku pada tahun hadapan mampu menggoncang sedikit dunia penyiaran tanah air.

Justeru, apabila berita bahawa sebuah lagi rangkaian televisyen berbayar baru akan muncul tidak lama lagi (dikhabarkan akan diusahakan syarikat Nilamas Corporation), ia menjanjikan satu sinar harapan baru kepada penonton-penonton yang sudah bosan dengan kerenah segelintir rangkaian televisyen berbayar.

Oleh sebab kewujudannya sudah begitu lama di negara ini, maka ada rangkaian televisyen berbayar barangkali merasakan mereka boleh melakukan apa sahaja yang dirasakan sesuai hinggakan adakalanya perubahan dilakukan mereka itu terang-terang tidak mesra-pelanggan.

Walaupun masih kabur dengan visi sebenar Nilamas ketika ini, adalah menjadi harapan agar kelahirannya akan menjadi titik-tolak kepada peningkatan dari segi mutu dan kandungan rancangan yang disampaikan. Apa yang disajikan dalam rangkaian televisyen berbayar seperti Unifi dan Astro ketika ini tidaklah sehebat seperti yang diuar-uarkan sebelumnya. Malah terdapat kelemahan-kelemahan yang cukup ketara hingga membuatkan pengguna tertanya-tanya sejauh mana berbaloinya yuran bulanan yang mereka bayar itu.

Dalam konteks ini, di sinilah mungkin Nilamas boleh memainkan peranan. Nilamas boleh menampilkan dirinya sebagai sebuah penyiar yang lain daripada yang lain. Apa yang dimaksudkan dengan kelainan Nilamas ialah ia diharap mampu menonjolkan dirinya sebagai sebuah rangkaian yang sentiasa peka kepada citarasa, sensitiviti penonton dan meletakkan dirinya teladan kepada penyiar yang lain.

Dalam usaha menjadi sebuah pembekal televisyen berbayar yang disegani, Nilamas tidak harus mengikuti jejak langkah sesetengah pembekal lain yang mengenakan bermacam-macam bayaran yang membebankan penonton tanpa mengutamakan kualiti.

Bagi kebanyakan pengguna, kualiti adalah segala-galanya. Mereka membayar sesuatu yuran mencecah ratusan ringgit bukan sekadar pakej rancangan yang ditawarkan bahkan juga kualiti perkhidmatan yang diberikan. Aspek inilah yang tidak wajar diketepikan.

Oleh itu, adalah diharapkan sebagai orang baru dalam dunia penyiaran Nilamas mampu membuktikan bahawa kehadirannya dalam persada dunia penyiaran bukanlah sekadar satu jalan penyelesaian sementara. Sebaliknya, kelahiran Nilamas ini seelok-eloknya dilihat dalam konteks yang lebih positif yakni melihatnya sebagai sebuah lagi rangkaian televisyen yang akan memberikan nilai tambah dalam perkhidmatan sedia ada.

Apatah lagi dalam visi negara mencapai tahap negara maju kelak, saingan seperti ini mampu memberikan pelbagai manfaat kepada pengguna. Sudah tentu dalam hal ini, kemunculan Nilamas dalam dunia penyiaran di Malaysia akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk memilih rancangan-rancangan yang lebih berkualiti. 

Dengan itu, pengguna bukan sahaja tidak perlu didesak atau tunduk kepada tekanan yang digunakan sesetengah rangkaian televisyen berbayar kerana kononnya rancangan berkenaan hanya disiarkan oleh mereka. Kini, pengguna boleh menggunakan kuasa mereka untuk membuat pilihan yang terbaik.

Yang pasti juga, era yang mana hanya sebuah rangkaian televisyen berbayar yang mendominasi dunia penyiaran sudah berakhir. Jika dahulunya kita ada hanya Astro yang boleh ditakrifkan sebagai abang kepada dunia penyiaran, tetapi kelahiran Nilamas kini sekurang-kurangnya mampu memberi saingan hebat kepada gergasi penyiaran itu. Mungkin juga mengatasinya satu hari nanti. Segalanya adalah mungkin.

Yang ingin kita lihat juga ialah situasi menang-menang membabitkan kedua-dua pihak: penonton (pengguna) dan rangkaian-rangkaian televisyen berbayar. Tidak dapat tidak, monopoli sesebuah rangkaian TV dalam dunia penyiaran bukanlah satu trend yang sihat. Ini kerana keadaan tersebut hanya membuka ruang bagi rangkaian tersebut melakukan apa sahaja yang mereka suka tanpa menghiraukan maklum balas pengguna.

Pihak pengusaha rangkaian televisyen berbayar seperti Astro harus ingat bahawa kejayaan mereka menjadi sebuah penyiar yang begitu dominan sekarang adalah kerana sokongan padu penontonnya. Bagaimanapun, sekiranya kepercayaan itu tidak dibuktikan dengan sebaik-baiknya, para penonton masih mempunyai pilihan alternatif untuk memilih penyiar atau pembekal lain.

Adalah menjadi harapan umum bahawa Nilamas tidak akan terikut-ikut rentak rangkaian televisyen berbayar lain dalam merebut pasaran penonton. Sebaliknya, mereka harus berpegang teguh kepada matlamat asal yang direncanakan serta usaha murni membekal hak mendapatkan maklumat dan hiburan melalui platform televisyen ini kepada semua rakyat Malaysia.

Persoalan sama ada rangkaian televisyen seperti Nilamas mempunyai kaitan dengan tokoh politik ternama, itu tidak begitu penting tetapi yang lebih mustahak adalah komitmen dan kejituan perjuangan pihak pengusaha untuk menjadikan Nilamas sebagai penyiar alternatif kepada penonton.
 
* Segala pandangan yang diluahkan di atas adalah pandangan peribadi penulis
 
 
.


1 Responses to "Harapan pengguna terhadap kelahiran sebuah rangkaian TV baru"
RHI said...

yelah, tengok je astro, kalau hujan sikit dah tak boleh tengok, lagi pun, walaupun dah banyak chainel, kalau hari yang tak ada cerita best, semuanya tak best


November 6, 2011 at 9:21 PM

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors