RSS

Isu Anak Luar Nikah : Sisters In Islam gesa Putrajaya ikut langkah Terengganu



KUALA LUMPUR, 7 Nov — Sisters In Islam (SIS) menggesa kerajaan persekutuan mencontohi langkah kerajaan negeri Terengganu yang membenarkan nama bapa disertakan ke atas bayi-bayi luar nikah atau mereka lahir kurang daripada enam bulan selepas perkahwinan ibu bapa masing-masing demi masa depan kanak-kanak terbabit. 

“Kami menggesa kerajaan pusat mengambil tindakan dengan segera untuk menerima pakai cadangan kerajaan negeri Terengganu bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengiktiraf sepenuhnya seseorang lelaki yang mendakwa (status) dia adalah bapa bersama dengan ibu (bayi), untuk menjadi bapa sah kanak-kanak dan bagi kanak-kanak terbabit membawa nama keluarganya,” kata pertubuhan bukan kerajaan ini dalam satu kenyataan.

SIS berkata langkah itu seiring dengan Seksyen 13 dan 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian. Selain itu SIS percaya bahawa tidak harus ada sebarang butiran pada sijil kelahiran atau kad pengenalan untuk menunjukkan bahawa seseorang kanak-kanak itu lahir secara luar nikah bagi mengekalkan stigma yang berterusan.
 

SIS berkata, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan negeri Terengganu yang sanggup membenarkan kanak-kanak yang lahir dalam tempoh enam bulan selepas perkahwinan ibu bapa mereka untuk membawa bersama nama bapanya kerana ia satu tindakan seiring dengan Seksyen 13 dan Seksyen 13A.
 

Laporan media baru-baru ini menyebut maklumat mengenai individu yang mengaku bapa kepada anak luar nikah kini boleh dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan yang dikeluarkan JPN.
 

Maklumat itu berdasarkan pengakuan sebagai bapa bagi pasangan yang berkahwin kurang daripada enam bulan atau qamariah dan yang tidak berkahwin dengan syarat ibu dan lelaki itu menandatangani bersama borang permohonan. Ia selaras dengan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, Seksyen 10 Ordinan Sabah Cap 123 dan Seksyen 11 Ordinan Sarawak Cap 10 dan Pekeliling 8/2009 yang telah diedarkan kepada semua JPN negeri pada Ogos 2009.
 

Penjelasan itu dibuat dalam kertas kerja oleh Timbalan Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN, Noor Azliza Shaharuddin bersama Pegawai Undang-Undang JPN, Zarifah Zulghaffar di Kuala Terengganu pertengahan bulan lalu.
 

Isu anak tidak sah taraf hangat dibincangkan apabila kerajaan negeri mencadangkan mekanisme bagi membolehkan anak-anak itu didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa bagi mengelak kanak-kanak itu menanggung tekanan emosi berpanjangan.
 

Menurut kertas kerja itu, tujuan memasukkan maklumat berkenaan adalah untuk memberikan taraf kewarganegaraan kepada bayi sekiranya bapa adalah warganegara Malaysia.
 

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu Khazan Che Mat berkata, cadangan kerajaan negeri agar diwujudkan mekanisme bagi membolehkan anak tidak sah taraf atau anak luar nikah didaftarkan dengan bin atau binti bapanya tidak harus disalah tafsir dan dipolitikkan.
 

Menurut beliau, cadangan itu sebagai alternatif untuk memastikan golongan itu tidak menanggung bebanan emosi dan terhukum kerana kesalahan ibu bapa masing-masing.
 

Katanya, soal itu baru sahaja dikemukakan dalam kertas cadangan untuk diserahkan kepada Majlis Fatwa Negeri untuk dibincangkan pada mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan tidak lama lagi.
 

Dalam kenyataannya, SIS menambah, amalan mendaftar nama keluarga seseorang bayi dengan “binti atau bin Abdullah” hanya kerana dia lahir dalam tempoh enam bulan selepas tarikh perkahwinan akan membawa kepada kesan buruk yang serius dan tidak adil ke atas aspek emosi dan masa depan kanak-kanak terbabit.
 

“Kanak-kanak Muslim dihukum dan dilabel sebagai tidak sah atas tanggapan dosa luar nikah ibu bapa mereka sebelum perkahwinan mereka.
 

“Bapa biologi dinafikan untuk melaksanakan kesemua tanggungjawab keibubapaan dan memberikan kesemua hak yang perlu diwarisi kanak-kanak terbabit,” kata SIS lagi.
 

SIS berkata, tindakan melabel seseorang kanak-kanak sebagai “tidak sah” dan menghalang mereka segala hak sebagai anggota keluarga tidak boleh dijustifikasikan.
 

“Sejak beberapa tahun lalu, SIS telah menerima aduan berhubung hak kanak-kanak yang lahir luar nikah, kanak-kanak dianggap luar nikah tetapi lahir dalam lingkungan perkahwinan dan anak angkat, bukan sahaja ketika pendaftaran tetapi juga ketika memohon kad pengenalan, ketika memulakan persekolahan, apabila mereka hendak berkahwin dan selepas kematian ibu bapa mereka,” katanya lagi.
 

Sehubungan itu jelas pertubuhan bukan kerajaan ini, kepentingan kanak-kanak mesti menjadi keutamaan dalam proses menggubal mana-mana undang-undang, dasar dan keputusan yang boleh memberi kesan ke atas mereka.
 

“Prinsip-prinsip ini mesti dipertahankan oleh ajaran Islam, hak-hak asasi manusia universal dan proses membuat undang-undang Malaysia,” katanya lagi. 


P/S: Saksi PALSU adalah salah satu dari empat DOSA BESAR yang tidak akan diampunkan dosanya...

             
                 HARAMKAN SISTERS IN ISLAM - Facebook Group




.


0 Responses to "Isu Anak Luar Nikah : Sisters In Islam gesa Putrajaya ikut langkah Terengganu"

Post a Comment

There was an error in this gadget
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posting Terkini

Total Pageviews

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors