RSS

NGO lapor skandal NFC ke SPRM, gesa siasat 5 pemimpin Umno


Jingga 13

(Oleh: Masdar Wahid)

SHAH ALAM 10 Nov: Sebuah NGO membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana RM250 juta oleh Syarikat National Feedlot Corporation (NFC) milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Laporan itu dibuat oleh Pengerusi Jingga 13, Fariz Musa yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN di pejabat SPRM  Selangor.

Mereka mendesak SPRM menyiasat lima pemimpin tertinggi Umno termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana berbohong di dewan rakyat dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang meluluskan projek dan pinjaman RM250 juta itu.

Selain itu Jingga 13 mendesak SPRM menyiasat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sekarang, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kerana memutarbelit isu itu di parlimen serta Shahrizat sendiri yang mendapat keuntungan dari penglibatan keluarganya dalam skandal itu.

Bercakap kepada Keadilan Daily, Fariz berkata, SPRM juga perlu menyiasat segera dakwaan penyelewengan oleh NFC membeli kondominium mewah menggunakan wang rakyat berjumlah RM9.8 juta.

“Kondominium mewah itu dibeli keluarga Sharizat menggunakan wang dari dana yang diberi kerajaan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC),” kata nya kepada Keadilandaily.com hari ini.

Ia susulan pendedahan KEADILAN hari ini terhadap bukti pembelian itu yang diperoleh melalui empat traksaksi pindahan wang dari akaun semasa NFC di Bank CIMB cawangan Taman Tun Dr Ismail kepada Bandar Raya Developments Berhad pada Disember 2009.

Menurut Fariz, ia jelas merupakan pecah amanah, selain empat transaksi itu hanya dibuat dalam masa sehari dengan jumlah keseluruhan pembayaran sebanyak RM9,758,140.

“Dengan bukti empat transaksi ini membuktikan kenyataan pemimpin Umno semasa di dewan rakyat sebelum ini kononnya baki 250 juta sebelum ini belum diserahkan kepada NFC adalah bohong,” katanya.

Beliau turut membidas kenyataan menteri pertanian dan industri asas tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kerana memutarbelitkan isu itu di parlimen.

“Dakwaan menteri dan Khairy kononnya setiap transaksi memerlukan kelulusan kerajaan dan dipantau ketat adalah bohong.

“Kalau betul adanya pantauan ketat, sudah tentu wang sejumlah RM9.8 juta tidak boleh dipindah begitu sahaja untuk membeli kondominium mewah yang tiada kaitan dengan industri penternakan dan penyembelihan lembu,” katanya.

Oleh itu, beliau mendesak SPRM bertindak segera dengan menyiasat, mengheret dan mendakwa lima pemimpin tertinggi Umno ke muka pengadilan selain turut mendesak Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bersidang segera untuk menyiasat perkara itu. / KD


.


0 Responses to "NGO lapor skandal NFC ke SPRM, gesa siasat 5 pemimpin Umno"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors