RSS

Melayu Sedang Sakit?




Oleh Muhammad Nuruddin Bashah


Terlalu banyak makalah dan bahan bacaan yang merungkai permasalahan kaum Melayu baik dari aspek permasalahan sikap, ekonomi, sosial, pendidikan, aspek akhlak dan politik. Walaupun ramai politikus menfokuskan kekuatan politik sebagai utopia kejayaan kaum Melayu di Malaysia, penulis tetap percaya bahawa ramai lagi pemikir Melayu mementingkan pengupayaan bangsa dari aspek agama, sosial, ekonomi dan akhlak sebagai indikator kejayaan bangsa Melayu.
  
Penceraian musuh kaum Melayu

Permasalahan pertama yang wajar difikirkan adalah statistik penceraian kaum Islam (semestinya majoriti daripada kalangan Melayu) yang semakin meningkat. Statistik 200 000 pasangan bercerai dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini cukup menggerunkan bagi sesiapa yang faham erti rumahtangga. Berumahtangga mestilah melibatkan orang ketiga iaitu anak-anak. Bayangkan jika purata setiap keluarga memiliki 5 orang anak (kadar biasa bagi kaum Melayu), hampir 10 juta anak-anak telah menerima keadaan yang tidak stabil dari aspek emosi, kewangan, pendidikan dan tarbiah asuhan Islam serta pelbagai gejala sosial yang bakal menjanin dan membiak.

Statistik perceraian yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sangat mengejutkan kerana berlaku peningkatan dalam jumlah penceraian berbanding tahun-tahun yang sebelumnya. Mengikut laporan ini, jumlah perceraian pada tahun 2007 adalah 20,259 kes berbanding 131,086 perkahwinan. Bagi tempoh sehari pula, lebih daripada 56 perceraian dan 359 perkahwinan berlangsung.

Di setiap negeri pula, dilaporkan perceraian paling tinggi didaftarkan oleh negeri Selangor dengan 3,722 kes diikuti Kelantan sebanyak 2,257, Kedah (2,188), Johor (1,931), Perak (1,551), Terengganu - yang dikatakan janda teramai di Malaysia di tangga keenam dengan (1,537), Pahang (1,502), Kuala Lumpur (1,141), Sabah (924), Pulau Pinang (917), Sarawak (910), Negeri Sembilan (907), Melaka (758), Perlis (247) dan Labuan (37)

Antara model terbaik memberi pendidikan rumahtangga yang negatif adalah berita-berita penceraian serta kenyataan media para artis berkenaan kes penceraian mereka. Cukup simplistik, mudah dan gagal menampilkan perspektif Islam dalam diri para artis dan selebriti tempatan yang kini menjadi idola kepada ramai remaja dan belia.

Keterhakisan agama

Kaum Melayu dieratkan dengan agama Islam sejak agama itu mempopularkan bangsa ini di mata dunia sehingga tradisi nilai Islam dilihat melebihi 90% berbanding nilai keagamaan Hindu yang masih tersimpan sebagai adat dan cara hidup sebanyak 10% sahaja. Kaum Melayu yang dahulu pernah diasuh dengan 100% syariah Islam di bawah pemerintahan Hukum Kanun Melaka dan banyak undang-undang Islam lain telah menatijahkan suatu bentuk bangsa yang signifikan dengan Islam. Lantaran itu orang Melayu tidak dapat menerima istilah murtad pada suatu ketika dahulu.

Keterhakisan nilai agama berlaku secara sedikit demi sedikit dan kian membarah sehinggalah krisis murtad berleluasa. Daripada gejala mendewakan artis, bertuhankan hiburan, orang Melayu yang pada awalnya boleh menerima konsep aurat menyeluruh pada awal 1980an kini mulai mengeksploitasi menutup aurat menjadfi fesyen yang kian menjolok mata dan syarak. Orang Melayu mulai menerima liberalisme sebagai tuhan baru malah agenda liberal dinaungi oleh musuh Islam antarabangsa, pemimpin tempatan dan ahli korporat.

Presiden TERAS juga menyarankan agar orang Melayu memerhatikan kajian-kajian yang melibatkan konspirasi dan kolaborasi gerakan neo-evangelist iaitu gerakan gereja yang pro Yahudi dan misi kristianisasi sedunia berpusat di Amerika Syarikat. Dua gereja iaitu Metro Tabernacle dan Grace Assembly dikaitkan dengan gerakan Zionis dan jaringan evangelical sedunia yang menjadikan misi murtad sebagai agenda mereka.

Melayu muflis

Kini 37 000 orang anak muda (berumur antara 25 tahun – 35 tahun) diisytihar muflis, bangkrap atau dalam kata yang mudah, telah gulung tikar dalam bisnes. Dari segi bangsa, statistik Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan paling ramai muflis ialah Melayu (39.76%) diikuti Cina 33.36%, India 9.53% sementara lain-lain 17.34%. Jabatan Insolvensi Malaysia juga merekodkan 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis pada 2009 dan 72.74% atau 790 adalah lelaki yang merupakan teras bangsa. Media juga mendedahkan bahawa 41 orang anak muda menjadi muflis setiap hari di negara ini akibat berbelanja secara tidak terkawal melalui penggunaan kad kredit.

Ini suatu krisis! Apakah tiada suatu tindakan untuk menghentikan pemborosan di kalangan rakyat? Ramai kontraktor Melayu yang masih belum kukuh perniagaannya telah mula membeli Mercedes Kompressor. Sanggup membayar hampir RM 3,000 sebulan untuk gaya dan nama sedangkan berhutang untuk menutup kelemahan perniagaan. Ada yang mengambil tender sedangkan modal tetap syarikat adalah negatif. Sanggup berhutang untuk mendapatkan projek sedangkan projek yang sedia ada dan yang dipohon belum tentu berjaya.

Kampung Melayu lenyap 

Dalam keghairahan mengecap kekayaan manusiawi dan kemajuan pembangunan, telah banyak kampung milik kaum Melayu telah tergadai, lenyap dari muka bumi! Antara yang kini bukan lagi kampung permai kaum Melayu ialah Kampung Pandan, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Baru (bakal tergadai) serta Kampung Kerinchi.

Di negara-negara yang pesat membangun seperti Malaysia, rebakan bandar semakin ketara berlaku dalam wilayah metropolitan dan juga di bandar-bandar utamanya. Ini kerana pembangunan pembandaran telah diberi tumpuan utama secara khusus dalam pembangunan wilayah fizikal negara. Ini merupakan usaha kerajaan bagi memanfaatkan sumber-sumber dan kemudahan bandar, menyediakan kepelbagaian peluang-peluang pekerjaan, memenuhi permintaan tempat tinggal kesan daripada peningkatan jumlah penduduk kawasan bandar dan juga ke arah pembandaran yang lebih global. Penempatan Kampung Melayu yang terletak di pinggiran bandar besar kini kian dihimpit oleh fenomena rebakan bandar. Sebahagiannya mengalami perubahan identiti dan lenyap dalam arus kepesatan pembangunan terancang.

Kajian-kajian di luar negara mengenalpasti impak yang pelbagai dari aspek fizikal dan bukan fizikal akibat dari rebakan bandar tetapi fokus impak yang dikaji adalah lebih secara umum terutama dalam aspek guna tanah atau pembangunan kawasan pinggir bandar secara keseluruhannya. Kajian-kajian dalam aspek rebakan bandar telah dilihat sebagai mendatangkan pelbagai impak negatif seperti isu-isu alam sekitar, konflik guna tanah, ancaman kepada aktiviti pertanian dan spekulasi pasaran tanah.

Ciri-ciri rebakan bandar dijelaskan sebagai penyelerakan guna tanah bandar secara bertaburan dan melompat-lompat (leapfrog dan scattered) (Harvey and Clark, 1965); kurang kesinambungan dalam corak pekembangan bandar (lack of continuity in urban expansion) (Mill, 1981); pembangunan tidak tersusun dan merbahaya (haphazard growth and patchwork appearence) (Peiser, 1989), dan perkembangan pembangunan yang berdensiti rendah di sekitar sempadan bandar.

Di Malaysia, kampung-kampung Melayu yang terletak di pinggiran bandar merupakan monumen atau simbol masyarakat luar bandar. Ianya perlu dipertahankan daripada lenyap begitu sahaja, dilanda arus pembangunan yang begitu pesat. Pembangunan fizikal bandaraya telah menghimpit kampung-kampung ini dan banyak petempatan yang telah lenyap.

Kampung-kampung yang mengalami tekanan pembangunan daripada rebakan bandar menghadapi masalah sosioekonomi dan kualiti hidup yang rendah. Ini mencetuskan isu pemilikan rumah dan ketidakseimbangan sosial di kawasan pinggir bandar.

Lantaran itu TERAS telah bertindak menyokong tuntutan Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Muafakat) yang memohon agar semua 7 perkampungan yang kini diancam pembangunan tersebut iaitu Kampung Bandar Dalam, Kampung Padang Balang, Kampung Chubadak, Kampung Puah, Kampung Sungai Merali, Kampung Sungai Mulia dan Kampung Kuah Seberang diwartakan sebagai Perkampungan Melayu Warisan . 

Tanah rezab Melayu tanggungjawab siapa?

Suatu ketika dahulu penjajah British pernah memperuntukkan 3 juta hektar Tanah Rezab Melayu pada 1957. Akan tetapi menjelang tahun 1995, hanya lebih separuh-1.7 juta hektar tanah sahaja yang tinggal. Hari ini Tanah Rezab Melayu telah menyusut ke nilai 44% sahaja daripada nilai asal. Penyusutan sebanyak 1.2% setiap tahun telah berlaku.

Apa makna Tanah Rezab Melayu kepada maruah bangsa Melayu?

Undang-undang Tanah Rizab Melayu (selepas ini ERM) mula diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913) dikuatkuasakan di negeri-negeri yang dahulunya dikenali dengan nama Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Dua objektif yang disasarkan ialah menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara jua pun kepada bukan Melayu serta menyekat tanah Pegangan Melayu atau Tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian (private dealings) di antara Melayu dan bukan Melayu.

Mana-mana tanah yang dimiliki atau diduduki oleh orang bukan Melayu, atau orang bukan Melayu mempunyai hak atau kepentingan, tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu (rujuk Perkara 89(4) Perlembagan Persekutuan).

Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta disiytiharkan sebagai ganti. Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah [Perkara 89(3)Perlembagaan Persekutuan]. Hal ini jelas menunjukkan bahawa tanah simpanan orang Melayu adalah terjamin jika Perlembagaan Persekutuan dihormati.

Kedudukan Melayu di menara gading goyah 

Taburan mahasiswa yang menguasai kampus hari ini rata-rata sudah kekurangan kaum Melayu. Mahasiswa Melayu kelihatan dominan hanya dalam aspek kepimpinan dan politik kampus. Mereka masih menguasai hampir 90% kerusi majlis Perwakilan Mahasiswa. Tetapi bagaimana pula kajian yang mendedahkan bilangan mereka yang menyusut dalam setiap fakulti terutama fakulti/kuliah yang kritikal dan penting? Ia perlu diberi perhatian serius. Dahulu, Tun Dr Mahathir (semasa masih sebagai Perdana Menteri) pernah menganggar jumlah mahasiswa Melayu kini kurang daripada 55%. 

Isu bilangan pelajar lelaki Melayu di IPT yang merosot telah dibincangkan secara mendalam termasuk mencari punca kemerosotan tersebut berlaku. 

Antaranya terdapat gangguan kepada penuntut lelaki Bumiputera oleh pihak tertentu supaya mereka tidak terdorong untuk meneruskan pelajaran di peringkat tertiari (tinggi). Mereka terlalu terlibat dengan kegiatan lain sehingga tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran dan ramai yang sekadar mendapat kelulusan rendah. Pendedahan telah menunjukkan terdapat hanya 33% pelajar lelaki daripada keseluruhan pelajar Melayu di IPTA berbanding 67% pelajar perempuan, dan terbaru bilangan pelajar lelaki itu merosot kepada 30% berbanding 70% pelajar perempuan. 

Jika dahulu mahasiswa Melayu hanya kurang sedikit daripada 55% , kini hanya 26% sahaja pelajar Melayu yang dapat menjejaki menara gading. Selebihnya 74% adalah pelajar bukan Melayu. Situasi ini jauh merosot daripada matlamat asal. 

Ramai mempersalahkan sistem meritokrasi walaupun sebenarnya tujuan meritokrasi adalah suatu usaha mengupayakan kaum Melayu. Ramai beranggapan ia suatu hukuman untuk kaum Melayu hanya kerana ia tidak menyelesaikan pokok utama masalah pendidikan Melayu. Rata-rata sekolah kebangsaan dan menengah kebangsaan tidak mendidik anak-anak kita untuk bersaing dengan kaum lain sejak zaman persekolahan. Sistem matrikulasi yang meringkaskan pelajaran STPM (aliran sains) juga menghasilkan ilmuan segera yang tidak sesaing dengan anak bukan Melayu yang mengikuti STPM. 

Secara komposisi kaumnya, daripada jumlah keseluruhan pelajar ke IPTA sesi kali ini, sebanyak 27,829 orang adalah calon Bumiputera. Seramai 10,116 orang pula merupakan pelajar kaum Cina manakala selebihnya iaitu sebanyak 2,421 terdiri daripada pelajar kaum India dan kaum lain. 

Pada dasarnya, kemasukan pelajar Bumiputera masih tinggi berbanding pelajar bukan Bumiputera. Tetapi apa yang tidak kelihatan ialah bagaimana pecahan sebenar komposisi pelajar itu jika dilihat daripada kaedah kemasukan iaitu berdasarkan prinsip meritokrasi? Sejak 2003, pengambilan pelajar ke IPTA tidak lagi berdasarkan kuota yang mana 55% tempat diperuntukan kepada Bumiputera manakala 45% yang lain kepada bukan Bumiputera. Sebaliknya, kerajaan memperkenalkan prinsip meritokrasi yang membuka peluang sama rata kepada pelajar pelbagai kaum berdasarkan kemampuan pelajar. 

Budaya kompetitif yang ditanam dalam jiwa anak-anak kaum bukan Melayu perlu dikaji dan diambil iktibar. Kita sering melaung slogan ini bumi kita, ini tanah kita sedangkan warganegara negara ini yang berasal dari tanah besar telah menampilkan isyarat bahawa mereka mandiri dan mampu kekal berdikari di bumi yang dikatakan bukan bumi mereka. Kaum Melayu perlu insaf dalam hal ini jika tongkat kuota pelajar IPT ingin dibuang. 

Prof. Dato’ Abdul Samad Hadi dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Senario Semasa Pelajar Melayu di IPTA’ yang dibentang dalam Kolokium Pemajuan Akademik Pelajar Melayu IPT (2001) menyatakan bahawa gaya berfikir pelajar Melayu mempengaruhi cara hidup dan sosio ekonomi masyarakat Melayu secara keseluruhan dan berlainan dengan yang bukan Bumiputera. Antaranya ialah, pelajar Melayu tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas sekiranya ibu bapa atau orang lain tidak melakukannya untuk mereka.

Walaupun ini bukan hukuman mutlak terhadap keseluruhan pelajar Melayu namun ia telah menjadi suatu mitos yang ada benarnya. Kebanyakan pelajar Melayu sedar setelah terhantuk. Mereka mula meletakkan sasaran setelah mereka dicabar. Mereka juga dilihat sebagai tidak dinamik dan tidak sanggup bersaing. Pelajar Melayu juga lebih suka untuk mengambil jalan mudah. Kebanyakan punca kelemahan pelajar Melayu ialah tidak pandai memilih keutamaan mana yang lebih penting dalam melakukan sesuatu gerak kerja dan aktiviti. 

Senario kecemerlangan akademik pelajar Melayu IPTA adalah suatu isu yang banyak dibincangkan di mana-mana. Banyak telah dikaji punca kelemahan yang menyumbang kepada pencapaian yang tidak memberangsangkan pelajar Melayu terutama daripada sikap tidak mengutamakan kecemerlangan, sekadar lulus cukup makan, malas berfikir, teknik pembelajaran lemah, kurang daya inisiatif/ daya usaha, kurang pengetahuan am dan isu-isu semasa serta sering mengamalkan budaya 'last-minute'. 

Kajian oleh Aminudin Mohd Yusof (1997) pula menunjukan bahawa pelajar Melayu berfikir secara bercapah (divergent thinkers) dan penyerap (assimilator) yang lebih banyak menggunakan cara belajar pemerhatian dan renungan. Pelajar Cina pula mempunyai fikiran tertumpu (converger) dan lebih banyak menggunakan strategi belajar pengeksperimenan aktif dan pengalaman konkrit. Beliau juga melihat bahawa pelajar Melayu mempunyai falsafah jangan menyusahkan orang tua (autoriti). Dalam kes di universiti, orang tua merujuk kepada pensyarah.


Plan bertindak selamatkan masyarakat Melayu. 

Orang Melayu hanya boleh diselamatkan oleh kaum itu sendiri. Dari pandangan Za’ba dalam bukunya ‘Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri’ hinggalah buku Prof. Syed Hussein Alatas bertajuk ‘Mitos Pribumi Malas’ mengambarkan bahawa kaum Melayu ada kelebihan dan mereka sendiri yang mampu majukan diri sendiri. Keabsahan teori pemandirian kaum telah terbukti. 

Orang Melayu perlu dibangunkan dengan sikap berdikari sejak di bangku sekolah. Orang Melayu perlu keluar daripada budaya menagih subsidi sehingga sesiapa sahaja yang menghulur bantuan dianggap ‘segala-galanya’ bagi mereka. 

Orang Melayu perlu hidup berdisiplin tinggi. Mereka perlu sabar menerima gaji kecil dan hidup sekadar yang perlu tanpa perlu hidup dengan hutang dan rasuah. Budaya bazir dan boros perlu dikikis dan ‘padan baju di badan sendiri’ adalah pepatah yang amat kena untuk menghasilkan masyarakat yang jimat dan berdisiplin. 

Revolusi sikap dan mental seperti mana yang pernah disaran oleh Dato’ Abdul Rahman Senu dalam bukunya Revolusi Mental perlu diambil berat. Sikap malas, suka bertangguh, siap kerja sambil lewa, ambil mudah dan membazir masa perlu dikikis.

Pihak pemimpin Melayu pula jangan hanya berseronok dengan retorik menyelamatkan Melayu jika pelan selamatkan bangsa dilakukan atas dasar menangguk di air yang keruh serta mengeksploitasi sikap Melayu untuk kepentingan politik atau sebagainya. Bimbinglah bangsa, asuhlah bangsa dengan agama, akhlak dan pengurusan hidup yang baik. Berilah mereka ransangan untuk maju. Gunakan kuasa para pemimpin untuk menjaga aset Melayu secara hemah tanpa mencarik unsur perpaduan kaum negara ini.





.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors