Haris Awang
GEORGETOWN - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mengangkat sumpah dan berikrar untuk menjalankan tugas dengan amanah di depan Yang Dipertua Agong (YDPA), selepas Dun dan Parlimen dibubarkan.

Perkara itu dicadangkan wakil Pas Kedah, Haris Awang ketika menyampaikan usul pada mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) di Dewan Sri Pinang, semalam.


Menurutnya, upacara sumpah itu perlu dirakam dan disiarkan secara langsung oleh semua stesen televisyen dan radio negara ini supaya dapat disaksikan seluruh rakyat.


“Pengerusi SPR dan Pegawai Pengurus Pilihanraya mewakili ahli SPR, Pengarah SPR Negeri dan semua pegawai SPR wajib ber­ikrar melalui siaran langsung bagi mengakui telah melaksanakan tugas sebelum bubar Dun atau Parlimen secara adil dan telus.


“Mereka juga perlu berikrar untuk melaksanakan tugas semasa dan selepas pembubaran Dun atau Parlimen secara adil dan telus di hadapan YDPA dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kedah berkata, pada hari penamaan calon, pengu­rus pilihan raya Dun atau Parlimen juga perlu mengulangi ikrar mereka.


“Ikrar itu patut dilafaz bagi menjamin tiada sebarang penyalahgunaan kuasa nanti,”katanya.


Cadangan itu disambut baik Pengerusi PSC, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dengan mengatakan ianya cadangan unik dan baru pertama kali didengar.


Pas Kedah mengemukakan 12 cadangan bagi mewujudkan pilihan raya bersih dan adil.


Selain itu, mereka turut mencadangkan supaya tarikh pilihan raya diisytiharkan sekurang-kurangnya enam bulan selepas PRU sekiranya tidak mahu mengikut tempoh penggal sedia ada.


Beliau berkata, sebarang majlis tidak boleh dianjurkan dalam tempoh pilihan raya bagi menghindari berlakunya rasuah.


“Semua majlis perasmian, pecah tanah, penganugerahan geran bantuan, sumbangan dan sebagainya yang dianjurkan atas nama mana-mana agensi kerajaan atau ahli politik tidak dibenarkan sebagai pencegahan berlakunya rasuah dan politik wang,” katanya. /SH