RSS

901: Hak Untuk Berhimpun Secara Aman



Hak untuk berhimpun secara aman merupakan hak rakyat yang sejajar dengan semangat keperlembagaan. Ianya merupakan antara teras kepada amalan sesebuah negara demokratik.

Justeru sebarang usaha atau tindakan yang menggasir hak untuk berhimpun secara aman dan hak menyatakan pendirian politik (political expression) rakyat Malaysia adalah bertentangan dengan asas pembentukan negara Malaysia yang demokratik, bebas dan merdeka. Pencabulan ke atas hak ini dianggap sebagai mengkhianati asas penubuhan negara Malaysia yang merdeka.


Oleh itu saya menyambut baik kenyataan YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara yang memperlihatkan kesediaan pihak polis untuk berbincang dengan KEADILAN dan Pakatan Rakyat bagi menjamin kelancaran perhimpunan aman 901 untuk membantah rekayasa politik ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim. KEADILAN menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan pihak polis demi memastikan perhimpunan aman ini berjaya diteruskan dengan aman dan teratur.

KEADILAN tegas menyeru semua anggota parti dan penyokong Pakatan Rakyat serta rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran untuk berhimpun secara aman dan menyatakan sokongan terhadap reformasi demi rakyat dan negara Malaysia yang tercinta.

KEADILAN turut menggesa pihak polis untuk memelihara keselamatan awam termasuk para demonstran dan rakyat keseluruhannya yang berhimpun di Kuala Lumpur. Kita berharap insiden keganasan seumpama tragedi UPSI dan BERSIH tidak akan berulang.

Ini adalah peluang terbaik Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara untuk memulihkan imej polis yang sekian lama tercalar dan mengembalikan keyakinan awam terhadap institusi polis selaras dengan janji Perdana Menteri untuk melaksanakan transformasi politik di dalam pentadbirannya.




Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN


.


There was an error in this gadget
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posting Terkini

Total Pageviews

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors