Isu yang menyentuh kenyataan Datuk Seri Anwar mengenai keselamatan
Israel yang dikatakan menyentuh perasaan Palestine masih hangat
dibincang. Saya dan PAS juga turut diasak menyatakan pendirian
mengenainya. Meskipun pada awalnya saya anggap ia adalah hal peribadi
Datuk Seri Anwar. Sehingga ada seorang timbalan menteri mengesyorkan
agar saya ‘ditarbiah semula’. Lalu saya bersuara pada 16 Rabi’ulawal (9
Februari) lalu atas pandangan serong timbalan menteri itu.
Kemudian pihak Presiden PAS, Tuan Guru Abdul
Hadi pun (17 Rabi’ulawal) menyatakan secara jelas sikap dan pendirian
atas isu Palestine. Maka PAS tetap berpendirian kena jaga perasaan umat
Islam. Tambahan pula, sekian lama umat Palestine dizalimi regim
Yahudi-Israel.
Apa pun atas kenyataan Datuk Seri Anwar (seperti disiar oleh Wall Street Journal)
perlulah tampil menjelaskan pendirian agar ia tidak terus diputar oleh
pihak tertentu. Ia penting sebagai asas untuk dilihat ‘berpihak’ kepada
umat Palestine dan tidak ‘menyokong’ Israel.
Justeru, saya selaku Al-Mursyidul Am bersama Majlis Syura Ulama’ PAS
telah mengeluarkan suatu kenyataan yang mengharapkan Datuk Seri Anwar
tampil menyatakan pendirian ‘sebenar’ antara mohon maaf atau menyaman Wall Street Journal.
Kandungan kenyataan itu adalah sebagaimana berikut:
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengulangi pendirian yang
berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf
negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian
di kalangan gerakan Islam antarabangsa, serta menyokong sepenuhnya
perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.
Negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara
zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua
peradaban manusia. Wajib ke atas umat Islam bukan sahaja di bumi
Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan
Palestin sepenuhnya. Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram.
Maka PAS menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan
satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.
Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi
tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam, kerana
ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam
sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian
dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi
dalam isu kezaliman ini.
Saya, selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan
dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS, menggesa Datuk
Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall
Street Journal. Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau
membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura
Ulama’ menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan
undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama
beliau.
Secara tegas, jiwa dan perasaan umat Islam perlu dijaga. Lebih
utama lagi menyokong perjuangan Palestine kerana bumi Palestine adalah
bumi mulia. Di situ letaknya Masjid Baitulmuqaddis. Ia kiblat pertama
umat Islam dan paksi penting sejarah kenabian. Lebih-lebih lagi di sisi
Nabi Muhammad SAW, ia menyentuh mukjizat Israk dan Mikraj. Ia peristiwa
yang mengangungkan Allah SWT.
Semoga Allah mengurniakan kebaikan dan ketenangan untuk semua umat Islam bila keamanan berlaku di bumi Palestine.
.