Adalah cukup jelas bahawa seluruh jentera propaganda Barisan Nasional (BN), termasuk mereka yang mendakwa diri mereka “kuasa ketiga” kini giat sekali dalam memastikan agar kredibiliti dan moral ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terjejas dengan teruk sekali.
Sebelum ini, jentera propaganda BN telahpun dipergiatkan pada dua
tahun yang lalu dengan serangan demi serangan terhadap Anwar berkenaan
dengan kes perbicaraan liwat yang melibatkan Saiful Bukhari Azlan. Jika
sekiranya kes yang berlaku pada tahun 1998 akibat daripada perbuatan
khianat Azizan Abu Bakar diambil kira, ia adalah mencukupi bagi orang
ramai untuk membentuk suatu pendapat yang boleh menjejaskan lagi masa
depan politik dan keperibadian Anwar di mata umum.
Dan kini timbul pula beberapa rakaman video yang kononnya Anwar telah
melakukan hubungan seks dengan seorang wanita yang juga telah
berlanjutan selama setahun lamanya dan Anwar turut diugut akan terdedah
lebih banyak lagi video seumpamanya tidak lama lagi.
BN pakar dan kilang seks
Kenapa pula BN memutuskan untuk mengulangi pendedahan yang sama
dengan begitu kerap sekali? Kenapa pula seksualiti Anwar terus menjadi
tumpuan BN secara berterusan dan dakwaan meliwat, berseks dan sebagainya
diulangi satu demi satu? Namun demikian ketua pembangkang itu tetap
popular dan disangjungi oleh rakyat jelata.
Kan tidak masuk akal? Rakyat Malaysia pada umumnya telahpun mempunyai
pendapat mereka terhadap Anwar. Macam mana sekali pun, seluruh jentera
propaganda BN tetap mempergiatkan usaha mereka untuk menggugat
kredibiliti Anwar oleh kerana popularitinya di kalangan rakyat masih
kukuh dan tetap unggul. BN takut bahawa Anwar dan Pakatan Rakyat kini
semakin menghampiri Putrajaya.
Kedegilan BN untuk meneruskan dan mengulangi persembahan dan
pembikinan seksnya yang sama untuk tatapan umum walaupun telah beberapa
kali gagal untuk mencacatkan sepenuhnya keperibadian dan moraliti Anwar
jelas menunjukkan bahawa kewarasan BN telah hilang dengan sepenuhnya.
Hanya mereka yang kurang waras sahaja yang akan asyik dan suka
mengulangi perbuatan yang sama dan tidak berkesan dengan mengharapkan
akibat yang berlainan akan menimpa mangsanya. Rakyat Malaysia pada
keseluruhannya telah bosan dengan pelbagai karenah dan tipu muslihat BN
yang sering mengancam keperibadian Anwar.
Apa yang rakyat jelata inginkan selama ini adalah lebih banyak lagi
pendedahan mengenai salahlaku dan penyalahgunaan kuasa yang diamalkan
oleh BN selama lebih daripada 50 tahun pemerintahannya apabila Pakatan
berkuasa nanti. Ramai di antara kita amat sangsi dengan ketelusan yang
didakwa oleh BN di dalam pentadbiran mereka selama ini berdasarkan
pelbagai bentuk masalah dan skandal demi skandal yang telah banyak
dibongkar.
Pemimpin di mata umum
Kita semua percaya bahawa sebagai seorang pemimpinyang dipilih dan
bertanggungjawab kepada rakyat, beliau akan sentiasa mendapat perhatian
umum biarpun di mana sahaja seseorang pemimpin itu berada. Oleh itu,
para pemimpin haruslah bertanggungjawab sepenuhnya jika sekiranya
salahlaku mereka terbongkar kepada umum. Pendek kata, jikalau ingin
menjadi seorang pemimpin politik, beliau perlulah bersedia untuk
menghadapi situasi sebegini kerana tanggungjawab selaku seorang
pemimpin.
Rakyat juga mempunyai hak mutlak untuk memberikan kritikan,
memberikan teguran dan sebarang pendapat mengenai perilaku dan perbuatan
setiap pemimpin politik.
Yang malang sekali bukannya tentang kelemahan yang ada pada para
pemimpin. Para pemimpin adalah juga manusia sama seperti kita semua dan
di negara mana sekali pun, tidak akan ada seseorang pemimpin yang cukup
mantap atau lengkap akan diri mereka. Itu mustahil.
Yang malangnya di sini adalah selalunya para pemimpin pembangkang
khususnya daripada Pakatan yang selalunya akan menjadi mangsa
pemerhatian umum mengenai perilaku dan tindakan mereka oleh kerana
kerajaan BN sering mensasarkan mereka dengan media massa milik mereka.
BN sanggup melakukan apa sahaja bagi “mendedahkan” apa yang mereka
dapati daripada pihak pembangkang.
BN memanupulasi moral
Sistem perundangan dan kehakiman di negara kita ini telah banyak
menampakkan kecacatan dan berat sebelah oleh kerana manupulasi yang
berlebihan oleh kerajaan BN selama ini. Dengan itu, isu “moral” sering
dipergunakan oleh BN bagi mengekang para pemimpin pembangkang.
Dalam isu moral ini, pihak BN pula tidak begitu memastikan agar tahap
perilaku mereka terpelihara. Di manakah moral mereka ini apabila para
pemimpin BN ini menggunakan kuasa mereka untuk mengambil wang rakyat
untuk memperkayakan diri mereka, keluarga mereka dan anak-anak mereka?
Di manakah moral mereka ini apabila pemimpin BN ini telah membelakangkan
demokrasi dengan menggulingkan sebuah kerajaan negeri yang dipilih
rakyat melalui amalan memeras ugut? Adakalh kesemua ini adalah suatu
moraliti yang BN berharap rakyat akan mempercayai atau menerimanya tanpa
usul periksa?
Rakyat sememangnya akan berpeluang untuk menghakimi kesemua ini di
dalam pilihanraya umum yang akan datang. Kita mungkin akan bertanyakan
sesama sendiri sama ada moral di pihak BN itu adalah lebih baik atau
suci daripada Pakatan atau sebaliknya.
Adalah amat rumit untuk memutuskan moraliti yang mana boleh diterima
atau sebaliknya kerana kalangan kita sendiri juga punyai pelbagai
pemikiran dan pendapat yang berbeza khususnya yang melibatkan
keperibadian seseorang pemimpin.
Kita semua berhak untuk mengeluarkan pendapat, akan tetapi, yang
mengakibatkan kemarahan kita adalah sikap kebencian dan hipokrit yang
ditunjukkan oleh para pemimpin BN di dalam usaha mereka untuk mematikan
seberapa banyak pemimpin pembangkang yang perlu dengan menggunakan
pelbagai cara yang tidak adil.
Walaubagaimanapun, Tuhanlah yang maha esa dan Tuhanlah yang mengetahui segala-galanya.
Malaysia Chronicle