KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam mengesahkan seorang
pemuda rakyat Malaysia yang ditahan di Batam, Indonesia Jumaat lalu
adalah individu sama yang dicari polis bagi membantu siasatan berhubung
penyebaran gambar bogel Elizabeth Wong.
Lelaki yang sebelum ini dikenali sebagai Hilmi dan menetap di Ampang,
Selangor itu menjadi buruan polis sejak tahun 2009 selepas tersebarnya
gambar-gambar bogel Elizabeth di Internet pada 2009.
Elizabeth ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna
dan Alam Sekitar Selangor dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Parti Keadilan Rakyat (PKR) kawasan Bukit Lanjan.
Hilmi atau Azmin Hilmi didakwa bekas teman lelaki ahli politik wanita itu.
Satu sumber berkata, PDRM dimaklumkan bahawa lelaki bernama Azmin
Helmi, 37, yang ditahan oleh pihak berkuasa Batam, Indonesia atas
kesalahan memiliki dokumen palsu adalah Hilmi iaitu individu sama dicari
polis Malaysia sejak tiga tahun lalu.
"Ya (adalah Hilmi). Dia sah telah ditahan di Batam Sentral, Indonesia.
"Bagi membawa Hilmi pulang bagi siasatan berhubung penyebaran gambar
bogel Elizabeth, ia akan memakan masa. Kita akan bekerjasama dengan
pihak polis Indonesia untuk tujuan itu," kata sumber itu kepada Kosmo!
di sini semalam.
Pada Februari 2009, Hilmi yang merupakan bekas pembantu seorang
pemimpin politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor diburu bagi
menyelesaikan kontroversi penyebaran gambar bogel Elizabeth.
Bagaimanapun, Hilmi yang ketika itu tinggal di alamat Jalan 4H, Ampang
Jaya, Selangor gagal dikesan kerana menghilangkan diri keluar negara
ekoran terbongkarnya skandal itu.
Hilmi dicari bagi membantu siasatan berhubung penyebaran gambar-gambar bogel Elizabeth di Internet.
Maklumat terakhir yang pernah disiarkan akhbar-akhbar tempatan ialah Hilmi didakwa bersembunyi di Indonesia.
Pada 17 Februari 2009, negara digemparkan dengan penyebaran gambar
bogel Elizabeth. Difahamkan, gambar-gambar dari pelbagai sudut itu
diambil tanpa pengetahuan mangsa menggunakan telefon bimbit ketika dia
tidur di rumahnya.
Gambar-gambar tersebut disahkan Elizabeth sebagai gambar-gambar dirinya.
.