RSS

Skandal NFC: Kenapa Najib Susah Sangat Nak Berhentikan Shahrizat?



Minggu ini Shahrizat Jalil dijangka memasuki semula pejabatnya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat setelah habis bercuti selama tiga minggu untuk membolehkan SPRM menjalankan siasatan keatas beliau. Namun dalam tempoh tiga minggu itu, Shahrizat khabarnya masih belum juga disoal oleh SPRM sebaliknya Ketua Wanita UMNO itu menggunakan jangka waktu itu untuk bercuti dan menunaikan umrah serta memohon hidayah Allah. Hanya pejabat NFC yang dilaporkan telah dikunjungi oleh SPRM dan beberapa komputer serta dokumen telah diambil.

Isu Shahrizat yang melibatkan suaminya dalam Projek NFC yang menggunakan dana rakyat sebanyak RM250 juta menjadi isu besar bilamana satu persatu kepincangan didedahkan bahawa wang itu turut digunakan untuk membeli pelbagai jenis hartanah, kereta serta perbelanjaan lain yang tidak ada kaitan langsung dengan penternakan lembu.


Rentetan daripada itu, desakan demi desakan agar Shahrizat meletakkan jawatan segera muncul, bukan sahaja daripada rakyat yang semakin mual melihat skandal berterusan dalam kerajaan serta daripada pihak pembangkang malahan daripada kalangan UMNO sendiri. Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution dan Zuraida Kamarudin daripada PKR dilihat amat aktif mendedahkan satu persatu kepincangan dalam NFC manakala Syed Ali Alhabshee dan Bung Mokhtar Radin daripada UMNO antara yang terus mendesak agak Shahrizat berundur dari kabinet. Terbaru Rafidah Aziz turut bersuara dalam nada yang sama.


Khabarnya dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini iaitu sejak isu lembu ini muncul, Shahrizat sudah tiga kali menunaikan umrah dan minggu lalu sekembalinya dari umrah terbaru, beliau dengan pantas bertegas tidak akan meletakkan jawatan, bahkan menuduh ada pihak yang begitu berhajat mahukan jawatannya sebagai Ketua Wanita UMNO. Beliau juga sudah mengadakan beberapa siri roadshow untuk menangkis serangan terhadapnya sambil menegaskan hanya Perdana Menteri yang boleh menentukan kedudukannya dalam kabinet.


Dalam hal ini nampaknya Shahrizat masih belum mendapat hidayah daripada tiga kali kunjungannya ke Mekah itu. Jika hidayah sudah diperolehi sudah tentu beliau akan segera meletakan jawatan kerana isu NFC dan kaitan dengan kedudukannya beliau sebagai menteri dan Ketua Wanita UMNO sudah menjadi isu besar dan diakui oleh hampir semua orang bahawa ia akan menjadi beban dan punca utama kekalahan UMNO dan BN dalam PRU 13 nanti. Yang memintanya undur juga semakin ramai. Kalau hidayah sudah ditemui, Shahrizat pastinya akur dengan semua tuntutan itu.


Selain menjadikan Wanita UMNO sebagai perisainya, Shahrizat juga terus membebankan Najib dengan mengatakan hanya Najib yang boleh menentukan kedudukannya. Najib pula sebagaimana yang diketahui sejak isu NFC ini muncul, beliau lebih banyak berdiam diri dan mengelak daripada bersuara. Ketika mengumumkan Shahrizat bercuti tiga minggu baru-baru ini pun, beliau tidak bercakap banyak sambil berkata timbalannya, Muhyiddin Yassin akan memberikan butiran lanjut mengenainya.


Sementara desakan demi desakan makin kuat agar Shahrizat berundur, Najib tetap juga membisu. Bahkan apabila Shahrizat sendiri mengatakan hanya Perdana Menteri yang boleh menentukan masa depan politiknya, Najib terus juga membisu. Kenapa Najib begitu takut untuk bersuara mengenai Shahrizat? Apakah yang Najib takutkan sebenarnya? Apakah beliau takut kepada ahli wanita UMNO seramai 1.3 juta orang itu?


Dalam hal ini adalah mustahak Najib segera bertindak jika tidak mahu UMNO terus terbeban dengan isu Shahrizat ini dalam pilihanraya umum akan datang. Najib sudah tidak ada pilihan selain meminta Shahrizat berundur daripada kabinet dan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Wanita UMNO. Berundur sebagai menteri sahaja tidak memadai lagi kerana isu ini sudah begitu membarah dan merebak ke segala urat saraf rakyat. Shahrizat harus juga melepaskan jawatannya dalam Wanita UMNO. Kemudian biarlah pihak berkuasa menyiasat seadil-adilnya kes NFC ini.


Hanya dengan tindakan itu Najib dilihat benar-benar berwibawa dalam membersihkan UMNO keseluruhannya daripada terpalit dengan isu NFC ini. Dengan berundurnya Shahrizat, biarlah Wanita UMNO dipimpin oleh orang lain untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang, sekurang-kurangnya isu NFC tidak akan dikumandangkan lagi dan Wanita UNNO juga dapat turun berkempen dengan lebih selesa.


Jika Najib terus membisu dan seolah-olah takut untuk meminta Shahrizat berundur,ia bukan sahaja meletakkan Najib dalam kedudukan sukar yang berterusan dan dianggap sebagai Perdana Menteri paling lemah, malahan akan timbul juga tanggapan-tanggapan lain yang bersifat peribadi terhadap diri beliau. Sekarang ini pun sudah agak meluas percakapan orang di mana-mana bahawa dikatakan Najib tidak akan berani mengambil apa-apa tindakan kepada Shahrizat sehingga pilihanraya umum akan datang. Malah ada yang berkata Shahrizat akan terus dilindungi Najib.


Dikatakan Shahrizat menyimpan sesuatu rahsia yang melibatkan Najib dan keluarganya. Ia sebenarnya bukanlah rahsia yang memalukan Najib tetapi dikatakan lebih kepada budi dan jasa yang pernah Shahrizat lakukan kepada Najib suami isteri yang membuatkan Najib dan isterinya, Rosmah begitu terhutang budi kepada Shahrizat.


Percakapan orang mengenai hal ini sudah begitu meluas sekarang, dari kedai kopi, lobi hotel, orang biasa, orang UMNO, ahli pembangkang malahan golongan kenamaan pun turut bercakap perkara yang sama. Kebenarannya belum dapat dipastilan tetapi melihat kepada ketakutan Najib untuk bertindak terhadap Shahrizat meskipun setelah pelbagai pihak bersuara dan Shahrizat sendiri seolah-olah mencabar Najib dengan mengatakan hanya Perdana Menteri yang boleh menyingkirkannya, nampak seperti ada kebenarannya.


Hanya Najib yang boleh memberhentikan segala percakapan ramai mengenai perkara ini iaitu dengan segera meminta Shahrizat berundur daripada kabinet dan juga Ketua Wanita UMNO.
   (SH 7/02/2012




.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors