RSS

Eloklah Najib Berundur Jika Tak Mahu Diundurkan...



Oleh Shahbudin Husin

Komen terbaru Tun Daim Zainuddin mengenai masa depan politik Najib yang akan diundurkan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri andainya BN gagal mencapai majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum akan datang, kini bagai mengesahkan cakap-cakap mengenai perkara itu yang sudah pun kedengaran sejak sekian lama di ruang atmosfera politik negara.

Dalam wawancara dengan sebuah akhbar Cina, Daim berkata, mendapatkan semula majoriti dua pertiga adalah wawasan yang baik tetapi Najib perlu lebih praktikal, jika kehilangan banyak kerusi, UMNO sendiri akan menggulingkannya.


Menurut veteran UMNO itu lagi, itulah realiti politik di mana menyingkirkan pemimpin yang gagal mencapai keputusan yang cemerlang kini sudah menjadi trend global di mana-mana.


Selama ini khabar angin di pelbagai peringkat kepimpinan UMNO sudah lama bertiup bahawa Najib hanya mampu menyelamatkan kedudukan dan masa depan politiknya andainya berjaya melepasi garisan dua pertiga majoriti kerusi di Parlimen.


Andainya gagal mencapai tahap itu, dikhabarkan sudah ada pihak yang mahu bangun bersuara agar Najib mengundurkan diri dan memberi laluan kepada pemimpin lain pula. Pihak yang dicadangkan untuk menggantikan beliau ialah timbalannya sekarang, Muhyiddin Yassin.


Namun kedengaran juga desas-desus bahawa Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li yang pernah tewas 43 undi kepada Tun Mahathir pada pemilihan 1987 lalu, akan turut masuk gelanggang kali ini. Ku Li dikatakan sama ada akan bertanding berseorangan atau mungkin juga bergandingan dengan Muhyiddin, kiranya Najib berkeras mahu mempertahankan jawatannya.


Ku Li yang tewas pada pemilihan 1987 di mana antara puncanya ialah tindakan Najib belot di saat-saat akhir dengan pengumuman menyokong Mahathir, kini dilihat berpeluang melunaskan dendam terhadap perbuatan Najib yang dianggap mengkhianatinya itu. Jika tidak kerana pembelotan Najib itu, Ku Li memang dilihat berpeluang cerah untuk menang ketika itu.


Kedudukan Najib yang kini dibelit dengan pelbagai isu dan masalah memang dilihat berada dalam keadaan cukup genting. Beliau bukan sahaja dikatakan akan gagal memperbaiki kedudukan UMNO dan BN berbanding pilihanraya 2008, bahkan ramai yang meramalkan UMNO dan BN akan tumbang kepada Pakatan Rakyat kali ini.


Selain kedudukan Najib yang terlalu banyak masalah dan isu serta kedudukan UMNO yang masih tidak berubah, fenomena kebangkitan rakyat terhadap tuntutan perubahan kini bagaikan sesuatu yang sudah tidak boleh ditolak lagi. Fenomena itu sudah berlaku di banyak negara di dunia dan pemimpin yang jauh lebih kukuh kedudukan serta kuat cengkamannya berbanding Najib pun sudah banyak yang rebah dan tewas kepada gelombang perubahan.


Di tambah dengan pelbagai masalah lainnya, hakikat bahawa kedudukan Najib dan BN berada dalam kedudukan cukup genting sudah diakui serta sukar dinafikan oleh banyak pihak sebenarnya.


Dan dengan kenyataan terbaru Daim ini, ia bagaikan mengesahkan lagi hakikat itu. Selepas keputusan pilihanraya 2008, ramalan Daim sering dijadikan rujukan berikutan ramalannya bahawa Selangor dan Perak akan jatuh ke tangan pembangkang ketika itu. Walaupun pada mulanya ramalan beliau di pandang enteng tetapi bila terbukti benar, beliau kini antara "pak najum politik" yang digeruni dan berwibawa.


Najib kini bukan sahaja perlu memikirkan untuk berlawan dengan Anwar dan Pakatan Rakyat tetapi juga terpaksa memikirkan serangan daripada dalam UMNO sendiri.


Jika di luar, musuhnya ialah Anwar Ibrahim, Hadi Awang, Lim Kt Siang dan Pakatan Rakyat tetapi di dalam UMNO sendiri, beliau juga perlu awas terhadap timbalannya, Muhyiddin Yassin, Ku Li dan beberapa pemimpin UMNO lainnya yang masih belum menampakkan wajah sebenar mereka.


Bagi kalangan dalam UMNO yang mahu menyingkirkan Najib itu, wajah sebenar mereka hanya akan terserlah selepas keputusan PRU 13 nanti. Mereka akan berlumba-lumba mendesak Najib berundur sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri sebagaimana yang pernah berlaku kepada Pak Lah selepas keputusan buruk pilihanraya 2008.


Melihat keadaan dalam UMNO sekarang ini dan prestasi Najib sendiri yang tidak menentu, memang sukar untuk mengakui bahawa kemenangan akan berpihak kepada UMNO dan BN. Selain UMNO dan para pemimpinnya masih tidak berubah, Najib sendiri menjadi halangan besar untuk mencapai kemenangan.


Watak diri dan kaum keluarganya terlalu banyak disaluti dengan pelbagai masalah telah menghakis sokongan rakyat hari demi hari. Setelah bertahun-tahun rakyat Malaysia dihidangkan dengan gaya boros dan mewah Najib serta keluarganya dalam berbelanja, terbaru ini rakyat dihidangkan lagi dengan gaya mewah Najib dalam mengadakan majlis pertunangan anaknya dan majlis sambutan hari jadinya sendiri.


Pendedahan yang dibuat oleh PKR tentang belanja lebih RM400 ribu untuk jamuan makan majlis pertunangan itu dan hampir RM80 ribu untuk sambutan hari jadinya, walaupun mungkin menggunakan duit sendiri tetapi telah memadan sama sekali imej baik, mesra rakyat dan "wassatiyah" yang cuba ditonjolkan Najib sejak akhir-akhir ini.


Sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN kini berada di tahap yang cukup rendah berikutan timbulnya isu tersebut. Najib tidak lebih seperti kura-kura yang mengajar anaknya berjalan betul. Najib meminta rakyat berjimat cermat dan bersederhana tetapi beliau sendiri cukup boros dan bermewah dalam hidup.


Sokongan rakyat juga merudum berikutan kemarahan rakyat terhadap banyak isu rasuah dan ketirisan dalam kerajaan, isu SBPA, skandal lembu NFC, penggabungan MAS - Air Asia yang jelas merugikan kerajaan dan sebagainya.


Hakikatnya, kemenangan memang masih jauh dari gapaian, apatah lagi melepasi garisan majoriti dua pertiga. Hakikat bahawa sama ada BN akan dikalahkan oleh Pakatan Rakyat atau Najib akan disingkirkan oleh UMNO sendiri selepas pilihanraya umum nanti adalah realiti yang semakin sukar ditolak.


Cumanya, jika Najib tidak mahu diaibkan dan tidak mahu dipaksa berundur, eloklah beliau mula memikirkan untuk berundur diri secara terhormat sebelum piliharaya ini.



.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors