Sekumpulan penjaja di Lorong Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur meluahkan
rasa tidak berpuas hati terdapat pihak yang cuba melibatkan mereka untuk
berniaga di hadapan rumah Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga
mulai hari ini.
Mereka juga mengambil sikap "berkecuali dan tidak mahu main politik",
tidak seperti yang dilakukan oleh Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala
Lumpur (MBPKL), dan hanya mahu mencari rezeki dengan menjaja di lorong
itu setiap Sabtu.
Malah, mereka juga bimbang pelanggan akan lari jika mereka dikaitkan
dengan tindakan berniaga di hadapan rumah Ambiga, sehingga boleh
menjejaskan pendapatan mereka selepas ini.
"Ini memberi kesan negatif... Kami tidak bersetuju dengan tindakan
menjual (di hadapan rumah Ambiga). Ia memberi nama buruk kepada peniaga.
"Jangan guna nama platform penjaja Jalan Tunku Abdul Rahman. Guna nama
lain. Kita bebas, tidak berpolitik, kita nak cari rezeki... Kalau nak
berpolitik berhenti berniaga dan masuk politik," kata seorang peniaga,
yang enggan namanya didedahkan.
Dilaporkan MBPKL yang diketuai Datuk Jamal Md Yunus akan berniaga
pelbagai barangan, makanan dan minuman di hadapan rumah Ambiga selama
dua hari bermula hari ini bagi menampung kerugian mereka akibat
perhimpunan pada 28 April lalu.
'Tak sampai 10 sokong BERSIH 4.0'
Selain menamakan tindakan mereka sebagai "Bersih 4.0 - Mencucikan Bersih
1,2,3", semalam mereka membida tapak perniagaan sehingga
mencecah nilai tertinggi sebanyak RM5,000.
Mengunjungi Malaysiakini semalam, kumpulan penjaja itu mendakwa
kira-kira 95 peratus daripada kira-kira 300 penjaja di lorong tersebut
bersikap berkecuali dengan tindakan majlis Jamal yang mahu berniaga di
hadapan rumah Ambiga.
Penjaja itu mendakwa penjaja di situ tidak diajak berbincang dengan
rancangan tersebut, sebaliknya hanya mengetahui melalui kain rentang dan
risalah yang diedarkan kepada mereka.
"Boleh dikira dengan jari, tak sampai sepuluh orang (penjaja) yang
menyokong Datuk Jamal," katanya menjawab soalan berhubung jumlah penjaja
yang menyertai rancangan Jamal - pemilik peniagaan kereta mewah dan
restoran.
Sementara itu, menceritakan suasana pada hari demonstrasi, kira-kira 50
peratus penjaja menjalankan aktiviti seperti biasa, tetapi terpaksa
menghentikannya selepas polis berpangkat biasa didakwa mengarahkan ia
dihentikan sewaktu berlakunya kekecohan di situ.
"Tidak ada arahan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," kata penjaja
itu yang mendakwa tindakan polis dibuat kerana penjaja dikatakan
"melindungi" peserta BERSIH.
.