Setelah
rakyat Malaysia dikejutkan isu masalah sistem radar yang dibangunkan
Selex Sistemi Integrati (SELEX) dan Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn
Bhd (AAT) di Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) di Subang,
kini KEADILAN difahamkan salah satu syarikat tersebut telah mendapat
projek di KLIA2 walaupun ia pembida yang kalah.
KLIA2 sebelum
ini pernah menghadapi kontroversi antaranya, pemilihan tapak dengan
permukaan tanah yang lembut dan tidak sesuai untuk membangunkan lapangan
terbang - maklumat yang tidak diketengahkan Malaysia Airport Holdings
Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) kepada rakyat. Selain
itu, kenaikan kos dari RM1.7 bilion kepada RM 3.6 bilion dan penundaan
tarikh siap pembinaan dari September 2011 ke April 2013; menambahkan
lagi kontroversi, dan tentunya penggunaan wang rakyat apabila nilai
projek KLIA2 melambung tinggi nanti.
Terkini, KEADILAN telah
mendapat maklumat bahawa AAT merupakan salah satu dari tiga syarikat
yang telah memasukkan bidaan untuk membangunkan sistem kawalan udara di
KLIA2.
Bagi projek KLIA2, syarikat AECOM dilantik menjadi
konsultan kepada MAHB dan telah memulakan pengumpulan maklumat, data dan
laporan sejak Februari 2010 untuk memberikan pendapat komprehensif;
terutamanya di dalam tiga aspek iaitu sistem kawalan udara, prosedur dan
peralatan. AECOM juga mendapati ada keraguan dalam keberkesanan sistem
kawalan udara SELEX dan mengesyorkan peningkatan sistem kawalan udara
supaya ia dinaiktaraf dan kekal relevan supaya dapat menangani kapasiti
penerbangan dengan lebih baik dan berkesan apabila KLIA2 dibuka nanti.
Meskipun laporan penilaian teknikal AECOM bertarikh 9 Disember 2011
telah mengiktiraf kebolehan syarikat AMP Corporation (M) Sdn Bhd (AMCOP)
untuk melaksanakan projek tersebut dengan baik dan telah menyarankan
AMPCOP dipilih, namun akhirnya projek ini telah diberikan kepada AAT -
sebuah syarikat yang, mengikut laporan penilaian teknikal tersebut,
tidak memenuhi spesifikasi teknikal yang diperlukan untuk projek ini.
(Lampiran 1)
Walaupun nilai bidaan AAT adalah lebih rendah
daripada AMCOP, kelulusan hanya boleh diberikan sekiranya AAT menepati
kesemua keperluan teknikal yang disenaraikan.
Tambahan lagi,
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Perolehan MAHB juga telah dengan jelas
memberikan penilaian dan rekomendasi seperti berikut pada 15 Mac 2012.
(Lampiran 2)
Pemilihan AAT mengejutkan kerana sebelum ini AAT juga
terjerumus di dalam kontroversi yang mengancam keberkesanan keselamatan
sistem kawalan udara di Malaysia serta para penumpang pengangkutan udara
menerusi makluman dalaman tentang senarai kecacatan dan kestabilan
penyenggaraan sistem radar MIP-2 di Lapangan Terbang Subang.
Insiden-insiden kecacatan di dalam sistem MIP-2 juga diakui oleh Jabatan
Penerbangan Awam, dan emel dalaman pegawai DCA dan ATC yang
menggambarkan sistem radar kelolaan SELEX tidak berfungsi secara
memuaskan.
Diperingatkan bahawa senarai kecacatan di dalam
sistem MIP-2 adalah mirip masalah teknikal yang dihadapi oleh sistem
LEFCO keluaran SELEX yang dibatalkan di Cyprus. Kalau Parlimen Cyprus
berani membatalkan projek, saya desak Kementerian Pengangkutan menjemput
ICAO untuk mengadakan audit ke atas sistem MIP-2 dan sekaligus
melenyapkan tanda tanya terhadap keberkesanan sistem radar di Malaysia.
MAHB dan MOT wajib menjawab dan menjustifikasikan penganugerahan projek
sistem kawalan udara KLIA2 kepada AAT kerana kita tidak mahu
keselamatan orang awam diperjudikan dengan pemilihan semberono.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
merangkap Naib Presiden KEADILAN
.