RSS

Isu Air - Muhyiddin Akhirnya Tunduk Pada MB Selangor



KUALA LUMPUR, – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyatakan kesediaannya untuk berbincang dengan kerajaan negeri Selangor berhubung isu air.

“Jika perlu kita akan duduk berbincang, tidak ada masalah, yang pentingnya nak menyelesaikan isu itu (isu air),” katanya mengulas laporan mengenai keputusan mesyuarat Exco kerajaan negeri Selangor baru-baru ini, yang mahu menjemput beliau membincangkan isu itu.

Bercakap kepada pemberita selepas menutup Festival Bahasa dan Sastera 2012 di sini hari ini, Muhyiddin berkata surat yang dikatakan akan dihantar kepada beliau berhubung perkara itu belum diterima dan beliau hanya mengetahuinya melalui media.

Katanya sebelum ini beliau telah memaklumkan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa sekiranya beliau berhajat untuk berbincang, sudah ada jawatankuasa di peringkat Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan negeri yang telah ditubuhkan.

“Beliau boleh proceed dengan itu, dan mereka boleh laporkan kepada saya, pendirian kerajaan Pusat telah jelas,” katanya.

Muhyiddin berkata yang penting ialah isu pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat atau Langat 2, yang jika projek itu tidak diteruskan dalam tempoh sekarang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menghadapi krisis bekalan air yang teruk.

Katanya kerajaan Pusat tidak menyekat cadangan pihak kerajaan negeri untuk mengambialih semua syarikat konsesi atas pendekatan yang dikatakan holistik.

Bagaimanapun, katanya, projek Langat 2 tidak boleh diketepikan dan perkara itu telah disampaikan oleh beliau kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. – Bernama



 

Penstrukturan air: Selangor beri kata dua kepada Pusat

SHAH ALAM : Kerajaan Selangor memberi tempoh 14 hari kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan perstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor seperti yang dikehendaki oleh Akta Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA).

Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, jika tiada sebarang maklum balas dalam tempoh tersebut, Selangor menganggap Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan meneruskan penstrukturan.

“Kerajaan Selangor telah memaklumkan kepada mereka tentang tindakan seterusnya untuk menyelesaikan perstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor seperti yang dikehendaki oleh WSIA.

“Makluman ini dibuat melalui surat rasmi kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui bertarikh 14 September. Surat ini juga dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk rujukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Julai lalu, Kerajaan Persekutuan memutuskan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2), akan diteruskan walaupun tidak disertai oleh Selangor dan tawaran akan dibuka dalam masa terdekat.

Muhyiddin yang mempengerusikan jawatankuasa kabinet mengenai isu itu mengarahkan Peguam Negara mengkaji cara untuk meneruskan projek tersebut tanpa kelulusan Selangor.

Selangor bagaimanapun tetap bertegas, penstrukturan semula industri air perlu dilakukan dengan menamatkan perjanjian konsesi dengan empat syarikat iaitu Syabas, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Konsortium ABBAS Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) supaya ia boleh diambil alih oleh kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid turut kecewa terhadap Kerajaan Persekutuan yang tidak pernah menyokong dan memulakan rundingan dengan syarikat-syarikat konsesi walaupun peruntukan itu jelas dinyatakan di bawah WSIA.

Menurut beliau, semua agensi kerajaan termasuk Pejabat Tanah Daerah (PTD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Hutan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Alam Sekitar (Jas) dan lain-lain agensi berkaitan perlu merujuk terus sebarang permohonan berkenaan projek itu kepadanya.

Khalid berkata, keengganan memulakan rundingan menunjukkan Kerajaan Persekutuan memang sengaja mahu mengingkari tanggung jawab untuk memenuhi kepentingan awam dan obligasi sebagaimana dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) WSIA.

Menurut beliau, Kerajaan Selangor komited untuk menjalankan penstrukturan semula industri air secara menyeluruh boleh meningkatkan kecekapan perkhidmatan air pada tarif yang munasabah.

.
 .


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors