DAP mengecam tindakan UMNO Barisan Nasional yang mengamalkan dakwaan
selektif dan dwi-standard dengan membiarkan tindakan ganas dan melampau
sesetengah pihak yang menyokongnya, tetapi berkeras pula dengan pihak
yang menentang.
Setiausaha Agung DAP dalam kenyataan medianya hari ini berkata
demikian, sambil mengutuk tindakan beberapa individu yang telah memijak
gambar Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak di Dataran Merdeka
semasa sambutan malam Merdeka di Kuala Lumpur.
“Namun demikian, jika Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin
Hussein boleh berjanji bahawa Kementerian Dalam Negeri akan mengambil
tindakan dan mempercepatkan proses undang-undang ke atas pelaku-pelaku
tersebut, adakah tindakan yang sama akan diambil ke atas
penyokong-penyokong BN yang melakukan tindakan yang serupa ke atas
gambar-gambar pemimpin PR?” ujar beliau.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut mengalami
pengalaman hampir serupa apabila kumpulan pelampau, Perkasa telah
membakar dan memijak gambarnya di perkarangan bangunan KOMTAR serta
melakukan upacara pengebumian dengan mengkalungkan bunga pada gambarnya
di luar kediaman beliau.
“Kenapa tiada tindakan diambil ke atas mereka yang bertindak biadap
terhadap pengerusi bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan di luar rumah
beliau?”
“Menyedihkan apabila menteri daripada parti komponen bukan Melayu
UMNO Barisan Nasional bertindak bagaikan pengecut dengan menuntut
tindakan apabila gambar Perdana Menteri dipijak tetapi tidak apabila
gambar seorang Ketua Menteri berbangsa Cina dicabuli,” tambah Guan Eng
lagi
Beliau turut membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang mengatakan bahawa tindakan memijak gambar
Perdana Menteri menunjukkan betapa tidak hormatnya Pembangkang terhadap
negara.
“Adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk menuduh Pembangkang untuk
sesuatu tindakan yang jelas bukan kerja kita. Kedua, kecaman Koh Tsu
Koon terhadap insiden memijak gambar Perdana Menteri sementara berdiam
apabila gambar saya dipijak dan upacara pengebumian dilakukan dengan
gambar saya hanya mendedahkan dwi-standard serta sikap tunduk beliau
kepada UMNO,” kata beliau.
“Koh juga tidak memanggil untuk tindakan yang sama terhadap pemprotes
Datuk Ambiga yang telah menghinanya dengan “tarian punggung” serta
“protes burger” dimana burger daging telah dimasak di luar kediamannya
walaupun beliau seorang Hindu dan vegetarian,” tegas Ahli Parlimen Bagan
itu.
“Nampaknya pemimpin bukan Melayu seperti saya dan Datuk Ambiga akan
terus dianiaya dan dimalukan sementara pemimpin pembangkang Melayu
Pakatan Rakyat terus diganggu dengan fitnah skandal seks,” katanya.
.
.