RSS

Teks Perbahasan Belanjawan 2013 Ketua Pembangkang‏ (Bahagian 1)




MUQADDIMAH
KONSEP PEMBANGUNAN EKONOMI

1.  Pendekatan pembangunan ekonomi yang berkepedulian dan mampan akan menjamin imbangan di antara pertumbuhan yang berterusan dan agihan kesejahteraan yang adil kepada semua.

2. Sebab itu, tumpuan tidak boleh hanya diberikan kepada angka-angka pertumbuhan dan saiz ekonomi semata-mata. Pendapatan isi rumah oleh golongan yang berbeda di dalam masyarakat adalah sama penting kerana ia menjadi kayu ukur sama ada hasil dari pertumbuhan ekonomi dinikmati seadilnya oleh semua golongan di dalam masyarakat, selaras dengan firma Allah SWT di dalam Al-Quran pada ayat ke-7, Surah Al-Hasyr:



“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”


1.                Pakatan Rakyat sejak dari awal lagi menekankan bahawa seluruh perancangan ekonomi negara perlu beralih dari mengejar sasaran ekuiti dan pertumbuhan semata-mata kepada sasaran pendapatan isi rumah minima sebanyak RM4,000 sebulan setiap keluarga menjelang akhir penggal pertama pentadbiran Pakatan Rakyat.

2.                Kenyataan tersebut diputarbelitkan sehingga ada yang membuat andaian kononnya Pakatan Rakyat berjanji akan membayar imbuhan kepada rakyat agar pendapatan isi rumah setiap keluarga mencecah RM4,000 sebulan.

3.                Saya ingin tegaskan bahawa pendekatan pembangunan ekonomi yang seharusnya menekankan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berkekalan dalam jangka masa yang panjang serta menjamin peningkatan pendapatan bolehguna (disposable income) rakyat, melalui sasaran-sasaran khusus seperti berikut:

a.     Pertumbuhan ekonomi perlu dijana oleh golongan usahawan kecil dan sederhana yang membentuk kelas perniagaan terbesar di dalam ekonomi, bukannya satu dua tauke besar dan insan mahakaya yang membolot atau memonopoli sebahagian besar kegiatan ekonomi;

b.     Pertumbuhan ekonomi bergantung kepada nilai tambah yang dihasilkan melalui peningkatan kemahiran dan kepakaran, maka peluang pekerjaan yang dihasilkan mempunyai pengaruh yang besar kepada bentuk pertumbuhan yang dijana;

c.      Peranan kerajaan di dalam menjana ekonomi perlulah dibataskan kepada usaha-usaha mencambahkan bidang baru dan memesatkan kegiatan ekonomi strategik, bukannya terlibat sama di dalam setiap jenis kegiatan ekonomi dan bersaing pula dengan usahawan kecil dan pengusaha;

d.     Pendidikan dan kemahiran yang melengkapkan rakyat untuk berdepan dengan persaingan global adalah fokus kerajaan sebagai tanggungjawab asas kepada rakyat untuk memesatkan pertumbuhan ekonomi

e.     Dasar-dasar khusus yang menjamin paras gaji dan perkongsian nilai yang dijana di antara majikan/syarikat dengan pekerja adalah saksama perlulah digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan demi menjamin kesejahteraan rakyat

f.       Paras pendapatan isi rumah keluarga menjadi sasaran ekonomi utama untuk memastikan tidak ada rakyat yang ketinggalan dari arus pembangunan dan kesejahteraan negara

g.     Kebajikan dan kesejahteraan golongan-golongan tertentu di dalam masyarakat yang memerlukan bantuan dan perlindungan agar tidak terpinggir adalah tanggungjawab kerajaan, melalui satu sistem jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh dan bersepadu

h.     Kemakmuran ekonomi rakyat terbanyak yang paras pendapatannya meningkat menjamin pertumbuhan yang mampan dan berterusan bila mana mereka terus melabur kembali di dalam ekonomi negara

4.           Pendekatan pembangunan yang seimbang di antara pertumbuhan ekonomi dan paras pendapatan rakyat ini turut disokong oleh United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD) di dalam laporannya Trade and Development Report 2012: Policies for Inclusive and Balanced Growth.

5.           Dengan izin, saya petik:

UNCTAD argues that rising inequality is neither a necessary condition for sound economic growth, nor its natural result. By contrast, full participation of all citizens in the proceeds of the economy as a whole in indispensable for successful and sustained development.

TDR 2012 suggests that policymakers need to apply policies to reduce income gaps, which in turn will influence overall economic and social outcomes. It shows how income distribution has been and may be modified by proactive policies, including the use of fiscal instruments aimed at redistribution.”


6.           Ringkasnya, pendekatan ekonomi yang ghairah dengan mencatat pertumbuhan tanpa mengambil kisah kesenjangan pendapatan di dalam masyarakat hingga golongan mahakaya yang dua tiga kerat membolot hasil negara tidak lagi wajar.

7.           Belanjawan 2013 tidak menyentuh langsung usaha-usaha meningkatkan paras pendapatan rakyat secara keseluruhan.

UNJURAN REALISTIK DAN SASARAN DICAPAI

10.            Keberkesanan  sesebuah kebijakan ekonomi, baik yang dibuat melalui belanjawan atau perancangan ekonomi berkala, untuk menjana pertumbuhan dan membaiki kedudukan sosio-ekonomi rakyat juga tertakluk kepada unjuran yang munasabah berdasarkan angka dan data yang benar. Ianya kemudian dinilai semula setelah meneliti sama ada sasaran dicapai.

11.            Jika tidak, proses merangka belanjawan dan perancangan ekonomi tidak lebih dari sekadar gimik politik murahan.

12.            Dengan merujuk kepada fakta bahawa jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan melangkaui jumlah yang diluluskan di Belanjawan 2012 sebanyak 9.4%[1] iaitu berbelanja lebih sebanyak RM21.6 bilion. Bukan semua jumlah itu disebabkan kenaikan gaji kakitangan awam atau tanggungan subsidi seperti yang diumumkan, kerana belanja perbekalan melebihi belanjawan yang diluluskan sebanyak RM1.5 bilion[2].

13.            Dalam keadaan negara berhadapan dengan defisit yang meruncing, sewajarnya kerajaan berhemah dan menunjukkan penjimatan dari proses perolehan yang telus, sebaliknya RM1.5 bilion dibelanjakan melebihi jumlah yang diluluskan.

14.            Malah, jika pola perbelanjaan diperincikan dari tahun 2009 hingga 2013 iaitu sejak YAB Pekan menjadi Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, saya khuatir bahawa keghairahan berbelanja ini sudah menjadi penyakit dan ketagihan:

 RM Juta


2009
2013
Peningkatan
% Peningkatan
Emolumen
42,778
58,621
15,843
37%

Pencen dan ganjaran
10,146
13,597
3,451
34%

Bayaran khidmat hutang
14,222
22,245
8,023
56%

Pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri
4,895
6,276
1,381
28%

Bekalan dan perkhidmatan
26,372
33,659
7,287
28%

Subsidi
20,345
37,612
17,267
85%

Perolehan aset
2,582
1,046
(1,536)
-59%

Bayaran balik dan hapus kira
555
1,109
554
100%

Pemberian kepada badan berkanun
12,024
14,041
2,017
17%

Perbelanjaan lain-lain

23,149

13,712

(9,437)

-41%
15.            Sepanjang tempoh beliau menjadi Menteri Kewangan, yang ketara adalah lonjakan bayaran khidmat hutang sebanyak 56% atau peningkatan  RM8 bilion dalam tempoh lima tahun. Ini bermakna jumlah pinjaman baru (menurut Bank Negara) sejak 2009 hingga 2013 adalah sebanyak RM184 bilion.

16.            Bayaran perbekalan dan perolehan, yang sewajarnya mampu dikawal jika proses perolehan telus dan melalui tender terbuka juga melonjak sebanyak RM7 bilion atau peningkatan kos 28% di bawah pengawasan Menteri Kewangan sekarang.

17.            Jumlah RM15 bilion yang bertambah sejak beliau menjadi Menteri Kewangan, jika dikawal dan dijimatkan sudah tentu dapat menampung beberapa program yang membantu rakyat termasuklah membatalkan PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma.

18.            Rekod mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi yang tiap-tiap tahun tergelincir dari sasaran juga mempunyai kesan yang besar kepada kedudukan kewangan kerajaan persekutuan.

19.            Jika pertumbuhan 6% seperti yang disasarkan sendiri oleh Dato’ Seri Najib dicapai di antara tahun 2010 dan 2013, kesannya kepada hasil negara dari kutipan cukai tambahan dianggarkan seperti berikut[3]:

2010
2011
2012
2013
Saiz ekonomi (diukur dengan KDNK pada harga pembeli[4]), RM juta
         674,946
         709,261
         743,543
         780,983

Pertumbuhan ekonomi sebenar, %
7.2%
5.1%
4.5%
5.0%

Sasaran pertumbuhan ekonomi, %
6.0%
6.0%
6.0%
6.0%

Tambahan hasil negara jika sasaran ekonomi dipenuhi, RM juta

              1,236
              2,965
              4,578

20.            Kegagalan mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi mempunyai kesan besar kepada kedudukan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, tatkala negara berdepan dengan masalah defisit yang meruncing.

21.            Kegagalan memacu pertumbuhan ekonomi berkembang pada kadar 6% setahun bermakna di antara tahun 2011 hingga 2013, jumlah terkumpul hasil negara dari kutipan cukai yang hilang sudah mencecah RM8.8 bilion. Ini adalah tambahan cukai yang boleh dikutip oleh kerajaan sekiranya ekonomi berkembang pada kadar 6%, bukannya sekitar 4% - 5% seperti yang dicatatkan sekarang.

22.            Justeru, pendekatan Pakatan Rakyat untuk mengawal defisit dan mencapai sasaran belanjawan berimbang dalam tempoh penggal pertama pentadbiran Pakatan Rakyat adalah untuk kembali kepada kewarasan berbelanja secara berhemah dan menjana pendapatan negara melalui pertumbuhan ekonomi yang sihat.


Bersambung Ke Bahagian 2

 .





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors