RSS

Teks Perbahasan Belanjawan 2013 Ketua Pembangkang‏ (Bahagian 2)




EKONOMI MALAYSIA DAN DUNIA

PERBANDINGAN NEGARA

23.            Jika potensi ekonomi Malaysia, berasaskan sumber kekayaan dan kepelbagaian masyarakat dan tenaga kerja yang ada, dicapai melalui dasar-dasar yang menjurus kepada pertumbuhan dan kepedulian rakyat, Malaysia sewajarnya berada di depan negara-negara yang kini menjadi contoh kepada dunia.

24.            Malaysia bermula pada garisan yang sama dengan negara-negara seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Malah, Malaysia berada di hadapan berbanding dengan Turki.

25.            Contoh yang baik juga adalah perbandingan bagaimana Korea Selatan terus menjadi jenama dan kuasa ekonomi yang berpengaruh di dunia, sedangkan dalam tahun 1970an Pendapatan Negara Kasar per kapita (gross national income per capita) Malaysia sebanyak US$400 adalah jauh lebih tinggi berbanding Korea Selatan pada jumlah US$270[1] sahaja.

26.            Kelebihan ekonomi ini makin terhakis dan merudum sejak tahun 1980, seperti yang dibuktikan oleh angka-angka perbandingan pendapatan negara kasar per kapita seperti berikut:


1980
1990
2000
2010
Korea Selatan
1,810
6,000
9,910
19,720
Malaysia
1,820
2,370
3,420
7,760
Pendapatan Negara Kasar per kapita (US$)

27.            Justeru, pendekatan ekonomi di bawah pengurusan Barisan Nasional secara jelas telah merosotkan daya saing kita dalam tempoh 30 tahun yang lepas hingga kita jauh ditinggalkan Korea Selatan, walaupun kita bermula pada garis yang sama dalam tahun 1980.

28.            Kini, kita juga berhadapan risiko ditinggalkan pula oleh negara-negara yang sebelum ini berada di belakang kita kerana mereka merancang ekonomi negara mereka dengan berhemah, membanteras rasuah dan membuka peluang sama rata kepada niagawan yang berdaya maju.

29.            Kejayaan Turki di bawah Reccip Tayeb Erdogan contohnya, memberi keyakinan kepada kita bahawa dasar ekonomi dan pentadbiran yang berteraskan keadilan sosial, ketelusan, amanah dan mengiktiraf bakat kebolehan setiap rakyatnya berjaya melonjakka kemakmuran ekonomi negara dan rakyat Turki dalam tempoh yang begitu singkat.

30.            Sebab itu Pakatan Rakyat dari awal lagi telah menegaskan bahawa perubahan dan tambahbaik ekonomi tidak boleh berlaku tanpa adanya reformasi politik dan pentadbiran. Buku Jingga adalah dokumen yang jelas menggariskan bahawa matlamat pertumbuhan ekonomi perlu didokong oleh proses islah politik dan pentadbiran yang menyeluruh, kerana Turki di bawah Reccip Tayeb Erdogan meyakinkan dunia bahawa pembaharuan politik menyuburkan pertumbuhan ekonomi.

31.            Dalam tempoh 10 tahun mengambil alih pentadbiran Turki, tanpa hasil minyak dan gas, Erdogan berjaya menukar ekonomi Turki yang menguncup dalam tahun 2002 dan menjadi a new economic miracle yang dikagumi oleh seluruh dunia:

a.     Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau saiz ekonomi Turki berkembang 3 kali ganda dalam tempoh 9 tahun, dari US$233 bilion (2002) kepada US$773 (2011)

b.    Unjuran pertumbuhan ekonomi 2012 berasaskan angka suku pertama meletakkan angka pertumbuhan melepasi 11% mengatasi negara China atau mana-mana negara maju di dunia

c.     Ekonomi Turki tumbuh di antara 7% hingga 9% secara purata sepanjang pentadbiran beliau, menjadikan ia tempoh pertumbuhan ekonomi paling rancak dalam sejarah negara itu

d.    Turki akan melangsaikan semua baki hutang IMF yang diwarisi oleh beliau menjelang April 2013 berjumlah Euro1 bilion, tempoh pembayaran balik yang singkat memandangkan jumlah hutang yang diwarisi

32.           Beliau juga berdepan dengan kritikan dan cemuhan yang sama ketika mula-mula melaksanakan reformasi ekonominya. Apabila beliau mahu melaksanakan dasar pendidikan percuma kepada seramai mungkin rakyat Turki, beliau dituduh akan memuflis dan membangkrapkan negara.

33.           Sebab itu Pakatan Rakyat juga yakin bahawa masalah ekonomi Malaysia juga boleh diatasi dengan cepat dan cekap, asalkan dasar-dasar yang digubal merombak kepincangan struktur ekonomi sedia ada.

34.           Kegagalan Barisan Nasional menamatkan defisit belanjawan selama 15 tahun berturut-turut sedangkan Malaysia mempunyai hasil minyak menunjukkan ada masalah struktur ekonomi yang diabaikan dan dibiarkan membarah, kerana menyelesaikan kepincangan ekonomi tersebut bermakna menyentuh kroni dan golongan mahakaya berkepentingan.

KEPINCANGAN STRUKTUR EKONOMI 

35.            Kepincangan ekonomi Malaysia yang berpanjangan (baik dari kedudukan defisit yang meruncing, jurang pendapatan keluarga yang makin melebar, gaji yang tidak meningkat dan pertumbuhan ekonomi yang lembap) adalah berpunca dari kegagalan meluruskan struktur ekonomi.

36.            Sebab itu, rakyat harus membedakan di antara belanjawan yang hanya menyenaraikan gula-gula dan pengumuman saguhati tetapi langsung tidak memberi penumpuan kepada persoalan struktur ekonomi.

37.            Keengganan kerajaan berbicara soal kepincangan struktur ekonomi negara kerana kurang tekad politik menyentuh keuntungan kroni dan monopoli syarikat keluarga serta golongan mahakaya yang bersekongkol dengan mereka.

Bersambung Ke Bahagian 3

.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors