RSS

Teks Perbahasan Belanjawan 2013 Ketua Pembangkang‏ (Bahagian 3)




RASUAH & PENYELEWENGAN

35.            Rasuah dan penyelewengan terus menjadi musuh utama ekonomi dan kesejahteraan negara. Keengganan Barisan Nasional mengangkat amalan tata kelola yang baik sahaja yang akan menyelar penyelewengan, pemborosan dan melemahkan daya saing.

36.            Anggaran-anggaran khusus ketirisan oleh pelbagai pihak memberi gambaran bagaimana keberhutangan negara dan rakyat banyak berpunca dari amalan rasuah dan penyelewengan yang tidak dibendung ini:

a.     Anggaran jumlah ketirisan sebanyak RM28 bilion hasil dari contoh-contoh ketirisan dan penyelewengan yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2008. Wakil-wakil Barisan Nasional boleh menafikan ini sekeras-kerasnya, tetapi rakyat boleh menilai apabila seorang tokoh yang rapat dengan pemerintah dimaafkan hutang berjumlah RM580 juta, atau wang projek ternakan lembu RM250 juta diselewengkan untuk membeli kondominium mewah, atau kos perolehan di jabatan-jabatan kerajaan berkali-kali ganda lebih mahal dari harga sebenarnya – jumlahkan semua ini setiap tahun dan angka RM28 bilion seperti yang dianggarkan bukanlah angka yang jauh menyimpang.

b.    Anggaran Transparency International bahawa ketirisan setiap tahun kerana tiadanya amalan telus melalui proses tender terbuka mencecah RM40 bilion setiap tahun

c.     Belanja perolehan di bawah kawalan dan pengaruh kerajaan, meliputi belanja kerajaan persekutuan, negeri, agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dijangka mencecah RM150 bilion setiap tahun. Pengalaman Pakatan Rakyat di Selangor menunjukkan bahawa pentadbiran di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim berjaya mengurangkan kos sebanyak 24% secara purata dari kontrak-kontrak perolehan, yang membayangkan bahawa selama ini kos dinaikkan sehingga melepasi 20%. Sebagai contoh, pinjamatan dari tender terbuka ialah 24% atau RM105.8 juta iaitu dari anggaran jabatan sebanyak RM447 juta berbanding nilai projek sebanyak RM341 juta. Manakala penjimatan bagi kos operasi dari pengambilalihan Alam Flora adalah RM 81 juta.

d.    Di Pulau Pinang, pentadbiran Pakatan Rakyat telah menyelamatkan Majlis Perbandaran Seberang Prai daripada mengalami kebangkrapan pada 2008 daripada deficit sebanyak RM230 juta selama lapan tahun di bawah Barisan Nasional kepada lebihan RM41 juta selama tiga tahun di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Selain itu Pulau Pinang merupakan negeri yang berjaya mencatat pengurangan hutang terbesar di Malaysia daripada RM630 juta pada 2008 kepada RM30 juta pada tahun 2011.

e.     Di negeri Kedah pula, hasil balak meningkat daripada RM9 juta sebelum 2008 kepada RM80 juta pada tahun 2011. Manakala Kelantan, walaupun disisih dari arus pembangunan perdana namun masih berjaya menurukan kadar kemiskinan iaitu sebanyak 17.8% pada 2002 kepada 4.8% pada tahun 2009.

f.       Jika penjimatan 20% yang sama dapat dilaksanakan ke atas perbelanjaan perolehan yang dikawal kerajaan, ini bermakna setiap tahun kerajaan mempunyai lebihan RM30 bilion untuk menampung program-program pro-rakyat.


PENDAPATAN ISI RUMAH YANG RENDAH

37.       Pendapatan isi rumah rakyat kekal rendah dan analisa strata pendapatan isi rumah rakyat menunjukkan golongan yang kaya menjadi semakin kaya, sementara yang miskin semakin miskin.

38.       Ini bermakna pertumbuhan ekonomi dan segala macam pengumuman projek yang dibuat oleh Barisan Nasional tidak mempunyai kesan kepada pendapatan rakyat terbanyak. Realiti pendapatan isi rumah rakyat terbanyak adalah berbeza dan terpisah dari gambaran ekonomi yang diberikan Barisan Nasional.

39.       Berdasarkan Kajiselidik Pendapatan Isirumah dan Keperluan Asas 2009 (HISBAS 2009), 44.2% dari isi rumah di Malaysia mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM2,500 sebulan.

40.       Kajiselidik yang sama menunjukkan bahawa golongan 20% terkaya di Malaysia membawa pulang 50% dari pendapatan dan nilai ekonomi yang dijana, sedangkan golongan 40% termiskin pula hanya berkongsi 14% dari kek ekonomi di negara ini.

41.       Keghairahan mengejar angka pertumbuhan ekonomi semata-mata tanpa ada reformasi dasar yang khusus untuk merapatkan jurang dan memastikan agihan yang lebih sekata makin menjadi-jadi di dalam perancangan ekonomi ETP yang dibawa Perdana Menteri.

42.       Analisa dan perbandingan nilai ekonomi yang dijana oleh projek-projek ETP berbanding dengan bayaran gaji kepada pekerja menunjukkan bahawa menjelang 2020, pekerja akan dibayar gaji yang lebih rendah secara relatif kepada keuntungan syarikat. Jika sekarang nisbah gaji kepada keuntungan syarikat adalah 28%, di bawah ETP angka ini dijangka jatuh ke paras 21%.

KEPINCANGAN STRUKTUR EKONOMI
TIADA DAYA SAING

46.            Ekonomi negara dikawal dan dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar yang dimiliki negara atau rapat dengan kroni atau golongan mahakaya berkepentingan. Tumpuan kerajaan melalui insentif dan dasar banyak diberikan kepada golongan ini, sedangkan daya saing sebenar ekonomi sepatutnya dibina dan dipupuk di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

SISTEM PENYAMPAIAN YANG TIDAK BAIK DAN TIRIS

47.            Ketirisan terus berlaku menyebabkan bantuan atau insentif yang sepatutnya sampai kepada golongan atau kumpulan sasaran dicuri di tengah jalan. Jika RM5,000 diperuntukkan sebagai bantuan permulaan perniagaan, hanya RM2,000 akhirnya sampai yang selebihnya disamun oleh golongan atas angin yang rapat dengan pemerintah.

48.            Kebimbangan mengenai ketirisan ini turut disuarakan di dalam Malaysia Economic Monitor April 2012 yang dilaporkan kepada EPU, mukasurat 29 bahawa berdasarkan maklumat dari Kajiselidik Isirumah 2009, hanya 27% dari golongan 10% termiskin di negara ini yang mendapat bantuan dari kerajaan, walaupun kononnya kerajaan telah mengadakan pelbagai program kebajikan untuk membantu mereka.

49.            Hakikat bahawa hanya 27% dari golongan yang paling wajar dibantu dan termiskin mendapat manfaat dari program kerajaan membayangkan ketirisan yang berterusan.

HUBUNGAN RAPAT PERNIAGAAN BESAR DAN KERAJAAN YANG MENGHALANG TUMBUHNYA GOLONGAN USAHAWAN

50.              Hubungan rapat di antara kroni, golongan mahakaya dan berkepentingan dengan kerajaan menyebabkan hanya mereka diberi peluang untuk memainkan peranan besar.

51.              Pembolotan ekonomi seperti ini memberi impak buruk kepada percambahan usahawan baru yang tawar hati dan tidak mungkin dapat bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang mempunyai talian terus kepada pimpinan tertinggi negara.

PERGANTUNGAN KEPADA PROJEK-PROJEK BESAR YANG DIBIAYAI KERAJAAN UNTUK MEMACU EKONOMI

52.             Walaupun kerajaan mengumumkan angka-angka yang sekilas pandang nampak besar dan menggambarkan pelaburan swasta yang besar, hakikatnya kebanyakan projek ini melibatkan campur tangan dan suntikan dana atau insentif oleh kerajaan.

53.             Ini membayangkan bahawa Barisan Nasional masih menggunakan model pergantungan kepada projek-projek mega untuk mencatat angka pertumbuhan ekonomi yang boleh diwar-warkan kepada rakyat, sedangkan tindakan itu memanjangkan kelembapan pelaburan swasta yang sangat-sangat diperlukan.

54.             Analisa yang baik untuk membuktikan ada jurang di antara pengumuman pelaburan yang dibuat dan jumlah pelaburan sebenar adalah perbandingan pelaburan-pelaburan di koridor-koridor ekonomi yang diwujudkan.

55.             Misalnya, sehingga akhir Jun 2012, walaupun Barisan Nasional telah mengumumkan pelaburan sebanyak RM112 bilion di Koridor Pembangunan Sabah (SDC), jumlah sebenar yang masuk dan diterjemahkan hanyalah RM12 bilion.

KONSESI DAN HEROTAN DALAM EKONOMI

56.             Kewujudan konsesi dan perjanjian yang berat sebelah menindas rakyat yang terpaksa menanggung kos berganda.

57.             Mulanya, rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang melambung kerana konsesi-konsesi ini berbentuk monopoli dan mengherot harga sebenar di dalam pasaran.

58.             Kemudian, rakyat juga terpaksa menanggung kos yang dibayar kerajaan yang memberi pelbagai bantuan kepada konsesi yang dianugerahkan kepada kroni dan golongan mahakaya ini, termasuklah pampasan, subsidi korporat dan lain-lain.

AGIHAN EKONOMI YANG TIDAK SEKATA DI ANTARA NEGERI DAN KUMPULAN MASYARAKAT

59.             Sabah dan Sarawak masih terus dipinggirkan. Kemudahan dan jaringan infrastruktur di Sabah dan Sarawak adalah ketinggalan berbanding di Semenanjung yang akhirnya membantutkan pertumbuhan ekonomi.
60.             Akhirnya, mutu dan keberkesanan sesebuah belanjawan atau kebijakan ekonomi yang dibawa dinilai dari aspek keupayaannya menangani dan menyelesaikan masalah struktur ekonomi yang digariskan.

61.             Belanjawan 2013 yang diumumkan minggu lepas mengelak dari menyentuh persoalan-persoalan pokok sebegini dan dipenuhi dengan retorik dan pengumuman politik.

                                                TAMAT



.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors