Washington - Setelah melontarkan kritikan kepada
Presiden Barack Obama, calon Presiden Amerika dari
Parti Republik Mitt Romney berkata, dia sudah tidak sabar untuk
berdebat dalam Debat Pertama antara Obama dan Romney dijadualkan
berlangsung 3 Oktober nanti. ~ AFP
Romney terus kecam dasar Obama
BELMONT, Massachusetts 30 Sept. - Calon Presiden Amerika Syarikat
(AS) bagi Parti Republikan, Mitt Romney semalam membuat 'serangan'
terbaru ke atas polisi luar Presiden Barack Obama yang disifatkannya
berbentuk 'pasif dan penafian' sehingga mencetuskan huru-hara di Asia
Barat.
Romney berkata, pemberontakan dan keganasan 'dihumban di jalan-jalan
raya' dan penilaian yang dibuat oleh Presiden AS berhubung
kejadian-kejadian yang menggemparkan itu secara kasual mendedahkan
bahawa Obama tidak memahami cabaran meluas yang dihadapi di Asia Barat.
Ketika menyampaikan ucapan mingguan di stesen radio, Romney berkata,
kemenangan Obama pada pilihan raya Presiden AS 2008 bukan berdasarkan
rekod kejayaannya, tetapi berdasarkan hujah-hujahnya yang membawa
pendekatan lebih merendah diri akan membolehkan AS lebih dihormati oleh
masyarakat dunia selain meningkatkan ekonomi negara.
''Empat tahun kemudian, setiap hujah-hujahnya itu didapati salah,''
katanya yang memetik keganasan yang berlaku di Asia Barat termasuk
pembunuhan empat rakyat AS termasuk Duta AS ke Libya.
Beliau berkata, teori Obama bahawa pengurangan kepimpinan AS akan
mengurangkan kemarahan terhadap AS dan meningkatkan sokongan kepada
negara ini, bukan sahaja gagal tetapi menyebabkan lebih banyak
huru-hara.
''Polisi luar Obama adalah berbentuk pasif dan penafian. Ia
mendedahkan dan meletakkan AS, rakan-rakan dan sekutu kita kepada
ancaman,'' katanya.
Ucapan tersebut mengulangi kempen serangan oleh Parti Republikan
terhadap kerajaan dalam menangani pemberontakan, sehari selepas Romney
menyatakan keadaan masih belum 'matang' untuk menghakimi cara Obama
mengendali perkembangan di Libya.
Polisi luar AS merupakan satu agenda utama, empat hari sebelum debat pertama pilihan raya Presiden AS pada 3 Oktober ini. -Utusan Online
Najib satu-satunya Pemimpin Dunia yang takut BERDEBAT!
.
.