KUALA LUMPUR -
Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang pulang ke negara ini
Ahad lalu dengan disambut oleh beberapa pemimpin pembangkang gagal
mengemukakan sebarang bukti berkaitan dakwaan penglibatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kematian wanita Mongolia,
Altantuya Shaariibuu.
Sebaliknya, `ceramah yang disampaikan Balasubramaniam menimbulkan
lebih banyak persoalan kepada hadirin yang berada di Dewan Perhimpunan
Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di ibu kota malam ini serta para
pengikut di Internet serta pengguna twitter di `hashtag #tanyabala.
Apa yang jelas, penyiasat persendirian yang pernah membuat akuan
bersumpah (SD) mendakwa Najib terlibat dalam kes itu, tetapi kemudiannya
menarik balik tuduhan berkenaan dalam SD kedua, mengakui membenci
kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dia berumur 14 tahun.
Walaupun berucap dan menjawab soalan yang dikemukakan oleh moderator,
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin
selama kira-kira satu jam setengah, Balasubramaniam dilihat seolah-olah
hanya melontarkan tohmahan dengan `bermodalkan air liur.
Dengan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang kurang baik,
penyiasat persendirian itu juga dilihat gugup apabila terhenti
menyampaikan ucapan dan beberapa kali berkata: Minta maaf, sudah lama
(kes ini) jadi saya lupa."
Sebagai contoh, dia mendakwa pernah mengambil gambar Altantuya
sewaktu wanita itu berada di hadapan Bangunan Getah Asli di ibu kota
pada sekitar 2006 sewaktu dia berkhidmat dengan penganalisis politik,
Abdul Razak Baginda namun tidak pula menunjukkan gambar tersebut.
Penyiasat persendirian yang pernah lari ke luar negara selama
kira-kira tiga tahun selepas membuat SD kedua berkenaan turut mendakwa
pernah membuat rakaman perbualannya dengan peniaga permaidani, Deepak
Jaikishnan berkenaan tawaran Deepak sebanyak RM100,000 bagi menarik
balik SD pertama, namun rekod tersebut tidak diperdengar kepada hadirin.
Selain itu, Balasubramaniam juga tidak menjawab pelbagai soalan yang
dikemukakan para pengikut twitter di #tanyabala berkenaan secara terus
tetapi Badrul Hisham bertindak menyaring serta memilih soalan yang perlu
dijawab penyiasat persendirian tersebut.
Salah seorang pengguna twitter @lisajariffin turut mencabar Badrul
Hisham yang menggunakan nama @chegubard supaya bekas calon Ketua
Angkatan Muda Keadilan itu bertanya kesemua soalan yang dikemukakannya
di twitter bagi membuktikan keikhlasan mereka dalam pendedahan kes
tersebut.
Balasubramaniam serta Badrul Hisham juga tidak membuka ruang kepada
hadirin untuk bertanya soalan dan kemudiannya penyiasat persendirian itu
`melarikan diri ke kereta yang sedia menunggunya bagi mengelakkan diri
daripada ditemui para pemberita selepas selesai ceramah. ~ UTUSAN
Elok rasanya kita terbitkan semula
Akuan Bersumpah (SD) pertama yang telah diikrarkan oleh PI
Balasubramaniam ini untuk mengembalikan semula ingatan kita terhadap isu
yang kembali menjadi panas ini.
Kes Altantuya : Terjemahan Akuan Bersumpah PI Bala
Saya, Balasubramaniam a/l Perumal …. dengan sesungguhnya mengaku seperti berikut ;
1. Saya pernah berkhidmat sebagai anggota Polis dengan Polis Di Raja
Malaysia, menyertai pasukan ini sebagai seorang Konstabel dalam tahun
1981. Kemudian saya dinaikkan pangkat ke Lans Koperal dan akhirnya
meletakkan jawatan daripada pasukan Polis dalam tahun 1988 sewaktu
bersama Special Branch.
2. Saya bekerja sebagai Penyiasat Persendirian sebaik saja meninggalkan pasukan Polis.
3. Antara bulan Jun atau Julai 2006, saya telah diambil bekerja
selama 10 hari oleh Abdul Razak Baginda untuk mengawasi beliau di
pejabatnya yang terletak di Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang antara jam
8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari bekerja ekoran gangguan yang
dialaminya dari pihak ketiga.
4. Saya berhenti daripada tugas tersebut selepas 2 ½ hari ekoran saya tidak menerima sebarang arahan yang sepatutnya.
5. Walaubagaimanapun saya telah diambil semula oleh Abdul Razak
Baginda pada 5 Oktober 2006 ekoran gangguan panggilan telefon daripada
seorang lelaki Cina yang mengenalkan diri sebagai ASP Tan yang
mengugutnya supaya menjelaskan hutang. Kemudian saya mengenalpasti
lelaki tersebut dikenali sebagai Ang, seorang penyiasat persendirian
yang diupah oleh seorang wanita Mongolia bernama Altantuya Shaaribu.
6. Abdul Razak Baginda risau berhubung individu bernama Altantuya
Shaaribuu, wanita Mongolia di sebalik ugutan ini dan bimbang wanita ini
akan sampai ke Malaysia untuk menghubunginya.
7. Abdul Razak Baginda memberitahu saya bahawa dia bimbang bahawa
Altantuya ada ‘kuasa’ yang diberikan oleh bomoh Mongolia dan menyebabkan
dia akan ‘tunduk’ kepada Altantuya.
8. Bila saya bertanya berkenaan wanita Mongolia itu, Abdul Razak
Baginda beritahu saya bahawa wanita itu adalah kawannya yang telah
diperkenalkan kepadanya oleh VIP dan meminta beliau membantu dari segi
kewangan.
9. Saya menasihatkannya agar membuat laporan Polis berhubung ugutan
yang diterima melalui panggilan telefon daripada lelaki Cina bergelar
ASP Tan tetapi dia menolak untuk berbuat demikian dan memberitahu saya
ianya melibatkan individu berprofil tinggi.
10. Abdul Razak Baginda seterusnya beritahu saya bahawa Altantuya
seorang penipu besar dan bijak mempengaruhi orang. Wanita ini juga
didakwanya sebagai ‘mata duitan’ dan dia ada membiayai harta milik
Altantuya di Mongolia.
11. Kemudian Abdul Razak Baginda memberi saya dengar beberapa mesej
suara di dalam telefon bimbit yang meminta dia membayar apa yang
sepatutnya, jika tidak dia akan dipukul dan anak perempuannya dimalukan.
12. Oleh kerana itu, saya dicadangkan untuk melindungi anak perempuannya Rowena dengan sebaik mungkin.
13. Pada 9 Oktober 2006, saya menerima panggilan telefon dari Abdul
Razak Baginda kira-kira jam 9.30 pagi dan saya diberitahu bahawa
Altantuya berada di pejabatnya dan meminta saya ke sana segera. Oleh
kerana pada waktu itu saya sedang dalam tugas pengawasan, saya
menghantar Suras ke pejabat Abdul Razak Baginda dan saya akan turut
serta kemudian. Suras bertindak mengawal situasi dan dia meminta secara
sopan agar Altantuya dan dua orang rakannya meninggalkan premis
tersebut. Bagaimanapun Altantuya meninggalkan nota yang ditulis dalam
Bahasa Inggeris di atas kertas berlabel Hotel Malaya, meminta Abdul
Razak Baginda menghubunginya melalui nombor telefon bimbit (nombor
diberi) dan menulis sekali nombor bilik hotelnya dengan jelas.
14. Altantuya telah memperkenalkan dirinya kepada Suras sebagai
‘Aminah’ dan memaklumkan kepada Suras tujuan dia ke sana adalah untuk
menemui teman lelakinya.
15. Tiga orang wanita Mongolia ini bagaimanapun telah datang semula
ke pejabat Abdul Razak Baginda yang terletak di Bangunan Getah Asli,
Jalan Ampang pada keesokan harinya kira-kira jam 12.00 tengahari. Mereka
tidak memasuki ke dalam bangunan itu tetapi sekali lagi memberitahu
Suras yang mereka mahu menemui teman lelaki Aminah, Abdul Razak Baginda.
16. Pada 11 Oktober 2006, Aminah sendiri datang semula ke pejabat
Abdul Razak Baginda dan memberi kepada saya sekeping nota untuk
diserahkan kepada Abdul Razak Baginda, saya serahkan. Abdul Razak
Baginda menunjukkan nota tersebut kepada saya yang pada asasnya
memintanya menghubungi wanita Mongolia itu dengan segera.
17. Saya mencadangkan kepada Abdul Razak Baginda bahawa adalah lebih
baik diatur agar Altantuya ditahan jika masih terus bertindak
mengganggunya, tetapi dia menolak kerana merasakan wanita itu akan
pulang segera ke Mongolia sebaik saja menerima wang yang diminta.
18. Dalam masa yang sama, saya mengaturkan tugas untuk Suras di Hotel
Malaya bagi mengawasi setiap pergerakan ketiga-tiga wanita Mongolia
itu, tetapi mereka mengenalinya. Rupanya mereka menjadi kawan Suras
selepas itu dan Suras mengakhirinya selepas meluangkan masa beberapa
malam di bilik hotel mereka.
19. Bila Abdul Razak Baginda mendapat tahu yang Suras semakin rapat
dengan Aminah dia meminta saya keluarkan Suras daripada Hotel Malaya.
20. Pada 14 Oktober 2006, Aminah pergi ke rumah Abdul Razak Baginda
di Damansara Heights bila saya tiada di sana. Abdul Razak Baginda
menelefon telefon bimbit saya dan memaklumkan kepada saya tentang
kehadiran Altantuya, saya terus bergegas kembali ke rumahnya. Bila tiba,
saya dengar Aminah menjerit “Razak, haram jadah, keluar dari rumah”.
Saya cuba menenangkannya tetapi gagal, jadi saya telefon Polis dan
mereka sampai dengan dua buah kereta peronda. Saya menjelaskan situasi
sebenar kepada anggota Polis, kemudian membawanya pergi dari situ menuju
ke Balai Polis Brickfields.
21. Saya mengikut kereta peronda tersebut menuju Balai Polis
Brickfields dengan sebuah teksi. Saya telefon Abdul Razak Baginda dan
peguamnya Dirren meminta mereka buat repot Polis tetapi mereka enggan
berbuat demikian.
22. Semasa berada di Balai Polis Brickfields, penyiasat persendirian
Aminah, Mr Ang tiba dan kami berbincang bersama. Saya diberitahu untuk
menyampaikan permintaan kepada Abdul Razak Baginda berupa wang sebanyak
USD 500,000 dan tiga tiket penerbangan ke Mongolia, yaitu komisen yang
belum dibayar kepada Altantuya hasil daripada perjanjian di Paris.
23. Sebaik Aminah ditenangkan pada ketika ini, seorang polis wanita
di Balai Polis Brickfields menasihatkan saya agar pulang dan selesaikan
masalah ini secara berhemah.
24. Saya memberitahu Abdul Razak Baginda tentang permintaan yang
dibuat Aminah dan saya beritahunya yang saya kecewa kerana tiada yang
mahu mendengar pandangan saya supaya membuat laporan Polis. Kami
berbincang panjang tentang situasi itu bila saya menyuarakan hasrat
untuk keluar dari tugasan ini.
25. Sepanjang perbincangan tersebut dan percubaan untuk memujuk saya
agar terus bekerja untuknya, Abdul Razak Baginda menjelaskan kepada saya
tentang perkara berikut ;
i) Dia telah diperkenalkan dengan Altantuya oleh Najib Razak dalam satu pameran berlian di Singapura.
ii) Najib Razak beritahu Abdul Razak Baginda yang dia ada hubungan
seks dengan Altantuya dan Altantuya tiada masalah melakukan seks melalui
dubur.
iii) Najib Razak mahukan Abdul Razak Baginda menjaga Aminah kerana
dia tidak mahu wanita itu memalukannya semenjak menjadi Timbalan Perdana
Menteri sekarang.
iv) Najib Razak, Abdul Razak Baginda dan Aminah pernah makan malam bersama di Paris.
v) Aminah mahukan duit daripadanya justeru merasakan dia berhak ke
atas komisen USD 500,000 kerana turut membantu dalam perjanjian
pembelian kapal selam di Paris.
26. Pada 19 Oktober 2006, saya tiba di rumah Abdul Razak Baginda di
Damansara Heights untuk bertugas waktu malam. Seperti biasa saya
letakkan kereta di luar. Saya nampak sebuah teksi Proton Perdana kuning
lalu dengan tiga penumpang wanita, seorang daripadanya ialah Aminah.
Teksi itu membuat ‘pusingan U’ dan berhenti di hadapan rumah lalu
penumpang wanita menurunkan cermin tingkap dan mengucapkan ‘Happy
Deepavali’ kepada saya. Kemudian teksi itu terus beredar.
27. Lebih kurang 20 minit kemudian teksi tadi datang semula bersama
dengan Aminah sahaja di dalam. Aminah keluar dari teksi dan berjalan ke
arah saya dan bercakap dengan saya. Saya hantar SMS pada Abdul Razak
Baginda dan memaklumkan “Aminah ada di sini”. Saya terima SMS daripada
Razak mengarahkan saya “lengahkan dia sehingga orang saya sampai”.
28. Dalam perbualan saya dengan Aminah, dia beritahu saya seperti berikut ;
i) bahawa dia bertemu Razak di Singapura bersama Najib Razak.
ii) bahawa dia juga bertemu Abdul Razak Baginda dan Najib Razak sewaktu makan malam di Paris.
iii)bahawa dia dijanjikan sejumlah USD 500,000 sebagai komisen kerana membantu dalam perjanjian pembelian kapal selam di Paris.
iv) bahawa Abdul Razak Baginda ada membelikannya sebuah rumah di
Mongolia tetapi abangnya terpaksa membiayai semula rumah tersebut dan
dia sangat memerlukan wang untuk menebus balik.
v) bahawa ibunya sedang sakit dan dia perlukan wang untuk membiayai kos rawatan.
vi) bahawa Abdul Razak Baginda pernah mengahwininya di Korea
sebagaimana ibunya berbangsa Korea manakala ayahnya berbangsa campuran
Mongolia/Cina.
vii)bahawa jika saya tidak membenarkannya untuk bertemu Abdul Razak
Baginda, adakah saya boleh aturkan untuknya berjumpa dengan Najib Razak.
29. Selepas berbual dengan Aminah lebih kurang 15 minit, sebuah
Proton Aeroback merah sampai dengan seorang wanita dan dua lelaki. Saya
kenal wanita itu sebagai Lans Koperal Rohaniza dan dua lelaki itu ialah
Azilah Hadri dan Sirul Azhar. Mereka semua berpakaian biasa. Azilah
berjalan ke arah saya manakala dua lagi menunggu di kereta.
30. Azilah bertanya kepada saya samada wanita itu Aminah dan saya
kata “Ya”. Kemudian dia berjalan sambil membuat beberapa panggilan
telefon melalui telefon bimbitnya. Selepas 10 minit sebuah kenderaan,
Proton Saga berwarna biru, dipandu seorang lelaki Melayu lalu secara
perlahan. Cermin pemandunya sedia terbuka dan pemandu tersebut hanya
memerhatikan kami.
31. Kemudian Azilah beritahu saya bahawa dia akan membawa Aminah
pergi. Saya beritahu Aminah yang mereka akan menahannya. Kemudian dua
orang lagi keluar dari kereta dan bertukar tempat duduk, oleh itu Lans
Koperal Rohaniza dan Aminah di belakang manakala dua lelaki di hadapan.
Mereka beredar dari situ dan itulah kali terakhir saya menemui Aminah.
32. Abdul Razak Baginda tiada di rumahnya sewaktu semuanya ini berlaku.
33. Selepas 19 Oktober 2006, saya menyambung tugas untuk Abdul Razak
Baginda di rumahnya di Damansara Heights dari jam 7.00 petang hingga jam
8.00 keesokan paginya, berikutan mesej ugutan yang diterimanya dari
seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Amy’ yang juga merupakan sepupu
‘Aminah’ di Mongolia.
34. Pada malam 20 Oktober 2006, kedua-dua orang rakan Aminah datang
ke rumah Abdul Razak Baginda dan bertanya di mana Aminah berada. Saya
beritahu mereka bahawa Aminah telah ditangkap malam semalam.
35. Beberapa malam berikutnya, dua wanita Mongolia itu, Mr. Ang dan
seorang lagi wanita Mongolia yang dikenali sebagai Amy datang semula ke
rumah Abdul Razak Baginda untuk mencari Altantuya yang dipercayai sedang
dikurung di dalam rumah.
36. Bila kekecohan mula berlaku, lalu saya menghubungi Polis yang
tiba seketika kemudian dengan kereta peronda. Sebuah lagi kereta peronda
sampai kemudian bersama dengan pegawai penyiasat dari Balai Polis Dang
Wangi yang bertanggungjawab terhadap laporan kehilangan orang yang
dibuat oleh salah seorang wanita Mongolia, saya percaya ianya Amy.
37. Saya menghubungi Abdul Razak Baginda yang sedang berada di rumah
dan beritahunya tentang apa yang sedang berlaku di hadapan pintu gate
rumahnya. Kemudian dia menghubungi DSP Musa Safri dan menghubungi saya
semula memberitahu bahawa DSP Musa Safri akan menelefon telefon bimbit
saya dan saya akan menyerahkan telefon bimbit itu kepada Inspektor
daripada Balai Polis Dang Wangi.
38. Kemudian saya menerima panggilan telefon dari DSP Musa Safri dan
terus saya serahkan telefon bimbit saya kepada Inspektor Dang Wangi itu.
Selepas perbualan mereka sepanjang 3 – 4 minit dia beritahu wanita
Mongolia itu supaya beredar dan datang untuk berjumpa dengannya pada
hari berikutnya.
39. Pada atau kira-kira 24 Oktober 2006, Abdul Razak Baginda
mengarahkan saya untuk menemaninya pergi ke Balai Polis Brickfields
sebagaimana beliau dinasihatkan untuk membuat laporan polis berhubung
dengan gangguan yang diterimanya daripada wanita Mongolia ini.
40. Sebelum ini, Amy ada menghantar SMS kepada saya memaklumkan dia
pergi ke Thailand untuk membuat repot ke Konsulat Mongolia berhubung
kehilangan Aminah. Rupanya dia juga menghantar SMS yang sama pada Abdul
Razak Baginda. Inilah sebabnya mengapa Razak beritahu saya bahawa dia
dinasihatkan agar membuat laporan Polis.
41. Abdul Razak Baginda beritahu saya yang DSP Musa Safri telah
memperkenalkannya dengan seorang bernama DSP Idris, ketua jabatan
jenayah, Balai Polis Brickfields, dan DSP Idris merujukkan dia kepada
ASP Tonny.
42. Bila Abdul Razak Baginda membuat laporan Polis di Balai Polis
Brickfields, di hadapan ASP Tonny, dia diminta membuat kenyataan tetapi
dia menolak seperti yang dia kata bahawa dia berada di luar negara. Dia
bersetuju bagaimanapun berjanji akan menyediakan kenyataan itu dan
menyerahkan ‘thumbdrive’ kepada ASP Tonny. Saya tahu ini tidak dilakukan
sebagaimana ASP Tonny beritahu saya.
43. Bagaimanapun hari berikutnya ASP Tonny meminta saya pula menyediakan kenyataan dan saya lakukan.
44. Saya berhenti kerja untuk Abdul Razak Baginda pada 26 Oktober
2006 yaitu pada hari yang sama dia meninggalkan negara pergi ke Hong
Kong.
45. Pada pertengahan November 2006, saya menerima panggilan telefon
daripada ASP Tonny dari IPK Jalan Hang Tuah meminta saya berjumpa
dengannya berhubung kes Aminah. Bila saya sampai di sana serta-merta
saya ditahan di bawah Seksyen 506 Kanun Acara Jenayah kerana mengugut.
46. Saya ditempatkan di dalam lokap dan direman selama 5 hari. Pada hari ketiga, saya dibebaskan atas jaminan Polis.
47. Pada penghujung November 2006, jabatan D9 IPK menghantar seorang
detektif ke rumah saya untuk mengiringi saya ke IPK Jalan Hang Tuah.
Bila sampai, saya diberitahu bahawa saya ditahan di bawah Seksyen 302
Kanun Acara Jenayah kerana membunuh. Saya dilokap dan direman selama 7
hari.
48. Saya dibawa ke Bukit Aman dan di sana saya disoal-siasat
berhubung SMS yang saya terima daripada Razak Baginda pada 19 Oktober
2006 yang bertulis “lengahkan dia sehingga orang saya sampai”. Mereka
rupanya mendapat mesej ini daripada telefon bimbit Abdul Razak Baginda.
49. Kemudian mereka merekodkan semua kenyataan saya dari jam 8.00
pagi sehingga 6.00 petang setiap hari selama 7 hari berturut-turut. Saya
beritahu mereka semua yang saya tahu termasuklah segala apa yang Razak
Baginda dan Aminah beritahu saya tentang hubungan mereka dengan Najib
Razak tetapi bila saya datang untuk tandatangan kenyataan saya, semua
butiran terperinci dibuang.
50. Saya memberi bukti dalam perbicaraan Azilah, Sirul dan Abdul
Razak Baginda di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Pendakwa tidak bertanya
sebarang soalan kepada saya tentang hubungan Aminah dengan Najib Razak
atau tentang panggilan telefon yang saya terima dari DSP Musa Safri,
yang dipercayai sebagai ADC kepada Najib Razak dan/atau isterinya.
51. Pada hari Abdul Razak Baginda ditahan, saya bersama dia di
pejabat peguamnya pada jam 6.30 pagi. Abdul Razak Baginda memaklumkan
kepada kami bahawa dia telah menghantar mesej kepada Najib pada petang
sebelumnya untuk menyatakan bahawa dia tidak percaya bahawa dia akan
ditahan, tetapi tidak menerima sebarang respons.
52. Ringkasnya selepas itu, kira-kira jam 7.30 pagi, Abdul Razak
Baginda menerima SMS daripada Najib Razak dan menunjukkannya kepada saya
dan peguamnya. Mesej ini dibaca seperti berikut : “Saya akan berjumpa
KPN pada jam 11.00 pagi ini… segala masalah akan selesai… tenanglah”.
53. Saya difahamkan bahawa Abdul Razak Baginda telah ditahan pada
pagi yang sama di pejabatnya yang terletak di Bangunan Getah Asli, Jalan
Ampang.
54. Tujuan Pengakuan Bersumpah ini adalah untuk ;
i) Menyatakan kekecewaan saya terhadap mutu siasatan yang dijalankan
oleh pihak berkuasa dalam kes yang melibatkan pembunuhan Altantuya
Shaaribuu.
ii) Mendedahkan maklumat dari sumber yang kukuh menunjukkan memang
wujud individu lain selain tiga tertuduh yang mesti memainkan peranan
dalam pembunuhan Altantuya Shaaribuu.
iii)Merayu kepada pihak berkuasa agar membuka semula penyiasatan
mereka dalam kes ini segera dan dengan itu boleh jadi sebarang bukti
baru diajukan ke mahkamah terlebih dahulu di penghujung pendakwaan kes.
iv) Berdasarkan fakta dan pengalaman saya pernah bertugas dalam Polis
Di Raja Malaysia selama 17 tahun, sesungguhnya saya yakin tiada pegawai
Polis yang akan menembak seseorang di kepala dan meletupkan badan
mereka tanpa menerima arahan khusus daripada pihak atasan mereka
terlebih dahulu.
v) Menyatakan kebimbangan saya mengapa pihak pembela tidak dipanggil
dalam perbicaraan pembunuhan yang dimaksudkan, tertuduh Azilah dan Sirul
tidak perlu bersumpah dan bersaksi sebagaimana arahan yang diterima dan
daripada siapa mereka berdua menerima arahan.
55. Dan saya membuat pengakuan ini dengan tenang dan teliti serta
percaya ianya adalah benar dan dengan niat baik sebagaimana peruntukan
dalam Akta 1960 Akuan Bersumpah.
Balasubramaniam a/l Perumal
1 Julai 2008
.