Saya
mengucapkan jutaan terima kasih kepada kakitangan ibu pejabat di Menara
Boustead yang memberikan sepenuh kerjasama kepada saya sebagai pemegang
saham minoriti Boustead Holdings Berhad.
Saya berkesempatan
meneliti dua perjanjian yang telah ditandatangani di antara Bakti Wira
Sdn Bhd (BWSB), sebuah anak syarikat Boustead Holdings Berhad dan secara
langsung dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan dua
syarikat berikut:
1. Astacanggih Sdn Bhd (ACSB) yang dimiliki dan dikuasai oleh Deepak Jaikishan
2. Awan Megah Sdn Bhd (AMSB) yang dimiliki dan dikuasai oleh Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor
Dua perjanjian yang dipaparkan untuk semakan pemegang saham adalah:
1. Perjanjian Membangunkan 3 Bidang Tanah di antara BWSB, ACSB dan AMSB (Perjanjian Pertama)
2. Perjanjian Membeli Saham yang melibatkan BWSB dan pemegang saham ACSB (Perjanjian Kedua)
Saya menumpukan perhatian kepada bahagian-bahagian perjanjian yang
memberi maklumat mengenai kepentingan kesemua individu yang terbabit
serta peruntukan-peruntukan yang membolehkan perjanjian ini terbatal.
Ada beberapa klausa utama yang pada pandangan saya, telah membatalkan
Perjanjian Pertama secara automatik kerana ketidakpatuhan syarat-syarat
di pihak AMSB. Perkara ini akan dibawa ke perbincangan Biro Politik
KEADILAN petang ini untuk mendapat pandangan pakar guaman parti dan
Kerajaan Negeri Selangor. Dalam masa terdekat, saya akan mengumumkan
tindakan selanjutnya sama ada dari segi undang-undang atau di bawah
pentadbiran Kerajaan Negeri yang akan membatalkan Perjanjian Pertama
serta-merta.
Ini matlamat utama KEADILAN agar urusniaga
melibatkan RM130 juta dapat dihentikan dan menyelamatkan wang pencen
angkatan tentera.
Namun, saya benar-benar terkejut dengan
beberapa urusniaga yang sebelum ini disembunyikan dari pengetahuan umum
dan pemegang saham yang lain kerana tidak difailkan kepada Bursa
Malaysia. Urusniaga-urusniaga ini dirancang dan dimeterai dengan satu
tujuan iaitu memberikan durian runtuh kepada Raja Ropiaah Raja Abdullah,
Ketua Wanita Umno Selangor.
Saya boleh mendedahkan
klausa-klausa berikut dalam Perjanjian Pertama yang memberi keuntungan
beratus juta ringgit kepada Raja Ropiaah (selain dari pembayaran RM130
juta yang telah diumumkan sebelum ini):
§ Kementerian
Pertahanan telah menganugerahkan kontrak tambahan sebanyak
RM15,054,408.31 kepada AMSB melalui satu surat lantikan bertarikh 26 Jun
2012. Kontrak ini tidak diumumkan sebelum ini.
§ Walaupun
sudah dibayar RM130 juta atas alasan mengembalikan tanah-tanah kepada
anak syarikat LTAT, sebenarnya hanya 200 ekar dari keseluruhan 223.2
ekar yang akan dipindahkan kepada BWSB. Perjanjian Pertama secara jelas
menegaskan bahawa sebanyak 23.2 ekar kekal dalam tangan Raja Ropiah,
yang nilaiannya boleh mencecah puluhan juta ringgit.
§
Boustead Holdings Berhad juga mendahulukan wang sebanyak RM4 juta kepada
Raja Ropiaah melalui proksinya yang bernama Putra Nazrain Abdul Jalil
untuk membeli dan menguasai 20% pegangan di dalam ACSB. Melalui
Perjanjian Pertama, ACSB akan menguasai tanah seluas 200 ekar yang akan
dibangunkan menjadi projek berbilion ringgit. Secara langsung, urusniaga
ini memberi pegangan 20% dari projek bernilai berbilion ringgit kepada
Raja Ropiaah.
§ Perjanjian Pertama mensyaratkan agar BWSB
menguruskan segala komitmen kewangan Raja Ropiaah dengan GuppyUnip Sdn
Bhd, termasuk menjelaskan apa-apa hutang agar perjanjian usahasama di
antara Raja Ropiaah dan GuppyUnip dapat dibatalkan. Komitmen kewangan
sedia ada tidak dinyatakan dan akan diuruskan oleh BWSB.
§
Perjanjian Kedua secara jelas mensyaratkan agar Deepak Jaikishen tidak
membuat sebarang kenyataan tanpa kebenaran Boustead Holdings Berhad,
mengesahkan dakwaan saya sebelum ini bahawa perjanjian bertujuan menutup
mulut Deepak.
Ini hanyalah sebahagian dari pelbagai perkara yang saya temui dari semakan perjanjian.
Saya akan berbincang dengan pakar guaman parti dan selepas mendapat
pandangan profesional, akan mengambil tindakan selanjutnya untuk
mendedahkan pelbagai urusniaga lain yang merugikan rakyat.
Buat
masa sekarang, saya ingin menegaskan kembali bahawa Dato’ Seri Zahid
Hamidi telah gagal dalam menjaga kepentingan dan kebajikan angkatan
tentera. Saya juga masih menunggu saman beliau yang belum lagi dihantar
kepada saya, agar perkara ini boleh didedahkan juga di mahkamah.
RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI
20 FEBRUARI 2013
.