RSS

Pakatan Menang Dua Pertiga Di Kerusi Campuran Pada PRU13, Bukan Sebab "Tsunami China"



Pakatan Rakyat (PR) memenangi 59 kerusi campuran di Parlimen pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) iaitu hampir dua kali ganda daripada 30 kemenangan di kerusi majoriti Cina, menurut kajian terbaru yang sekaligus menolak dakwaan “Tsunami Cina” oleh Barisan Nasional (BN) sebagai punca kekalahan.

Badan pengkaji atas talian bebas tersebut berkata parti pemerintah BN memenangi banyak undi di kawasan luar bandar manakala PR meningkatkan sokongan di kawasan bandar dan separa bandar di negara yang sedang mengejar status negara maju 2020.

“BN mewakili majoriti luar bandar dan dapat mengekalkan kuasa dengan luar bandar dan kerusi separa bandar sahaja. Pilihan raya kali ini menunjukkan PR lemah di luar bandar yang terdiri daripada kerusi majoriti Bumiputera Sabah dan Sarawak,” kata laporan itu, yang boleh didapati dalam blog rasmi PoliTweet.

Menurut PoliTweet, 108 daripada 133 kerusi (81 peratus) dimenangi BN adalah di kerusi luar bandar, manakala PR memenangi kerusi bandar atau separa bandar hampir dengan peratusan sama (72 daripada 89 kerusi).

PR memenangi semua 16 kerusi bandar majoriti Cina, 12 kerusi bandar Melayu dan 12 kerusi bandar campuran, memberikan mereka 40 daripada jumlah keseluruhan 43 kerusi bandar (93 peratus).

Sebagai perbandingan, BN hanya memenangi 4 kerusi bandar Melayu dan 1 kerusi bandar campuran. Daripada 54 kerusi separa bandar, PR memenangi 34 daripadanya (63 peratus). BN menang baki daripada kerusi separa bandar dengan kawasan separa bandar Melayu adalah sebahagian besarnya 12 kerusi tersebut.]

PoliTweet juga menunjukkan PR memenangi lebih banyak kerusi bandar dan separa bandar majoriti Melayu berbanding BN, ia menunjukkan kerusi majoriti Melayu bukan lagi jaminan kemenangan untuk BN.

Dalam kajiannya, PoliTweet mengkategorikan kerusi kepada tiga kategori yang tidak mengikut klasifikasi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tetapi lebih berdasarkan imej satelit peta Google dan peta SPR.

PoliTweet menggariskan kawasan “pendalaman” terdiri daripada kampung, bandar kecil atau tanah ladang dan kelihatan lebih besar secaara fizikal dengan populasi yang kecil. Kawasan “bandar” pula terdiri daripada bandar yang diliputi dengan betuk pembangunan bandar. Kawasan “separa bandar” adalah gabungan kedua-duanya sekali.

Dibawah tiga kategori itu, PoliTweet membahagikan 125 kerusi sebagai luar bandar, 54 separa bandar dan 43 adalah bandar.

Kawasan bandar terdiri sedikit melebihi daripada setengah kerusi majoriti Cina, tetapi kerusi majoriti Melayu masih lagi didominasi di luar bandar. Walaubagaimanapun terdapat lebih banyak kerusi separa bandar yang majoritinya adalah Melayu berbanding majoriti Cina dan kawasan campuran dicampur-aduk sekali.

Firma kajian itu juga menekankan kebarangkalian rendah BN untuk memenangi semula kerusi bandar, memandangkan BN hanya memperoleh 47 peratus undi popular di kerusi separa bandar dan 36 peratus di kerusi bandar, berbanding 57 peratus yang diperolehnya di kerusi luar bandar.

Dalam Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia terkini pada tahun 2010 menunjukkan populasi di bandar Malaysia berlaku peningkatan mendadak sejak tahun 1960-an, dengan 71 peratus daripada rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Bank Dunia bagaimanapun meletakkan jumlah sedikit lebih tinggi sedikit pada 72 peratus.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kedua-duanya telah mencapai 100 peratus status kemajuan, manakala Selangor dan Pulau Pinang – kedua-dua kini diperintah oleh PR – merupakan yang tertinggi selepas kedua-dua bandar utama itu adalah dengan lebih 90 peratus status kemajuan.


Kebetulan, Selangor adalah negeri yang paling ramai penduduk dengan 5.46 juta orang, dan seiring dengan Putrajaya, mempunyai kadar pertumbuhan tertinggi di Malaysia disebabkan oleh penghijrahan dan peluang pekerjaan.

Dalam forum yang dianjurkan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) minggu lepas, pemerhati bebas pilihan raya Merdeka Centre mendapati pengundi jelas berpecah antara kelas-kelas yang berbeza, dengan kelas bekerja dan berpendapatan rendah kebanyakannya mengundi BN, dan kelas pertengahan dan atasan memilih PR.

Pengarah Merdeka Centre Ibrahim Suffian menekankan perbezaan antara kaum mencadangkan pengundi tidak berpecah mengikut kaum tetapi lebih kepada ideologi yang berbeza yang dikemukakan oleh kedua-dua BN dan PR.





 ~TMI


 .


There was an error in this gadget
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posting Terkini

Total Pageviews

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors