KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Bekas Naib Presiden Indonesia, Yusoff Kalla
membantah tindakan media arus perdana Malaysia yang memutar belit
kenyataannya, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar memberitahu, beliau dihubungi Yusoff pagi ini melalui telefon
bahawa rakannya di Indonesia itu tidak menyangka kenyataannya diputar
belit sedemikian.
“Tulisan itu tak benar. Saya akan bantah,” kata Anwar, membacakan pesanan teks yang dihantar Yusoff Kalla kepadanya.
“Dari awal saya tidak yakin beliau akan mengeluarkan kenyataan
sekeras itu,” kata Anwar memaklumkan rasa tidak puas hati Yusoff pada
sidang media di lobi parlimen hari ini.
Menurut Anwar, artikel itu adalah terbitan sebuah laman blog tajaan Umno.
Tambahnya, Yusoff telah menghantar empat surat bantahan kepada Ketua
Pengarang Berita Harian, Eksekutif Berita Harian dan Ketua-ketua
Pengarang Kumpulan Berita Harian dan New Straits Times.
“Teman di Jakarta tidak senang. Dia kata ini bukan Pak Yusuff. Bukan
caranya dia buat begitu. (Namun) setakat hari ini dan kelmarin belum ada
pembetulan,” kata Anwar
Justeru Anwar memberitahu, peguamnya dan Yusoff Kalla akan menyelaras
tindakan undang-undang terhadap media yang memfitnah kedua mereka.
“Mana-mana ahli Parlimen yang ulang akan kita rujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan Dewan,” katanya.
Berita Harian pada 29 Jun lalu melaporkan berita kononnya Anwar
mendapat dana besar pihak asing dari Turki, Amerika Syarikat dan
Filipina untuk aktiviti perhimpunan Blackout 505.
Laporan tersebut memetik satu wawancara khas Yusoff Kalla bersama portal berita Merdeka On-line di Jakarta, Indonesia. ~ KD
.